YAB Perdana Menteri Tekankan Transformasi Pendidikan Tinggi Untuk PACU Ekonomi Dan Pembangunan Insan

Perdana Menteri, YAB Dato' Seri Anwar Ibrahim menekankan kepentingan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk terus melaksanakan transformasi dalam sektor pendidikan tinggi agar ia dapat memberikan impak besar bukan sahaja kepada ekonomi dan pembangunan negara tetapi juga dalam pembinaan modal insan.
Beliau berkata demikian dalam sesi pertemuan bersama pengurusan tertinggi KPT sebelum menghadiri 'Program Ihya' Ramadan' yang dianjurkan dengan kerjasama Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU), Jabatan Perdana Menteri yang berlangsung di Dewan Za'ba, KPT siang tadi.
Dalam pertemuan itu, YAB Perdana Menteri turut diberikan taklimat daripada Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir mengenai Pelan Pendidikan Tinggi Malaysia 2025-2035 (PPTM 2025-2035) yang telah disiapkan sebagai rangka kerja strategik untuk memperkukuh sistem pendidikan tinggi dalam menghadapi era baharu yang dipacu oleh teknologi dan perubahan global.
Pelan ini memberi tumpuan kepada pembangunan modal insan, memperkasakan daya saing institusi pendidikan tinggi, serta memastikan sistem pembelajaran kekal relevan dengan keperluan industri dan pasaran kerja.
Bercakap kepada rakan media, YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir turut menegaskan komitmen kementerian untuk memastikan Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) negara menjadi pemacu kepada kemajuan ekonomi dan pembangunan negara.
Katanya, cabaran masa kini menuntut pendekatan lebih dinamik bagi memastikan sistem pendidikan tinggi bukan sahaja melahirkan tenaga kerja berkualiti, tetapi juga membentuk pemimpin masa hadapan yang mampu membawa perubahan positif kepada masyarakat.
Menurut YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry lagi, YAB Perdana Menteri dalam ucapannya turut menekankan kepentingan disiplin baharu dalam bidang pendidikan tinggi, termasuk Kecerdasan Buatan (AI), Elektrikal dan Elektronik (E&E), Semikonduktor, Kuantum, dan Neurosains.
Bidang-bidang ini, katanya, semakin menjadi tunjang kepada pembangunan ekonomi global dan Malaysia perlu bersedia agar tidak ketinggalan dalam arus kemajuan teknologi.
Oleh itu, IPT digesa untuk lebih proaktif dalam membangun dan memperkasakan program akademik yang relevan dengan industri masa hadapan, selain memperkukuhkan kerjasama dengan sektor swasta bagi memacu inovasi dan penyelidikan.
Usai pembentangan, YAB Perdana Menteri terus menyertai warga KPT dalam sesi Tazkirah Ramadan oleh Dato' Prof Madya Dr. Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim, Dekan Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), yang menyampaikan ceramah bertajuk "Maqasid Al-Quran dan Masyarakat MADANI".
Program kemudian diteruskan dengan solat fardu Zuhur berjemaah, yang telah turut dipimpin oleh Dato' Prof Madya Dr. Mohd Izhar Ariff, sekali gus menzahirkan semangat kebersamaan dalam kalangan warga kementerian.
Majlis turut dihadiri oleh Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud; Ketua Setiausaha KPT, Datuk Dr. Anesee Ibrahim, serta lebih 300 warga kementerian, agensi di bawah KPT, dan pelajar IPTA.
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 447