UMT, UPM Meterai MoU Dengan Aquaria KLCC Pelihara Kelestarian Hidupan Laut

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) melalui dua (2) buah Universiti Awam iaitu Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Putra Malaysia (UPM), telah memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Aquaria KLCC bagi memperkukuh usaha melestarikan khazanah hidupan laut negara pada petang semalam.
Disaksikan oleh Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud, MoU-MoU yang dimeterai tersebut bertujuan untuk menjalankan pelbagai projek penyelidikan, pendidikan dan pemuliharaan yang memberi tumpuan kepada perlindungan ekosistem marin yang semakin terancam.
UMT yang bertujahkan 'Ilmu Kelautan dan Sumber Akuatik' akan melaksanakan ‘Coral Adoption Program’ sebagai sebahagian daripada pelan tindakan memulihkan khazanah terumbu karang negara bagi tempoh 2025 hingga 2027.
Selain itu, UMT turut akan bekerjasama dengan Aquaria KLCC bagi membangunkan Pusat Pendidikan dan Penyelidikan Marin di Teluk Bahang, Pulau Pinang yang akan menjadi tempat penyelidikan dan pemulihan penyu laut; serta melaksanakan inisiatif program pendidikan untuk masyarakat.
Bagi UPM pula, melalui Institut Akuakultur dan Sains Akuatik (I-AQUAS) akan turut menyumbang kepada pemerkayaan bahan pameran pendidikan di Aquaria KLCC bagi memberi peluang kepada para pengunjung melihat sendiri fasa-fasa perubahan hidupan laut.
Kerjasama ini bukan sahaja memberi tumpuan kepada kajian saintifik, malah juga mendidik orang ramai mengenai kepentingan menjaga laut dan hidupan di dalamnya.
Pada majlis tadi juga, Aquaria KLCC turut melancarkan program Ombak Warisan, Lautan Raya bersempena kerjasama yang dimeterai dengan menampilkan seni tradisional Wayang Kulit sebagai medium menyampaikan mesej pemuliharaan laut dengan cara yang kreatif dan berkesan.
Wayang Kulit ini menampilkan watak-watak hidupan laut dan menyampaikan cerita tentang kepentingan menjaga alam semula jadi melalui persembahan yang mudah difahami.
Menurut pihak Aquaria KLCC, pemuliharaan laut bukan hanya tanggungjawab pihak tertentu, tetapi usaha bersama yang memerlukan kerjasama semua pihak termasuk institusi pendidikan dan masyarakat.
Kerjasama ketiga-tiga entiti ini membuktikan bahawa gabungan ilmu, seni dan pendidikan mampu membentuk kesedaran baharu dalam kalangan rakyat untuk sama-sama menjaga khazanah laut negara, untuk kemaslahatan generasi masa kini dan akan datang.
YB Timbalan Menteri turut meluangkan masa bermesra dan berbuka puasa bersama anak-anak yatim serta asnaf.
Hadir bagi menandatangani MoU bagi organisasi masing-masing, Naib Canselor UMT, Prof. Ts. Dr. Mohd Zamri Ibrahim; Naib Canselor UPM, Dato’ Prof. Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah; serta Pengarah Eksekutif Aquaria KLCC, Daryl Foong.
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 543