YB Timbalan Menteri Lawat Politeknik Metro Kuala Lumpur (PMKL)

Institusi politeknik terus memainkan peranan penting sebagai tunjang pelaksanaan Dasar TVET Negara 2030 dalam melahirkan graduan berkemahiran tinggi yang memenuhi keperluan industri semasa dan masa hadapan.
Sehubungan itu, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud telah mengadakan lawatan rasmi ke Politeknik METrO Kuala Lumpur (PMKL) pagi tadi bagi meninjau pelaksanaan program TVET serta kemudahan pengajaran dan pembelajaran yang disediakan di institusi tersebut.
Lawatan YB Timbalan Menteri merangkumi sesi bersama pihak pengurusan PMKL serta tinjauan ke beberapa fasiliti utama termasuk Makmal Cisco, The Thinking Room, Perpustakaan PMKL, Game Lab & Studio, The Campus Brew, dan ILHAM, yang turut menyaksikan pelancaran E-Book IOC.
YB Timbalan Menteri turut merasmikan GameHub@PMKL, sebuah ruang khas yang dibangunkan bagi menyokong ekosistem pembangunan permainan digital di politeknik. GameHub ini berperanan sebagai pusat kolaborasi antara pelajar dan industri dalam menghasilkan produk digital kreatif yang berimpak tinggi.
Semasa berada di PMKL, YB Timbalan Menteri turut berkesempatan menikmati jamuan makan tengah hari bersama para pelajar sambil bertukar pandangan serta berbincang mengenai isu-isu kebajikan mahasiswa.
Turut diselitkan dalam program lawatan ini adalah siri Jejak TVET MADANI iaitu inisiatif YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud sendiri untuk menemui para alumni politeknik dan kolej komuniti (POLYCC) yang telah melakar kejayaan dalam bidang masing-masing.
Beliau telah mengunjungi pejabat dua (2) orang alumni PMKL iaitu Richie Arvind Pavalamani, Pengarah Sepadu Network and Services Sdn. Bhd.; serta Ikhwan Mat Zin, yang kini menjawat jawatan sebagai pereka permainan video dan penganalisis data di EFTECH Solutions Sdn Bhd.
Turut hadir Pengerusi Politeknik dan Kolej Komuniti Zon Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang juga Pengarah Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Zainah binti Rujihan; serta Pengarah PMKL, Ts. Roseman Mat Jidin.
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 190