TKSU (Pengurusan Dan Pembangunan) KPT Buat Lawatan Kerja Ke POLISAS, Kolej Komuniti Kuantan Dan Kolej Komuniti Temerloh

TKSU (Pengurusan Dan Pembangunan) KPT Buat Lawatan Kerja Ke POLISAS, Kolej Komuniti Kuantan Dan Kolej Komuniti Temerloh

Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan) Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), YBhg. Datuk Mohamad Azhan Md. Amir telah mengadakan lawatan kerja ke tiga (3) institusi di bawah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) di sini, semalam bagi mendapatkan maklum balas mengenai isu-isu semasa yang dihadapi oleh institusi tersebut.

Antara isu utama yang dibangkitkan semasa sesi lawatan ialah halatuju penggunaan bangunan Kuarters Institusi Pendidikan Semambu (KIPS) yang terletak bersebelahan Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (POLISAS), cadangan meningkatkan kadar enrolmen pelajar di Kolej Komuniti Kuantan (KKKUA) serta penyelesaian isu pemilikan tanah Kolej Komuniti Temerloh (KKT).

Lawatan kerja ini turut melibatkan penyertaan pegawai-pegawai dari Bahagian Pembangunan KPT, Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pahang serta para Pengarah Politeknik dan Kolej Komuniti dari seluruh negeri Pahang.

Pada masa yang sama, YBhg. Datuk TKSU turut berkesempatan merasmikan Majlis Pelancaran Program Wakaf yang dilaksanakan dengan kerjasama Wakaf Pahang bagi tujuan pengumpulan dana untuk menaik taraf Masjid Saidina Abu Bakar POLISAS serta pembelian sebuah bas baharu untuk kegunaan POLISAS.

Turut hadir, Pengarah Bahagian Kompetensi dan Peningkatan Kerjaya JPPKK, YM Tengku Besaruddin Shah Tengku Yaakob mewakili Ketua Pengarah JPPKK; Pengarah POLISAS, Hisamudin Mohd Tamim; Pengarah Kolej Komuniti Kuantan, Mohammad Azwan Jaafar; Pengarah Kolej Komuniti Temerloh, Mohd Ramadan Mohd Khalid; serta Pengarah-Pengarah Kolej Komuniti negeri Pahang.

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 93
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Khamis 15 Mei 2025, 10:21:07.

logo-sirim