YBM Saksi UIAM Meterai MoU Dengan Gergasi Media, Al Jazeera
Pengaruh kuasa Barat dalam industri media global telah menghasilkan pelbagai naratif songsang mengenai dunia Islam dengan pelaporan yang berpersepsi negatif sehingga menimbulkan prasangka salah di mata masyarakat dunia.
Namun, kemunculan Al Jazeera sebagai salah satu kuasa media di semenanjung Arab pada penghujung 90-an telah berjaya membaiki arus perdana ketika itu dan sehingga kini kekal sebagai sumber media boleh dipercayai yang mewakili kelompok negara Islam.
Justeru, pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dengan Al Jazeera yang diadakan di ibu pejabat Al Jazeera di sini semalam bakal merintis peluang dan manfaat kepada industri pendidikan tinggi dan juga media Malaysia.
Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Mohamed Khaled Nordin yang dalam rangka lawatan kerjanya ke Qatar telah menyaksikan majlis menandatangani MoU tersebut dan mengalu-alukan kerjasama seperti ini.
Melalui MoU ini, para pelajar UIAM akan berpeluang mengikuti latihan lapangan dan menyertai pelbagai kursus dan program komprehensif yang disediakan oleh Al Jazeera.
Beliau dalam ucapannya turut menekankan kepada IPT dalam negara untuk terus meneroka lelowong kerjasama dengan industri - tempatan atau antarabangsa - bagi memastikan kadar kebolehpasaran graduan dalam pasaran kerja meningkat.
Harapan beliau pada masa yang sama adalah untuk melihat MoU UIAM-Al Jazeera ini akan dapat mencapai matlamat dan hasratnya.
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 2582