TPM YAB Dato' Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi Rasmi Program KARISMA: Pemikir MADANI Pengurusan Tertinggi IPTA

TPM YAB Dato' Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi Rasmi Program KARISMA: Pemikir MADANI Pengurusan Tertinggi IPTA

Timbalan Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi telah merasmikan program Kepimpinan Muda Kebangsaan (KARISMA): Pemikir MADANI Kepimpinan Tertinggi yang dianjurkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) melalui kerjasama antara Universiti Malaya (UM) dan Akademi Kepimpinan Malaysia (AKM) di ibu negara pagi tadi.

Program dua (2) hari bermula semalam merupakan platform strategik dalam memperkasa kepimpinan akademik negara yang lebih progresif, inovatif, dan inklusif sejajar dengan aspirasi Malaysia MADANI.

Penganjuran KARISMA kali ini dihadiri oleh para peserta dalam kalangan pemimpin akademik, pegawai kanan universiti, dan tokoh industri yang telah diberikan pendedahan mendalam mengenai tadbir urus pendidikan tinggi dan cabaran masa depan.

Pada majlis yang sama, YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi telah turut melancarkan Garis Panduan Kampus Inklusif OKU Universiti Malaya (UM-inOKU) yang akan menjadi rujukan utama dalam memastikan akses pendidikan yang lebih inklusif untuk pelajar dan staf Orang Kurang Upaya (OKU), selari dengan prinsip Ihsan dalam Malaysia MADANI.

Hadir sama Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir yang dalam ucapannya turut memberikan sokongan penuh terhadap inisiatif kepimpinan dan inklusiviti yang diketengahkan oleh UM.

YB Menteri Pendidikan Tinggi pada program Karisma kali ini juga telah turut mengadakan sesi dialog khas bertajuk Bicara Minda Doc Zam: Inspirasi Keilmuan, Mendaya Upaya Cendekia.

Sesi dialog tersebut telah memberikan peluang kepada YB Menteri dan para peserta untuk membincangkan pelbagai cabaran serta isu semasa berkaitan sektor pendidikan tinggi negara, merangkumi keperluan kepimpinan yang dinamik dalam menghadapi perubahan global.

Terdahulu, para peserta telah turut mendapat input hasil perkongsian oleh para tetamu khas iaitu Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Dato' (Dr.) Johari Abdul; Pengerusi Lembaga Pengarah Bursa Malaysia, Tan Sri Abdul Wahid Omar; dan Pengarah Urusan Boustead Plantations Berhad, Datuk Zulkarnain Md Eusope.

Program ini diharapkan dapat menjadi pemangkin kepada transformasi institusi pendidikan tinggi Malaysia ke arah kecemerlangan global.

Hadir sama Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPT, Dato' Dr. Haji Megat Sany Megat Ahmad Supian; dan Naib Canselor UM, Dato' Seri Prof. Ir. Dr. Noor Azuan Abu Osman. 

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 195
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Isnin 24 Mac 2025, 04:31:56.

logo-sirim