TKSU (P&P) Pantau Projek Pembangunan Kolej Komunti Santubong & Mas Gading

TKSU (P&P) Pantau Projek Pembangunan Kolej Komunti Santubong & Mas Gading

Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan) Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), YBhg. Datuk Mohamad Azhan Md Amir, telah mengadakan lawatan kerja ke Kolej Komuniti Santubong dan Kolej Komuniti Mas Gading pagi ini.

Lawatan tersebut bertujuan memantau kemajuan projek pembangunan yang sedang dijalankan di kedua-dua institusi tersebut.

Dalam sesi taklimat, YBhg. Datuk Mohamad Azhan menyatakan penghargaan kepada pihak pengurusan kolej atas kerjasama mereka dalam memastikan kelancaran pelaksanaan projek-projek di bawah peruntukan pembangunan yang disalurkan oleh kerajaan.

Projek di Kolej Komuniti Santubong melibatkan peruntukan sebanyak RM20,000 di bawah Rolling Plan Keempat (RP4) RMKe-12 Tahun 2024 untuk pembaikan fasiliti pendidikan, yang kini telah berjaya disiapkan.

Sementara itu, projek naik taraf di Kolej Komuniti Mas Gading dengan peruntukan RM730,000 di bawah Rolling Plan Pertama (RP1) RMKe-11 Tahun 2016 juga telah mencapai 100% kemajuan.

YBhg. Datuk Mohamad Azhan turut menekankan kepentingan program pemantauan ini dalam memastikan keselesaan pelajar serta komuniti setempat, selain mencapai KPI tahunan KPT dalam penyelenggaraan fasiliti pendidikan tinggi.

Melalui pembentangan Belanjawan 2025 bulan lepas, sebanyak RM41 juta telah diperuntukkan untuk projek penyelenggaraan di bawah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) seluruh negara, dan pihak kolej digalakkan untuk mengemukakan permohonan bagi memanfaatkan peruntukan ini.

Lawatan ini diharapkan dapat memperkukuh usaha Kolej Komuniti Santubong dan Mas Gading dalam menyokong agenda pemerkasaan TVET sekali gus pembangunan pendidikan tinggi negara.

Hadir sama Pengarah Bahagian Perancangan dan Institusi, JPPKK, A. Azman Arshad; Pengarah Kolej Komuniti Santubong, Abdullah Haji Mustapha; dan Pengarah Kolej Komuniti Mas Gading, Khalid Husseine Tuah. 

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 1338
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Jumaat 06 Disember 2024, 10:19:49.

logo-sirim