Titah Diraja FOI 2024: Sultan Perak Seru Pendekatan Baharu Pembangunan Global

Titah Diraja FOI 2024: Sultan Perak Seru Pendekatan Baharu Pembangunan Global

DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan Sultan Nazrin Muizzudin Shah telah bertitah mengenai keperluan untuk "Rethinking Development Ideas" atau Memikir Semula Idea Pembangunan sebagai tema utama Festival Idea Putrajaya, sambil menyeru kepada pendekatan pembangunan yang lebih inklusif, lestari dan holistik bagi menghadapi cabaran global masa kini.

Baginda yang berkenan bercemar duli berangkat menyampaikan titah dirajanya pada Sidang MyIDEAS Festival Idea Putrajaya pagi tadi turut bertitah bahawa pembangunan tidak seharusnya lagi dilihat hanya dari segi ekonomi semata-mata.

“Pembangunan kini perlu melangkaui pertumbuhan KDNK dan menumpukan kepada keadilan sosial, kesejahteraan manusia dan kelestarian ekologi,” titah Baginda sambil menekankan perlunya penglibatan pelbagai disiplin seperti sosiologi, psikologi, sejarah dan perubatan dalam membentuk agenda pembangunan masa depan.

Baginda turut menekankan pentingnya pelaksanaan "United Nations Pact for the Future" yang baru sahaja diluluskan oleh Perhimpunan Agung PBB. Perjanjian ini dilihat sebagai panduan penting untuk menangani krisis eksistensial seperti perubahan iklim, ketidaksamaan global dan ketidakstabilan geopolitik.

Baginda menzahirkan kebimbangan terhadap kemerosotan momentum pembangunan selepas pandemik COVID-19, peningkatan kadar kebuluran dunia dan perubahan cuaca ekstrem.

Baginda turut memperkenalkan konsep VUCA (Volatility, Uncertainty, Complexity, Ambiguity) sebagai gambaran dunia moden yang penuh dengan cabaran yang memerlukan penyelesaian inovatif.

Menurut Baginda, acara seperti Festival Idea adalah peluang untuk menilai semula pendekatan sedia ada dan memacu pemikiran strategik yang kreatif demi memastikan kelangsungan masa depan yang lebih cerah.

Satu lagi aspek penting dalam titah Baginda adalah keperluan untuk pembaharuan institusi global seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa.

Baginda menekankan bahawa struktur tadbir urus global ini, yang diwujudkan selepas Perang Dunia Kedua, perlu disesuaikan dengan realiti dunia moden yang lebih kompleks dan multipolar.

Majlis yang dihadiri oleh YB Menteri Pendidikan Tinggi yang turut menyampaikan ucapan alu-aluannya serta pelbagai tokoh akademik dan pemimpin industri ini disempurnakan dengan sesi perbincangan bertajuk "Rethinking Development Ideas: A Conversation."

Sebagai penutup, Baginda mengingatkan para hadirin bahawa manusia mempunyai kemampuan luar biasa untuk mengatasi cabaran sekiranya kita mempunyai keberanian dan kehendak politik untuk bertindak.

Baginda menitipkan harapan bahawa Malaysia dan dunia amnya dapat mengatasi krisis semasa dengan semangat inovasi dan kolaborasi yang tinggi, sambil mengakhiri titah dengan pesanan Benjamin Franklin, "When the well is dry, we know the worth of water," sebagai seruan agar bertindak sebelum terlambat. 

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 390
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Khamis 13 Februari 2025, 04:02:30.

logo-sirim