Sultan Nazrin Rasmi Istiadat Pentauliahan Diraja Pegawai Kadet Palapes Universiti Awam Ke-42 Tahun 2024

Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah berkenan mencemar duli berangkat menyempurnakan Istiadat Pentauliahan Diraja Pegawai Kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Universiti Awam (UA) ke-42 di sini pagi tadi.
Turut berkenan berangkat ke majlis tersebut, Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan, Tuanku Zara Salim yang turut diiringi oleh Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir serta Menteri Besar Perak, Dato' Seri Saarani Mohamad.
Pada majlis istiadat hari ini, Sultan Nazrin mewakili Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan mentauliahkan 1,435 Palapes terdiri daripada 20 UA termasuk 810 orang Pegawai Muda Rejimen Askar Wataniah (RAW), 350 orang Pegawai Muda Pasukan Simpanan Sukarela Tentera Laut Diraja Malaysia (PSSTLDM) dan 275 Pegawai Muda Pasukan Simpanan Sukarela Tentera Udara Diraja Malaysia (PSSTUDM).
Baginda bertitah bahawa anggota Palapes yang berjaya melayakkan diri diterima sebagai warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah melalui latihan intensif dari segi fizikal, mental, ketahanan serta pelbagai ujian lain yang melibatkan transformasi menyeluruh merangkumi aspek fizikal, minda, dan spiritual.
Mereka yang berkenaan juga telah didedahkan dengan dimensi budaya ketenteraan yang mengutamakan disiplin, menjunjung semangat setia, mengamalkan ketaatan ketika melaksanakan misi, selain sedia berpanas, berhujan, bertempur, ke medan perang dan berkorban nyawa.
"Setiap keberanian itu dan segala kerelaan itu dilakukan bukan untuk kepentingan diri tetapi dilaksanakan untuk kepentingan mempertahankan negara bangsa," titah Sultan Nazrin.
Semangat kesetiaan kepada raja dan negara mesti dijunjung setiap masa, berteraskan Perlembagaan dan berpaksikan undang-undang.
"Disiplin yang telah menjadi budaya saudara-saudari hendaklah dipamerkan melalui tingkah laku yang bersopan dan bersusila," titah Sultan Nazrin.
Titah baginda lagi, semua ini bagi bertujuan memastikan demokrasi dapat subur di Malaysia, supremasi awam dipertahankan, hakikat masyarakat pelbagai kaum diterima, kedaulatan undang-undang dilaksanakan, pertukaran kerajaan berlangsung secara teratur, dan hak asasi manusia dihormati.
Istiadat Pentauliahan Diraja Pegawai Kadet PALAPES UA ke-42 merupakan istiadat yang diadakan secara tahunan dan dianjurkan oleh UA di seluruh Malaysia mengikut penggiliran.
Pada istiadat kali ke-42 ini, seramai 35 orang pegawai turut menerima Anugerah Pegawai Terbaik iaitu 16 (Darat), 11 (Laut) dan lapan (Udara) yang telah dikurniakan oleh Sultan Nazrin.
Selain itu, penganjuran kali ini turut dimeriahkan dengan Pameran Aset Ketenteraan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) , Pameran Ikhtiar Hidup, Demonstrasi Anjing Perang dan Demonstrasi Tempur Tanpa Senjata.
Hadir sama Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Dato' Dr. Haji Mohd Zahari Ismail; Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti UPSI, Puan Seri Datuk Rohani Parkash Abdullah; Naib Canselor UPSI, Dato' Prof. Dr. Md. Amin Md. Taff; serta Naib-naib Canselor UA.
Turut hadir Pemangku Panglima Angkatan Tentera Jeneral, Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan; Panglima Tentera Udara Jeneral, Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan dan Panglima Armada Barat, Laksamana Madya Datuk Shamsuddin Ludin mewakili Pemangku Panglima Tentera Laut.
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 1859