UM Destinasi Pertama Kembara Ramadan 2025 YB Menteri

UM Destinasi Pertama Kembara Ramadan 2025 YB Menteri

"Ahlan wa Sahlan Ya Ramadhan"

Bersempena kedatangan bulan Ramadan yang penuh keberkatan, Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir, memulakan kembali siri jelajah 'Kembara Ramadan KPT Malaysia MADANI' ke Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) seluruh negara.

Universiti Malaya (UM) menjadi destinasi sulung beliau dalam program ini, di mana beliau menunaikan ibadah malam pertama Ramadan di Musolla Al Jamiah, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya (UM).

Ketibaan YB Menteri semalam telah disambut mesra oleh Naib Canselor UM, Dato' Seri Prof. Ir. Dr. Noor Azuan Abu Osman, bersama barisan kepimpinan universiti, staf akademik, serta para pelajar.

Beliau bersama warga UM menunaikan solat fardu Isyak dan solat sunat tarawih secara berjemaah, yang dipimpin oleh imam bertugas, Dr. Imamudin dari Pejabat Dekan Akademi Pengajian Islam UM.

Majlis turut diserikan dengan sesi tazkirah bertajuk "Ramadan: Peluang Perubahan Diri dan Iman", yang disampaikan oleh Prof. Madya Dr. Faisal @ Ahmad Faisal Abdul Hamid.

Dalam majlis tersebut, YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry turut menyaksikan penyampaian cek cura 'Bantuan Khas Sara Diri Ramadan UM' bernilai RM500,000 hasil sumbangan zakat daripada syarikat-syarikat korporat.

Bantuan yang disampaikan oleh NC UM kepada wakil pelajar tersebut akan diagihkan kepada 1,000 orang pelajar UM yang terpilih, sebagai sokongan kewangan sepanjang bulan Ramadan.

'Kembara Ramadan KPT Malaysia MADANI' ini merupakan kesinambungan kepada inisiatif turun padang YB Menteri sejak menerajui Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) tahun lalu.

Program ini bukan sekadar menzahirkan keprihatinan beliau terhadap kebajikan warga IPT, tetapi turut menjadi platform untuk berinteraksi secara langsung, bertukar pandangan, serta menghidupkan malam-malam Ramadan bersama komuniti akademik.

Kunjungan YB Menteri ke UM malam tadi diakhiri dengan jamuan moreh bersama warga universiti, di mana beliau berpeluang menikmati hidangan ringan sambil beramah mesra dengan para pelajar dan kakitangan universiti.

Dengan semangat ukhuwah dan penghayatan Ramadan, program ini akan diteruskan ke IPT lain di seluruh negara, membawa keberkatan dan manfaat kepada warga pendidikan tinggi Malaysia. 

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 196
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Isnin 24 Mac 2025, 04:31:56.

logo-sirim