UiTM Destinasi Ke-2 "In Person With Doc Zam"

UiTM Destinasi Ke-2 "In Person With Doc Zam"

Sementara di UiTM, YB Dato' Seri Diraja Zambry Abd Kadir telah meneruskan program "In Person With Doc Zam", siri interaksi yang memberikan beliau peluang untuk berkongsi amanat dan berdialog bersama para mahasiswa Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA).

Pada sesi kemasukan 2024/2025 ini, UiTM telah menerima sejumlah 42,000 orang mahasiswa baharu yang akan memulakan pengajian mereka di kesemua kampusnya di seluruh negara.

Penganjuran siri ke-2 ini, bersempena kemuncak kepada Minggu Destini Siswa (MDS) yang merupakan program orientasi yang diwajibkan kepada semua pelajar baharu UiTM, yang bukan sahaja bertujuan memberi pendedahan tentang suasana kampus, tetapi juga memastikan kejayaan akademik dan pembangunan sahsiah yang menyeluruh.

Destinasi ke-2 selepas Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), sesi tengah hari tadi telah dihadiri secara fizikal oleh lebih 5,000 orang mahasiswa di UiTM Shah Alam, dan disertai puluhan ribu lagi mahasiswa lain melalui penstriman langsung di kampus masing-masing.

Sama seperti pengisian sebelum ini, ruang "In Person With Doc Zam" turut mengisahkan perjalanan dan pengalaman YB Menteri sedari kecil hingga kini untuk dijadikan inspirasi, di samping menerangkan harapannya terhadap masa depan pendidikan tinggi negara.

Seterusnya, beliau turut melancarkan aplikasi Sistem e-Profiling HEP yang merupakan transkrip digital inovatif yang akan merekodkan segala aktiviti luar akademik yang dijalankan oleh pelajar sepanjang tempoh pengajian mereka di UiTM.

Inisiatif ini bertujuan untuk meningkatkan daya saing graduan UiTM di pasaran kerja dengan memperakui dan mengiktiraf kemahiran insaniah yang mereka peroleh melalui penyertaan dalam aktiviti ko-kurikulum, sejajar dengan usaha mereka untuk melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik tetapi juga memiliki kemahiran kepimpinan dan sosial yang mantap.

Terdahulu, YB Menteri telah turut menyampaikan bantuan kepada para mahasiswa baharu UiTM yang layak dan berkeperluan hasil sumbangan Yayasan Perkasa Siswa (YPS) bagi mengurangkan beban sara diri mereka di universiti. 

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 795
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Rabu 30 Oktober 2024, 10:30:11.

logo-sirim