SIRI 6 Program Santuni MADANI KPT@KSB Kumpul 215 Kg Sampah

Sejumlah 215 kg sampah telah berjaya dikutip hasil gotong royong sukarelawan Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) dan komuniti Kuala Sungai Baru dalam program Santuni MADANI KPT@KSB edisi keenam pagi tadi.
Program khidmat bakti membersihkan pesisir pantai serta tepi jalan Kuala Sungai Baru tersebut telah diterajui oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), YBhg. Dato' Seri Ir. Dr. Zaini Ujang.
Terkenal sebagai destinasi riadah tepi pantai serta aktiviti nelayannya, Kuala Sungai Baru ini dipilih bagi membantu mengindahkan persekitaran serta meningkatkan kesedaran masyarakat juga para pengunjung tentang pentingnya aktiviti pengumpulan dan pengurusan sampah.
Inisiatif Santuni MADANI yang telah diumumkan oleh YAB Perdana Menteri pada Mei tahun lalu, memperuntukkan sebuah kampung angkat untuk dijaga oleh setiap pemimpin bagi mengenal pasti masalah sosioekonominya sekali gus menawarkan solusi kepada isu-isu yang sering berbangkit.
Secara tidak langsung, program ini juga dapat menghidupkan budaya gotong-royong serta menggalakkan pengunjung untuk terus datang ke kawasan pantai di Kuala Sungai Baru.
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 136