Temu Anwar IPTS: Nilai Dan Ilmu Teras Pembinaan Negara

Nilai kemanusiaan, penguasaan ilmu dan peranan belia menjadi teras utama ucapan Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim dalam sesi dialog bersama lebih 4,000 mahasiswa Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS) sempena program Temu Anwar IPTS di Dewan Canselor, Management and Science University (MSU) petang tadi.
Dalam ucapan yang disampaikan secara terbuka dan bersifat interaktif itu, YAB Perdana Menteri menekankan bahawa pendidikan tidak seharusnya semata-mata menjurus kepada penguasaan teknikal tetapi perlu disulami nilai, etika dan maruah insan selaras dengan kerangka Malaysia MADANI.
Menurut beliau, mahasiswa hari ini bukan sekadar penerima ilmu, tetapi agen perubahan yang harus memiliki kebijaksanaan menilai, kesabaran berfikir dan kesediaan mengangkat nilai kemanusiaan dalam setiap tindakan.
“Saya tidak datang ke sini untuk berikan monolog. Saya hadir untuk mendengar kerana anda semua adalah pewaris negara. Ilmu itu penting, tetapi ilmu yang disulami nilai akan membentuk peribadi yang mulia dan adil,” ujar beliau sambil mengajak mahasiswa untuk memahami pendidikan sebagai usaha membina insan, bukan sekadar memenuhi pasaran kerja.
Menjawab pelbagai soalan daripada mahasiswa, YAB Perdana Menteri turut menyambut baik cadangan dan harapan pelajar agar lebih ramai mahasiswa IPTS dilibatkan dalam proses penggubalan dasar dan program pembangunan belia.
Beliau mengarahkan Kementerian Pendidikan Tinggi untuk mengambil langkah segera bagi memastikan suara dan penyertaan mahasiswa IPTS tidak diketepikan, seiring dengan prinsip keterangkuman yang diperjuangkan Kerajaan.
Menutup sesi dialog, YAB Perdana Menteri menegaskan komitmen Kerajaan dalam memastikan dasar pendidikan negara tidak bersifat eksklusif kepada mana-mana kelompok institusi semata-mata, malah bersifat kolaboratif antara IPTA dan IPTS.
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 89