Tiga (3) Elemen Utama Kepimpinan Berintegriti: Pegang Prinsip, Bina Kepercayaan, Tinggal Legasi

Tiga (3) elemen utama; memegang prinsip, membina kepercayaan dan meninggalkan legasi; ditekankan sebagai asas dalam membentuk kepimpinan berintegriti oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menerusi penganjuran Seminar Integriti dan Tatakelola POLYCC 2025 yang berlangsung di sini pagi tadi.
Seminar anjuran Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) ini menghimpunkan lebih 100 orang Pengarah dan Pegawai Tadbir Kanan dari Institusi Politeknik dan Kolej Komuniti (POLYCC) seluruh negara, sebagai langkah strategik memperkukuh budaya integriti dan tadbir urus cemerlang di peringkat akar umbi institusi pendidikan tinggi.
Ketua Setiausaha KPT, YBhg. Datuk Dr. Anesee Ibrahim dalam ucapan perasmian beliau menegaskan bahawa kepimpinan yang berintegriti harus bermula dengan memegang prinsip secara konsisten—berani bertindak adil walaupun sukar dan menolak kompromi terhadap nilai moral dalam semua keputusan.
“Integriti diukur bukan ketika kita menghadapi kesusahan, tetapi ketika kita memiliki kuasa dan tiada siapa mempersoalkan keputusan kita,” jelas beliau sambil mengingatkan bahawa kuasa adalah ujian sebenar kejujuran seseorang pemimpin.
Elemen kedua yang ditegaskan ialah usaha membina kepercayaan dalam organisasi. Beliau menjelaskan bahawa kepercayaan tidak boleh dituntut, sebaliknya perlu dibina melalui ketelusan, keadilan dan pendirian yang teguh terhadap nilai yang betul.
Kepercayaan, katanya, menjadi asas kepada organisasi yang stabil dan berdaya saing, “Tanpa kepercayaan, sebaik mana pun dasar, ia akan dipersoal; sekuat mana pun arahan, ia akan diragui,” ujar beliau lagi.
Manakala elemen ketiga ialah meninggalkan legasi, yang tidak semestinya bersifat monumental tetapi ditakrifkan sebagai sistem, budaya dan nilai yang terus hidup selepas pemimpin meninggalkan jawatan.
“Legasi bukan untuk dikenang, tetapi untuk menjadi warisan nilai kepada generasi akan datang,” tambah beliau sambil menyeru semua pengarah POLYCC untuk membina norma organisasi yang beretika dan berdaya tahan.
Seminar turut menampilkan forum bertajuk "Curang Tanpa Niat", yang membincangkan dilema integriti dalam pengurusan organisasi, melibatkan panel profesional dari Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan KPT.
Acara turut diserikan dengan Majlis Persaraan POLYCC 2025 sebagai penghargaan kepada warga POLYCC yang telah menamatkan perkhidmatan mereka dengan penuh dedikasi dan kecemerlangan.
Penganjuran seminar ini menjadi cerminan komitmen berterusan KPT dalam menjadikan integriti sebagai nadi kepada ekosistem pendidikan tinggi negara.
Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah (Governan) JPPKK, Ts. Haji Kamaludin Daud.
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 202