USIM Menganugerahkan Ijazah Kehormat Kepada Imam Besar Al-Azhar
Imam Besar Al-Azhar, Al Imam Al Akbar Sheikh Prof. Dr. Mohammad Ahmad Tayyib Sheikh Al Azhar Al Syarif telah dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah Pengajian Quran dan Sunnah oleh Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) oleh YAM Tunku Besar Seri Menanti Tunku Ali Redhauddin Ibni Tuanku Muhriz, PRO Canselor USIM di Kuala Lumpur, petang tadi.
Penganugerahan ini bertepatan dengan peranan yang cukup besar dimainkan oleh beliau dalam melakukan anjakan paradigma dalam bidang kepakarannya iaitu Ilmu Usuluddin dan telah terlibat lebih 23 tahun dalam bidang pengajian Quran.
Beliau telah berkhidmat dalam institusi pendidikan bidang pengajian Islam dalam pelbagai jawatan dan kedudukan termasuk menjadi Presiden Universiti Al Azhar selama tujuh tahun, sebelum dilantik sebagai Grand Imam of Al Azhar dan Al Azhar Syarif bermula 19 Mac 2010 sehingga kini.
Beliau juga merupakan ilmuwan dan ulama besar Ahli Sunnah Wal Jamaah serta telah memberikan sumbangan yang luar biasa dalam bidang pengajian Islam sehingga diangkat menjawat jawatan tertinggi dalam institusi sunni terbesar dan muktabar.
Sebagai seorang ulama yang sangat tawaduk, beliau turut terlibat dalam mengkaji ribuan kitab sehingga memperolehi status Sheikh Al Azhar yang juga menjadi titik perubahan dalam Institusi Al Azhar yang kini menjadi tonggak keilmuan legasi Ahli Sunnah Wal Jamaah dalam masyarakat global- selain mempunyai kedudukan berkarisma yang mempunyai beberapa lapisan darjah kredibiliti keilmuan untuk diberi perhatian kerana memiliki autoriti muktabar.
Dalam pada itu, Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang turut hadir sama telah menyampaikan ucapan pada majlis penganugerahan tersebut yang diadakan bersempena Simposium Antarabangsa Malaysia Madani 2024: Islam dan Kesederhanaan.
Turut bersama Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Diraja Dr Zambry Abd Kadir serta Ketua Setiausaha KPT, Dato’ Seri Ir. Dr. Zaini Ujang.
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 1123