YBTM melakukan lawatan kerja ke Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) di Kampus UniMAP Alam Pauh Putra di Arau

9 Februari 2022

YB Senator Dato’ Dr. Ahmad Masrizal Muhammad, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi hari ini melakukan lawatan kerja ke Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) di Kampus UniMAP Alam Pauh Putra di Arau.

UniMAP ditubuhkan sebagai sebuah Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) pada 25 Julai 2001. Penubuhan UniMAP bertujuan untuk melahirkan jurutera berkemahiran tinggi dan kompeten bagi memenuhi dan menyokong Pelan Perindustian Negara.

Lawatan beliau dimulakan dengan taklimat “Hala Tuju UniMAP” oleh Naib Canselor UniMAP, YBrs. Prof. Ts. Dr Zaliman Sauli.

YB Timbalan Menteri kemudiannya dibawa melawat Perpustakaan Tuanku Syed Faizuddin Putra (PTSFP) UniMAP dan Makmal Pemesinan Termaju di bawah seliaan Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal (FTKM).

Makmal tersebut yang ditubuhkan pada Februari 2020, menyediakan perkhidmatan makmal dalam bidang Reka Bentuk Produk, Prototaip, Ujilari dan Pengeluaran Produk. Makmal berkonsepkan 'Pusat Mesin Termaju' dengan permesinan yang canggih itu, mempunyai beberapa mesin yang berteraskan industri.

Beliau kemudiannya meninjau fasiliti ‘Cleanroom’ atau bilik bersih di Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektronik (FTKEN). Fasiliti tersebut adalah sebuah ruangan fasiliti di mana persekitarannya dikawal supaya menjadi sangat bersih. Bahan-bahan cemar seperti debu-debu, mikrob-mikrob, zarah-zarah aerosol dan sebagainya akan ditapis dengan menggunakan penapis berteknologi tinggi yang dipanggil 'high-efficiency particulate absorbing filter' ataupun 'HEPA Filter'.

UniMAP merupakan satu-satunya universiti awam di Malaysia yang menawarkan kursus mikrofabrikasi dengan menggunakan fasiliti 'cleanroom' sendiri kepada semua peringkat bermula dari Diploma, Sarjana Muda, Sarjana dan Doktor Falsafah (PhD).

YB Senator Dato’ Dr. Ahmad Masrizal juga mengambil peluang menghadiri majlis ramah mesra bersama-sama kepimpinan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UniMAP diketuai oleh En Ahmad Akif Syakirin Mohd Adnan, Yang Dipertua MPP UniMAP. Dalam ucapan YB Timbalan Menteri pada majlis perjumpaan dengan MPP, beliau berkata Kerajaaan menerusi KPT sentiasa prihatin untuk menangani isu-isu berkaitan kecemerlangan dan kesejahteraan warga universiti.

Turut hadir YBhg. Prof. Dr. Robiah Binti Yunus, Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi (Akademik dan Pembangunan), Kementerian Pengajian Tinggi dan Prof Dr Mohd Foad Sakdan , Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UniMAP.

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 11368
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Selasa 23 April 2024, 10:59:17.