Zaini Ujang: Sosok Legasi Kepimpinan Dan Transformasi Pendidikan Tinggi Negara

Zaini Ujang: Sosok Legasi Kepimpinan Dan Transformasi Pendidikan Tinggi Negara

Selepas hampir 37 tahun menabur bakti dan menerajui transformasi sektor pendidikan tinggi negara, Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), YBhg. Dato’ Seri Ir. Dr. Zaini Ujang akan meninggalkan perkhidmatannya secara rasmi tanggal 3 Mac depan.

Bagi menghargai jasa dan legasi kepimpinan sosok penting ini, malam semalam beliau telah diraikan dalam sebuah majlis penuh penghargaan, Majlis Sejambak Kasih: Catatan Kembara Legasi Gemilang.

Majlis tersebut telah diserikan dengan kehadiran Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir dan Timbalannya, YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud serta rakan-rakan kepimpinan dan warga KPT.

Dalam ucapannya, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir menzahirkan rasa hormat dan penghargaan terhadap peranan luar biasa YBhg. Dato’ Seri Ir. Dr. Zaini sebagai seorang pemimpin yang berwawasan dan berani melakukan perubahan.

“Kehadiran Dr. Zaini ke kementerian ini sebenarnya banyak membantu melakukan anjakan-anjakan besar. Dunia pendidikan tinggi kita memerlukan seorang KSU yang memahami landskap pendidikan dengan mendalam dan beliaulah individu yang berjaya menggerakkan agenda-agenda penting dengan penuh dedikasi,” katanya.

Sebagai individu yang pernah menerajui institusi pendidikan tinggi, iaitu Universiti Teknologi Malaysia (UTM), YBhg. Dato’ Seri Ir. Dr. Zaini dikenali sebagai seorang pemimpin yang komited dalam memperjuangkan inovasi dan kecemerlangan akademik.

Sepanjang tempoh kepimpinannya, beliau banyak memperkenalkan pembaharuan serta memperkukuhkan kedudukan pendidikan tinggi Malaysia di peringkat antarabangsa.

Dalam ucapannya, YBhg. Dato’ Seri Ir. Dr. Zaini menegaskan bahawa perjalanan beliau dalam dunia akademik dan pentadbiran tidak akan terhenti walaupun bersara secara rasmi.

Beliau berkongsi perancangan untuk memulakan 'The Hundred Days World Lecture Tour', satu jelajah akademik ke lebih 15 negara termasuk Qatar, Arab Saudi, Turkiye, Sweden, Norway, Denmark, Amerika Syarikat dan Jepun.

“Saya akan terus menyumbang kepada pembangunan ilmu dari jauh, memberi sokongan kepada rakan-rakan dalam dunia akademik, tetapi saya tidak akan mencampuri urusan harian kementerian. Jika diperlukan, saya akan datang membantu,” ujar beliau.

Selain dikenali sebagai seorang pentadbir dan ahli akademik, YBhg. Dato’ Seri Ir. Dr. Zaini juga merupakan seorang pemuisi dan penulis prolifik.

Pada majlis malam tadi juga, beliau turut mendeklamasikan sepotong puisi yang mencerminkan falsafah hidup dan pemikirannya.

“Saya menulis puisi kerana di situlah saya dapat meluahkan pemikiran saya dengan jujur. Menulis bukan sekadar ekspresi tetapi refleksi kepada perjalanan hidup dan perjuangan,” katanya.

Majlis malam tadi turut simbolik kepada peralihan kepimpinan dalam KPT dengan seluruh warga kementerian mengucapkan terima kasih atas segala usaha dan pengorbanan beliau.

Jasa dan legasi kepimpinan YBhg. Dato’ Seri Ir. Dr. Zaini akan terus menjadi inspirasi kepada lapisan generasi seterusnya.

“Selamat maju jaya, YBhg. Dato’ Seri Ir. Dr. Zaini Ujang. Legasi anda akan terus dikenang dalam sejarah pendidikan tinggi negara.” 

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 167
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Isnin 24 Mac 2025, 04:31:56.

logo-sirim