Syarahan Perdana Menekankan Kepentingan Nilai Peradaban Islam Dan Martabat Melayu

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) melalui Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Ta'dib International Foundation telah menganjurkan program Syarahan Perdana oleh Prof. Diraja Terpuji, YBhg. Tan Sri Dr. Syed Muhammad Naquib Al-Attas bertajuk 'Islām: The Covenants Fulfilled' di ibu negara malam semalam.
Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim dalam ucapan alu-aluannya menekankan pentingnya mempertahankan nilai-nilai peradaban Islam sebagai asas kepada pembangunan masyarakat Melayu.
Menurut beliau, karya-karya Profesor Naquib seperti Islam dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu serta Risalah untuk Kaum Muslimin memperlihatkan bahawa masyarakat Melayu perlu menjunjung martabat berasaskan nilai Islam, bukannya terjebak dalam retorik yang klise.
Beliau juga menyeru generasi akan datang agar terus membanteras kejahilan dengan ilmu, selari dengan nilai-nilai keadilan, budaya, kebebasan, moral, dan kemajuan masyarakat yang menjadi tunjang peradaban agung.
Pada majlis malam tadi juga, YAB Perdana Menteri turut mengumumkan inisiatif kerajaan untuk memperkasa Perpustakaan Syed Muhammad Naquib al-Attas di ISTAC yang kini memiliki lebih 150,000 koleksi bahan ilmiah, sebagai usaha memastikan legasi ilmuwan ini terus memberi manfaat kepada generasi mendatang.
Majlis turut diserikan kehadiran Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir; Timbalannya, YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud; Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek; Pengerusi Lembaga Pengarah UTM, Tan Sri Azman Mokhtar; dan Naib Canselor UTM, Prof. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim.
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 143