Tengku Ampuan Pahang Berkenan Rasmi Tiga Fasiliti Kesihatan Baharu SASMEC@IIUM

Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj, selaku Ketua Perlembagaan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), hari ini berkenan berangkat mencemar duli merasmikan tiga (3) fasiliti kesihatan baharu di Sultan Ahmad Shah Medical Centre @IIUM (SASMEC@IIUM).
Fasiliti-fasiliti tersebut ialah Unit Reproduktif (RUS), Unit Rawatan Rapi Kanak-kanak (PICU) dan Klinik Bergerak (Mobile Clinic) sebagai sebahagian usaha memperkukuh sistem penyampaian perkhidmatan kesihatan kepada masyarakat, khususnya komuniti luar bandar.
SASMEC@IIUM merupakan Hospital Pengajar Universiti (HPU) di bawah seliaan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang berperanan penting dalam menyokong ekosistem pendidikan dan penyelidikan perubatan melalui penyediaan perkhidmatan rawatan yang komprehensif, patuh syariah dan inklusif.
Baginda kemudiannya turut berkenan melawat kemudahan baharu tersebut serta menyempurnakan upacara menandatangani plak perasmian dan menyaksikan simbolik penyerahan kunci kenderaan Klinik Bergerak daripada KPT kepada pihak hospital.
Mengiringi keberangkatan Baginda, Yang Hormat Mulia Che Puan Panglima Puteri Suraiya Afzan binti Dato’ Indera Haji Mohamed Moiz serta Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud.
Hadir sama, Presiden UIAM, Tan Sri Samsudin Osman; Rektor UIAM, Prof. Emeritus Datuk Dr. Osman Bakar; dan Pengarah SASMEC@IIUM, Dato’ Prof. Dr. Mohamed Saufi Awang.
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 166