Terima kasih YBhg. Dato' Seri Ir. Dr. Zaini Ujang

Terima kasih YBhg. Dato' Seri Ir. Dr. Zaini Ujang

"Saya akan terus menyumbang kepada pembangunan ilmu dari jauh, memberi sokongan kepada rakan-rakan dalam dunia akademik. Jikalau diperlukan, saya akan datang membantu."

Begitulah pesan Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi (KSU KPT), YBhg. Dato' Seri Ir. Dr. Zaini Ujang sebelum mengetik perakam waktu (clock-out) buat kali terakhir meninggalkan perkhidmatan awam setelah 37 tahun mengabdikan diri kepada dunia akademik dan pentadbiran negara.

Suasana di lobi KPT petang semalam tambah syahdu apabila beliau turut menitipkan pesan agar para warga KPT meneruskan usaha dan kerja kuat serta sokongan tidak berbelah bahagi yang beliau terima selama ini kepada bakal KSU KPT baharu yang bakal dilantik kelak.

Sesi petang semalam telah disaksikan oleh ratusan warga KPT diketuai oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar), Dato' Dr. Haji Megat Sany Megat Ahmad Supian yang telah berkumpul di lobi KPT bagi memberikan penghormatan kepada seorang tokoh yang telah mencorakkan lanskap pendidikan tinggi Malaysia dengan visi dan kepimpinan luar biasa. Turut bersama, Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir.

YBhg. Dato' Seri Ir. Dr. Zaini Ujang memulakan kerjaya sebagai pensyarah pada tahun 1988 sebelum melangkah ke dunia pentadbiran dengan dilantik sebagai Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM) termuda di usia 43 tahun (2008-2013).

Seterusnya, beliau telah dilantik sebagai Ketua Setiausaha II di Kementerian Pendidikan Malaysia (2013-2015), sebelum dilantik sebagai KSU KPT buat kali pertama pada 29 Julai 2015 hingga 5 Ogos 2016.

Selepas itu, beliau meneruskan perkhidmatan sebagai KSU di Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air; Kementerian Alam Sekitar dan Air; Kementerian Sumber Manusia; dan akhirnya di Kementerian Kesihatan Malaysia; sebelum kembali ke KPT pada 13 Februari 2024.

Biarpun berkelayakan sebagai seorang pakar air dan alam sekitar, namun sumbangan beliau yang merentas sektor membuktikan keupayaannya sebagai seorang pemimpin teknokrat yang berwawasan dan berimpak tinggi.

Malah kepimpinan dan sumbangannya turut mendapat pengiktirafan dalam dan luar negara apabila menjadi penerima pertama Anugerah Merdeka 2009 (pencapaian ilmiah); penerima Tokoh Maal Hijrah 1441H/2019M; serta penerima anugerah berprestij Order of the Rising Sun, Gold and Silver Star daripada Maharaja Jepun pada tahun 2022.

Selain itu, beliau telah turut menulis lebih 51 buah buku, 300 kertas akademik, lebih 2,000 artikel dalam media massa dan mendaftarkan 21 harta intelek dan pada masa yang sama sohor di arena puisi tanah air dengan karya bertemakan alam.

Sungguhpun sebak, warga KPT tidak mahu melepaskan peluang untuk bersalaman, merakam gambar dan menyampaikan ucapan terima kasih kepada YBhg. Dato' Seri Ir. Dr. Zaini sambil masing-masing menyedari bahawa era kepimpinan seorang tokoh berwibawa telah sampai ke noktahnya.

Dengan langkah perlahan tetapi penuh makna, YBhg. Dato' Seri Ir. Dr. Zaini meninggalkan lobi KPT, diiringi doa dan penghargaan ikhlas daripada mereka yang pernah merasai legasi kepimpinannya.

Terima kasih dan sekalung penghargaan daripada kami semua, warga KPT kepada YBhg. Dato' Seri Ir. Dr. Zaini Ujang. Selamat bersara, semoga diberikan kesihatan dan kebahagiaan bersama yang tersayang. Sampai kita berjumpa lagi pada masa akan datang. 

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 291
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Isnin 24 Mac 2025, 04:31:56.

logo-sirim