SUKIPT Medan Lahir Sukarelawan Profesional

SUKIPT Medan Lahir Sukarelawan Profesional

KPT amat menghargai sumbangan hampir 700 orang sukarelawan pelajar IPT yang sanggup mengorbankan cuti semester dan memilih untuk menjayakan penganjuran kejohanan Sukan Institusi Pengajian Tinggi 2022 (SUKIPT 2022) sepanjang minggu lalu.

YBhg. Dato' Seri Abdul Razak Jaafar, Ketua Setiausaha KPT ketika berucap di majlis bagi menghargai para sukarelawan SUKIPT 2022 malam tadi berkata, tugasan yang mereka telah laksanakan itu akan menjadi sebuah “experiential learning” yang amat berharga.

Majlis itu turut dihadiri YBhg Dato' Dr Haji Megat Sany Megat Ahmad Supian, TKSU (Dasar) KPT, YBhg Prof. Dato' Dr. Md. Amin Md. Taff, Naib Canselor UPSI, dan YBhg. Dato' Dr. Pekan Ramli, Timbalan SUB, Seksyen Sukan KPT.

Katanya lagi, SUKIPT bukan sahaja menjadi medan tempat lahirnya jaguh sukan harapan negara, malah ia turut melengkapkan para sukarelawan yang terlibat untuk terus menawarkan diri untuk apa jua kejohanan peringkat kebangsaan atau bertaraf antarabangsa.

“Sebagai duta kecil yang membawa nama baik institusi masing-masing, aktiviti kesukarelawanan ini turut membantu meningkatkan kemahiran insaniah mahasiswa melalui aktiviti yang berimpak dan holistik sekaligus menjadi pemangkin kepada pembangunan sahsiah Keluarga Malaysia yang sihat, cergas, cerdas dan sejahtera,” jelasnya.

SUKIPT 2022 telah melibatkan hampir 6000 atlet dari 66 IPT yang berentap dalam 21 jenis sukan bagi merebut 208 pingat emas bermula 12 hingga 21 Ogos 2022.

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 5332
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Rabu 24 April 2024, 16:08:46.