Timbalan Menteri Rasmi Konvokesyen Ke-28 Politeknik Kota Kinabalu

Timbalan Menteri Rasmi Konvokesyen Ke-28 Politeknik Kota Kinabalu

"Sejumlah 30,000 pelajar baharu telah diterima untuk mendaftar pada sesi kemasukan kali ini dan jumlah ini merupakan sejarah besar buat JPPKK (Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti)."

Jelas Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud, angka tersebut membuktikan usaha JPPKK yang berjaya merubah stigma bidang TVET sebagai kelas kedua, sekali gus berupaya melahirkan bakat berkemahiran setara keperluan industri.

YB Timbalan Menteri yang hadir menyempurnakan Majlis Konvokesyen ke-28 Politeknik Kota Kinabalu semalam turut menyatakan komitmen Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam merealisasikan hasrat kerajaan yang telah digariskan oleh YAB Perdana Menteri melalui gagasan Dasar TVET Negara 2030.

Beliau turut merakamkan setinggi-tinggi ucapan tahniah kepada para graduan Politeknik Kota Kinabalu yang telah berjaya menamatkan pengajian masing-masing.

"Jadilah orang muda yang pintar memanfaatkan pengetahuan, berdaya tahan menghadapi saingan kawan dan lawan, berdaya juang dalam gelap dan terang, serta mahir menginovasi apabila diberi kepercayaan, biar ketika diuji dan dipuji.

Saya mendoakan agar para graduan akan terus berjaya dalam apa jua kerjaya dan bidang yang diceburi. Teruskan mengejar impian dengan tekad dan keazaman, kerana kejayaan datang hasil daripada usaha dan kesungguhan", pesan beliau.

Malah, beliau turut menghargai jasa para pendidik Politeknik Kota Kinabalu atas dedikasi dan komitmen dalam meningkatkan kualiti pendidikan TVET tempatan.

Hadir sama Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan), JPPKK, Ts. Hj. Rumzi Mamat. 

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 1133
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Rabu 30 Oktober 2024, 10:30:11.

logo-sirim