YB Menteri Umum Tarikh Tutup UPUOnline®️ Dilanjutkan Sehingga 19 Mei 2025

YB Menteri Umum Tarikh Tutup UPUOnline®️ Dilanjutkan Sehingga 19 Mei 2025

Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir mengumumkan bahawa tarikh tutup permohonan fasa kedua UPUOnline dilanjutkan sehingga Isnin, 19 Mei 2025, jam 8 pagi, bagi memberi lebih ruang kepada pelajar membuat pilihan kursus dan Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) sesuai kelayakan masing-masing.

Beliau yang berada di Rusia bagi lawatan rasmi negara bersama YAB Perdana Menteri ketika ini, sempat menitipkan rakaman video ucapan bersempena Majlis Penutup Karnival Jom Masuk U (JMU) 2025 Zon Tengah I yang berlangsung di Dewan Merdeka, Pusat Konvensyen Manjung pagi tadi.

Dalam ucapannya, YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry menyeru para pelajar untuk merebut peluang tersebut dengan sebaiknya dan tidak tergesa-gesa dalam membuat keputusan yang akan membentuk masa depan mereka.

“Pendidikan adalah senjata yang paling kuat yang boleh anda gunakan untuk mengubah dunia,” katanya sambil memetik kata-kata pemimpin Afrika Selatan, mendiang Nelson Mandela.

Beliau turut menekankan bahawa aspek kewangan tidak seharusnya menjadi penghalang kepada sesiapa untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

Menurutnya, KPT akan sentiasa berusaha mencari penyelesaian terbaik bagi memastikan pelajar dari semua latar belakang mendapat peluang yang adil untuk melanjutkan pengajian.

“Masuk dan daftar dahulu. Jangan jadikan masalah kewangan sebagai halangan. Kami akan bantu,” tegas beliau.

Dalam pada itu, beliau menyifatkan Karnival JMU sebagai platform penting untuk pelajar lepasan SPM, STPM dan STAM mendapatkan maklumat lengkap berkenaan pemilihan kursus, Institusi Pendidikan Tinggi (IPT), prosedur permohonan UPUOnline®️ serta bantuan kewangan yang ditawarkan.

Karnival JMU 2025 yang merangkumi 10 siri jelajah seluruh negara telah berjaya mencatatkan lebih 1 juta pengunjung secara fizikal dan atas talian, sekali gus mencerminkan sambutan menggalakkan daripada pelajar dan ibu bapa.

Hadir mewakili YB Menteri ialah Setiausaha Politik, Akmal Zharif Ahmad Kamal; Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan) KPT, Datuk Mohamad Azhan Md. Amir; Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Dato' Dr. Hj Mohd Zahari Ismail; serta Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi (Akademik dan Penyelidikan) Jabatan Pendidikan Tinggi, Prof. Dr. Zainal Amin Ayub. 

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 255
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Isnin 16 Jun 2025, 06:58:06.

logo-sirim