Syarahan Dan Perkongsian Para Sarjana, Pugar Tradisi Keilmuan Warga KPT

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan terus menjadikan ruang-ruang pertemuan warganya seperti perhimpunan bulanan diisi dengan aktiviti syarahan dan perkongsian para sarjana dalam juga luar negara.
Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir yang hadir menyempurnakan Perhimpunan Bulan September Tahun 2024 KPT di sini pagi tadi, berkata, pengisian tersebut sesuai dengan peranan kementerian itu sendiri, di samping berupaya memugar tradisi keilmuan dalam kalangan warga KPT.
Pada edisi bulan ini, sesi perkongsian oleh pensyarah undang-undang, pengarang serta sarjana dalam topik 'Islamofobia' dari Amerika Syarikat, Prof. Dr. Khaled A. Beydoun telah menyampaikan syarahannya yang bertajuk 'Navigating Islamophobia in A Globalized World'.
YB Menteri turut berbesar hati melancarkan buku baharu Prof. Dr. Khaled iaitu 'The New Crusades: Islamophobia and the Global War on Muslims' yang sesuai dijadikan rujukan dalam mendepani ancaman Islamofobia yang berlaku kepada segenap pelusuk dunia masa kini.
Dalam perhimpunan pagi tadi juga, YB Menteri telah turut menyampaikan hadiah kepada para pemenang Pertandingan Mencipta Puisi Kemerdekaan; dan Pertandingan Video Pendek Kemerdekaan yang telah diadakan bulan lalu bersempena Sambutan Bulan Kebangsaan Dan Hari Malaysia tahun 2024.
Hadir sama Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPT, Dato' Dr. Haji Megat Sany Megat Ahmad Supian; Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan) KPT, Datuk Mohamad Azhan Md Amir; serta Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Profesor Dr. Azlinda Azman.
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 1000