YB Menteri Hadir Sesi Lawat Tapak Penyelarasan PMR 2025 Perak

Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir, hadir ke sesi lawat tapak dan penyelarasan bagi Program MADANI Rakyat (PMR) 2025 Perak yang akan berlangsung di Lumut Waterfront dari 13 hingga 15 Jun 2025.
Lawatan ini merupakan sebahagian daripada persiapan rapi menjelang penganjuran edisi ketiga PMR 2025 yang bakal dianjurkan secara berskala besar oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) selaku Kementerian peneraju.
Dalam sesi tersebut, satu taklimat telah disampaikan oleh Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU), Pejabat Perdana Menteri, selaku sekretariat induk program, bagi menyelaras pelaksanaan serta membincangkan peranan agensi-agensi yang terlibat.
Turut hadir, Ketua Setiausaha KPT, YBhg. Datuk Dr. Anesee bin Ibrahim, bersama Pegawai Penyelaras dari pelbagai Kementerian, Agensi Persekutuan dan Kerajaan Negeri Perak termasuk Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri. Sesi taklimat dan lawatan ini bertujuan memberi gambaran awal mengenai susun atur kawasan dan keperluan teknikal di tapak program.
PMR 2025 merupakan platform penting dalam memperkukuhkan hubungan antara Kerajaan dan rakyat, selaras dengan aspirasi Kerajaan Perpaduan melalui pendekatan Malaysia MADANI.
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 80