YB Menteri Terima Pelan Pendidikan Tinggi Malaysia 2025-2035 Secara Rasmi

YB Menteri Terima Pelan Pendidikan Tinggi Malaysia 2025-2035 Secara Rasmi

Selepas sembilan (9) bulan penuh dedikasi, Kumpulan Pakar Pelan Pendidikan Tinggi Malaysia 2025-2035 (PPTM 2025-2035) yang diketuai oleh Datuk Prof. Emerita Dr. Asma Ismail telah menyiapkan rangka tindakan (blueprint) pendidikan tinggi negara yang baharu.

Dokumen tersebut telah diterima secara rasmi oleh Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir dan dijangka akan dilancarkan oleh Perdana Menteri, YAB Dato' Seri Anwar Ibrahim tidak lama lagi.

YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry dalam ucapannya menegaskan bahawa PPTM 2025-2035 adalah hasil usaha anak tempatan tanpa bergantung kepada perunding asing, sekali gus membuktikan keupayaan pakar Malaysia dalam merangka hala tuju pendidikan tinggi negara.

Pembangunan rangka tindakan ini melibatkan lebih 8,226 pihak berkepentingan melalui sesi perbincangan, validasi dan tinjauan kebangsaan serta disiapkan dalam sembilan bulan, satu tempoh yang jauh lebih singkat berbanding rangka tindakan sebelumnya yang mengambil masa dua (2) tahun.

Proses penyelidikan ini turut merangkumi lebih 240 mesyuarat, 100 kajian rujukan dan 181 individu termasuk pakar akademik serta penulis.

PPTM 2025-2035 menekankan akses pendidikan inklusif, transformasi digital dan daya saing global serta mencatat pencapaian asas seperti peningkatan 59% dalam pembelajaran dalam talian, 68% dalam kemasukan pelajar daripada golongan B40 dan Orang Asli serta kejayaan universiti penyelidikan menjana RM3.73 bilion.

Pelaksanaan rangka tindakan ini memerlukan komitmen kerajaan, institusi pendidikan tinggi, industri dan masyarakat bagi memastikan Malaysia terus relevan dalam lanskap pendidikan tinggi global.

Majlis Sign Off PPTM 2025-2035 siang tadi menandakan KPT sudah bersedia memacu permulaan baharu bagi pendidikan tinggi negara dengan penekanan kepada inovasi, kebolehpasaran graduan serta pemerkasaan akademik dan industri.

Malah pelan ini dijangka akan membawa Malaysia ke tahap lebih tinggi dalam dekad akan datang serentak merealisasikan visi sebagai hab pendidikan tinggi bertaraf dunia.

Hadir sama Ketua Setiausaha KPT, Dato' Seri Ir. Dr. Zaini Ujang; Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Prof. Dr. Azlinda Azman; Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Datuk Dr. Haji Mohd Zahari Ismail; dan Naib Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM), Dato' Prof. Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah. 

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 219
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Isnin 24 Mac 2025, 04:31:56.

logo-sirim