YAB Perdana Menteri Meriahkan Majlis Aidilfitri KPT

YAB Perdana Menteri Meriahkan Majlis Aidilfitri KPT

Kehadiran Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim ke Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) hari ini disambut penuh mesra oleh warga Kementerian sebagai tanda penghargaan atas komitmen beliau terhadap pendidikan tinggi negara.

Majlis yang diadakan di Pekarangan Bangunan KPT itu turut diserikan dengan kehadiran Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir; serta Timbalannya, YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud yang menzahirkan penghargaan kepada YAB Perdana Menteri kerana tetap meluangkan masa meskipun memiliki jadual yang amat padat sejak pagi.

Menurut YB Menteri, kehadiran YAB Perdana Menteri bukan sahaja memberi semangat kepada seluruh warga KPT, bahkan turut memperlihatkan sikap beliau yang sentiasa mendengar dan terbuka menerima pandangan serta kritikan membina dari pelbagai pihak, termasuk daripada warga pendidikan tinggi.

Katanya, “Kami sangat menghargai kehadiran YAB Perdana Menteri pada hari ini. Bukan mudah pergerakan seorang Perdana Menteri daripada satu tempat ke satu tempat. Tetapi beliau tetap hadir bersama keluarga KPT meskipun jadual beliau amat padat.”

Beliau turut menyatakan rasa rendah diri bagi pihak Kementerian sekiranya terdapat sebarang kekhilafan dan menyeru agar hubungan erat antara kepimpinan negara dan warga KPT terus dikekalkan.

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 126
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Khamis 15 Mei 2025, 10:21:07.

logo-sirim