YB Timbalan Menteri Sertai Program Kayuhan MAIPS Peduli Bersama DYTM Tuanku Canselor UniMAP

Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail telah berkenan berangkat ke 'Program Kayuhan MAIPs Peduli Bersama DYTM Tuanku Canselor UniMAP’ semalam.
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud yang membuat lawatan rasmi ke Perlis semalam telah turut sama mengiringi DYTM Raja Muda Perlis dalam program kayuhan sejauh 10 KM tersebut.
Masuk siri kayuhan ke-80, baginda telah mengetuai rombongan kayuhan yang turut disertai oleh Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Dato’ Prof. Ts. Dr. Zaliman Sauli; serta Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Haji Mohd Nazim Haji Mohd Noor ke Kampung Warna Warni, Kuala Perlis.
Dalam program tersebut, DYTM Raja Muda Perlis telah berkenan menyantuni para penduduk kampung serta menyampaikan sumbangan kepada mereka yang memerlukan.
Antaranya sumbangan bakul rahmah oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan UniMAP; serta sumbangan wang zakat kepada golongan asnaf.
Objektif utama program ini adalah untuk membawa pemimpin serta ketua agensi kerajaan dan organisasi di luar sana untuk lebih mendekati rakyat, terutamanya golongan kurang bernasib baik.
Selain itu, DYTM Raja Muda Perlis turut menekankan usaha kerajaan dalam meningkatkan kualiti hidup rakyat menerusi transformasi kampung-kampung seperti Kampung Warna Warni di Kuala Perlis, yang tidak hanya memperindah kawasan tetapi juga membawa pelbagai kemajuan kepada masyarakat setempat.
Program ini juga membuka mata pemimpin, sektor awam dan swasta, juga rakyat mengenai pentingnya kebersamaan dan kerjasama dalam membangunkan komuniti seiring dengan tema Rakyat Perlis Bermentaliti Kelas Pertama Dalam Tindakan.
Program tersebut telah turut disertai lebih 60 orang warga KPT, UniMAP, MAIPs serta wakil-wakil komuniti di negeri tersebut.
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 1285