TKSU (P&P) KPT Lawat Projek Pembangunan Di UNIMAS

TKSU (P&P) KPT Lawat Projek Pembangunan Di UNIMAS

Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan) Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), YBhg. Datuk Mohamad Azhan Md. Amir, hari ini telah mengadakan lawatan kerja ke Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) bagi meninjau kemajuan projek-projek pembangunan yang sedang dilaksanakan di universiti tersebut.

Beliau telah dibawa meninjau tapak cadangan pembinaan dan penyelenggaraan tangki air di Kolej Rafflesia serta kerja-kerja menaik taraf bumbung di kolej tersebut dan Kolej Kenanga.

Seterusnya, beliau telah diberikan taklimat berkenaan status terkini projek pembangunan Pusat Kesihatan Prima UNIMAS (PKP) yang melibatkan kerjasama antara KPT, UNIMAS dan Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi memastikan projek yang dirancang dapat disiapkan mengikut jadual dan piawaian yang ditetapkan.

Perbincangan mengenai isu-isu semasa yang berkaitan dengan projek HPUNIMAS dan PKP turut diadakan melibatkan penyertaan daripada wakil-wakil KPT, UNIMAS, JKR dan Perbena Emas Sdn. Bhd. (PESB).

Lawatan seterusnya tertumpu kepada tapak-tapak projek di UNIMAS, antaranya projek menaik taraf jalan dan sistem perparitan; serta menaik taraf terowong perkhidmatan bawah tanah di Kampus Kota Samarahan.

Melalui lawatan YBhg. Datuk Mohamad Azhan siang tadi, beliau dapat menilai sendiri kemajuan projek pembangunan yang sedang berjalan serta memastikan keberkesanan pelaksanaan.

Di samping itu, lawatan itu turut menzahirkan komitmen KPT dalam memperkukuh infrastruktur pendidikan tinggi demi meningkatkan kualiti persekitaran pembelajaran di UNIMAS.

Hadir sama Penolong Naib Canselor (Kepimpinan dan Pembangunan) UNIMAS, Datu Prof. Mohd Fadzil Abd Rahman; Pengarah Pejabat Pembangunan UNIMAS, Humphrey Rayang Nelson Janang; Pengarah Hospital Pengajar UNIMAS, Prof. Dr. Ehfa Bujang Safawi; dan Jurutera Awam, Pasukan Projek Khas 2, Jabatan Kerja Raya Malaysia, Ir. Morni Buang.

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 637
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Khamis 06 Februari 2025, 10:09:29.

logo-sirim