Universiti Awam Diseru Teroka Sumber Pendapatan Sendiri

Universiti Awam Diseru Teroka Sumber Pendapatan Sendiri

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud menegaskan kepentingan universiti awam menjana dana sendiri bagi mengurangkan kebergantungan kepada peruntukan Kerajaan semata-mata.

“Di Malaysia, universiti awam masih banyak bergantung kepada dana Kerajaan. Kita perlu mencari kaedah bagi memastikan institusi kita lebih mampan dan tidak hanya bergantung kepada peruntukan sedia ada,” ujar beliau.

Beliau menyampaikan wawasan tersebut dalam program Iftar Mahabbah bersama warga Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang diketuai Naib Canselornya, Datuk Prof. Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani.

Dalam ucapannya, beliau menggariskan kejayaan institusi pendidikan tinggi di Indonesia seperti Universiti Al-Muhammadiyah, yang mampu berdikari secara kewangan melalui sumbangan masyarakat dan inisiatif sendiri.

Beliau turut menekankan bahawa langkah ini penting bagi memastikan universiti dapat terus menyediakan kemudahan terbaik kepada pelajar khususnya mereka dari golongan B40.

“Lebih 60% pelajar universiti awam berasal daripada keluarga berpendapatan rendah. Dengan kewangan yang kukuh, kita boleh menawarkan lebih banyak bantuan dan biasiswa kepada mereka,” tambahnya.

Selain itu, YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud turut mengiktiraf USIM sebagai institusi yang berpotensi besar dalam melahirkan graduan holistik yang menguasai ilmu sains dan agama.

“Konsep pendidikan di USIM amat unik kerana ia menggabungkan elemen agama dan profesionalisme sejajar dengan aspirasi Malaysia sebagai pusat kecemerlangan pendidikan Islam,” katanya.

Dalam program yang sama, Naib Canselor USIM telah menyampaikan pembentangan ringkas mengenai pencapaian universiti, sebelum YB Timbalan Menteri menyampaikan Bantuan Kasih Ramadan bernilai RM250 sumbangan Yayasan Perkasa Siswa kepada 20 orang pelajar asnaf.

YB Datuk Ts. Mustapha turut menyaksikan penyampaian cek cura Inisiatif Kad MySiswa RHB bernilai RM48,615.00 sumbangan RHB kepada USIM.

Program diteruskan dengan sesi ramah mesra bersama para pelajar di Kompleks Islam Tuanku Mukhriz, diikuti dengan solat fardu Maghrib, Isyak dan Tarawih berjemaah sebelum YB Timbalan Menteri menikmati juadah moreh yang disediakan USIM. 

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 139
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Isnin 24 Mac 2025, 04:31:56.

logo-sirim