YB Timbalan Menteri Seru Pelajar Rebut Peluang Di Jom Masuk U

YB Timbalan Menteri Seru Pelajar Rebut Peluang Di Jom Masuk U

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud menyeru para pelajar dan ibu bapa agar memanfaatkan sepenuhnya peluang yang ditawarkan menerusi Program Jom Masuk U 2025 sebagai platform untuk mendapatkan maklumat tepat dan terkini berkaitan laluan kemasukan serta program pengajian yang ditawarkan di Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) negara.

Menurut beliau, proses kemasukan ke IPTA kini lebih mudah dengan permohonan dilakukan secara dalam talian, selain pelbagai insentif turut disediakan termasuk wang pendahuluan PTPTN dan pengecualian yuran pendaftaran awal kepada pelajar yang layak.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Program Jom Masuk U 2025 Zon Sabah II yang berlangsung selama dua (2) hari mulai hari ini di Kompleks Dewan Kuliah Pusat Ke-2, Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Program anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) ini diadakan bagi memberi pendedahan awal serta bimbingan kepada pelajar mengenai peluang melanjutkan pengajian di peringkat tinggi.

Ribuan pengunjung hadir ke program tersebut termasuk pelajar lepasan SPM, STPM, Diploma, Asasi dan Matrikulasi, bersama ibu bapa, golongan pendidik serta orang awam dari sekitar Negeri Sabah.

Sebanyak 60 buah reruai pameran disediakan melibatkan penyertaan IPT Awam, Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Institut Latihan Kemahiran Awam (ILKA) serta IPT Swasta terpilih.

Penganjuran program ini merupakan antara usaha berterusan KPT untuk memastikan akses pendidikan tinggi dapat diperluas secara menyeluruh dan inklusif merentas negeri dan wilayah.

Turut hadir, Ketua Setiausaha KPT, Datuk Dr. Anesee Ibrahim; Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor; dan Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi (Akademik dan Penyelidikan), Prof. Dr. Zainal Amin Ayub. 

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 239
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Isnin 16 Jun 2025, 06:58:06.

logo-sirim