UMK MUNCUL JOHAN DEBAT DIRAJA ANTARA IPT 2024

Universiti Malaysia Kelantan (UMK) telah dinobatkan sebagai juara kategori Bahasa Melayu dalam Pertandingan Debat Diraja Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) 2024 yang berlangsung di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) semalam.
Kemenangan UMK ini sekali lagi membuktikan keupayaan mahasiswa negara dalam arena perdebatan, di samping memperkukuhkan kemahiran berhujah secara kritis dan analitikal.
Pertandingan berprestij yang bertujuan melahirkan pemimpin masa depan ini telah dirasmikan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir.
Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa pertandingan ini memainkan peranan penting dalam membentuk pemikiran kritis serta memupuk perpaduan dalam kalangan mahasiswa.
Tema "Jalinan Perpaduan" yang dipilih tahun ini adalah sejajar dengan semangat kebersamaan di Sarawak yang terkenal dengan kepelbagaian budaya dan etniknya.
Pertandingan yang memasuki edisi ke-25 ini telah bermula dengan sesi saringan secara dalam talian pada 8 hingga 10 November, melibatkan 63 pasukan dari 23 institusi pendidikan tinggi di seluruh negara.
Hanya 11 institusi berjaya melangkah ke peringkat suku akhir, di mana peserta bersaing dengan penuh semangat untuk mara ke peringkat akhir.
Pada peringkat akhir, UMK telah berjaya menewaskan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dalam kategori Bahasa Melayu, manakala Universiti Malaya (UM) dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) masing-masing muncul juara bagi kategori Bahasa Inggeris dan Bahasa Arab.
YB Menteri turut mengucapkan tahniah kepada semua pemenang serta menghargai usaha pihak penganjur dan para pelajar yang terlibat dalam menjayakan acara ini.
Beliau berharap pertandingan seperti ini dapat diteruskan bagi membina mahasiswa yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, tetapi juga berwibawa dalam kemahiran komunikasi dan kepimpinan.
Pertandingan Debat Diraja IPT telah diiktiraf sebagai salah satu platform utama bagi mahasiswa untuk memperkukuhkan kemahiran berhujah dan mengasah pemikiran kreatif.
Hadir sama Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPT, Dato' Dr. Haji Megat Sany Megat Ahmad Supian; Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Prof. Dr. Azlinda Azman; Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Tan Sri Datuk Seri Panglima Sulong Matjeraie; dan Naib Canselor UNIMAS, Prof. Dr. Ahmad Hata Rasit.
Kredit foto : Jabatan Penerangan Sarawak
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 513