Teroka Potensi Kerjasama Malaysia - Kazakhstan Dalam Bidang Pendidikan Tinggi

Teroka Potensi Kerjasama Malaysia - Kazakhstan Dalam Bidang Pendidikan Tinggi

Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir, telah bertemu dengan TYT Bulat Sugurbayev, Duta Besar Republik Kazakhstan ke Malaysia pada pagi ini.

Semasa sesi pertemuan ini, TYT Bulat Sugurbayev telah berkongsi aspirasi dan potensi kerjasama yang boleh diperkukuh dalam bidang pendidikan tinggi di Kazakhstan bersama pihak Malaysia. Pihaknya mengalu-alukan institusi pendidikan tinggi Malaysia untuk membuka cawangan kampus pesisir di sana.

TYT Duta turut berharap agar lebih ramai pelajar Kazakhstan dapat melanjutkan pelajaran ke Malaysia pada masa akan datang. YB Menteri amat berbesar hati dengan hasrat tersebut dan turut menggalakkan pelajar Kazakhstan untuk menyertai program pertukaran pelajar di Malaysia.

Selain itu, turut dibincangkan adalah berkenaan potensi kerjasama dalam bidang penyelidikan dan akademik yang boleh diterokai bersama antara kedua-dua negara.

Kedua-dua pihak turut bersetuju untuk menandatangani MoU di antara dua buah negara dalam masa yang terdekat. Antara perkara lain yang turut dibincangkan adalah berkenaan potensi kolaborasi antara institusi pendidikan tinggi kedua-dua negara melalui pewujudan konsortium universiti. TYT Duta turut memaklumkan YB Menteri akan cadangan lawatan Presiden Kazakhstan ke Malaysia dalam masa terdekat.

Turut hadir di pihak KPT adalah Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar), YBhg. Dato’ Dr. Haji Megat Sany Megat Ahmad Supian; Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi (Governan dan Pembangunan), YBrs. Encik Ahmad Rizal Adnan; dan Setiausaha Bahagian Hubungan Antarabangsa, YBhg. Datin Noorazah Omar. 

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 1540
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Rabu 30 Oktober 2024, 10:30:11.

logo-sirim