logo kpt black

TEKS UCAPAN

DATO’ SERI ABDUL RAZAK BIN JAAFAR
KETUA SETIAUSAHA 
KEMENTERIAN PENDIDIKAN TINGGI

MAJLIS AMANAT PEGAWAI PENGAWAL BERSAMA PENGARAH INSTITUSI DALAM BENGKEL PENGURUSAN PEROLEHAN DAN KEWANGAN JABATAN PENDIDIKAN POLITEKNIK DAN KOLEJ KOMUNITI TAHUN 2023

21 FEBRUARI 2023

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

1. Terlebih dahulu marilah kita memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT, kerana dengan izin dan inayah-Nya, kita semua dapat berkumpul pada petang ini bagi menjayakan Bengkel Pengurusan Perolehan dan Kewangan, Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK).

2. Saya difahamkan, objektif umum penganjuran bengkel ini adalah untuk memberikan pendedahan dan pengetahuan serta sebagai refresher course kepada pegawai dan juga kakitangan di JPPKK mengenai tatacara pengurusan perolehan  dan dan kewangan yang betul.

3. Terkait dengan itu, saya ingin memetik inti pati ucapan Menteri Pendidikan Tinggi, Yang Berhormat Dato’ Seri Mohamed Khaled bin Nordin, semasa Perutusan Tahun Baharu 2023 pada 30 Januari yang lalu. Dalam ucapan beliau, YB Menteri telah menzahirkan hasrat untuk menjadikan KPT sebagai sebuah Kementerian yang berfungsi dengan efisien dan cemerlang.

4. Bahkan, Yang Berbahagia Tan Sri Dato’ Seri Ketua Setiausaha Negara juga ada menyebut dalam ucapan beliau di Majlis Amanat Ketua Setiausaha Negara Tahun 2023 pada 9 Februari 2023 yang lalu, bahawa dalam kita menawarkan perkhidmatan kepada rakyat, kita hendaklah memastikan adanya penambahbaikan dari segi sistem, peraturan, proses kerja, serta penghasilannya, agar benar-benar memberikan impak kepada rakyat.

5. Bagi memastikan aspirasi ini dapat dicapai, pastinya perkara utama yang dituntut ialah kepimpinan Ketua Pusat Tanggungjawab (PTJ), yang berwibawa serta bekerja keras untuk Jabatan dan institusi masing-masing.

6. Justeru, tahniah serta terima kasih saya ucapkan kepada JPPKK kerana mengadakan bengkel ini. Saya percaya, penganjuran bengkel ini pada akhirnya nanti bukan hanya untuk melengkapkan Ketua-ketua PTJ sekalian dengan ilmu pengurusan perolehan dan kewangan, tetapi yang paling utama, dapat membentuk pemimpin-pemimpin organisasi yang berkompetensi dan berprestasi tinggi.

Tuan-tuan dan puan-puan yang saya hormati sekalian,

7. Kementerian Kewangan pada 19 Disember 2022 telah membentangkan Rang Undang-Undang Kumpulan Wang Disatukan (Perbelanjaan Masuk Akaun) 2022 dan Usul Anggaran Perbelanjaan Pembangunan Sementara 2023.

8. Dalam pembentangan tersebut, KPT telah diperuntukkan sebanyak RM7.434 bilion bagi tempoh enam (6) bulan pertama tahun 2023. Jumlah ini merangkumi RM5.85 bilion bagi Perbelanjaan Mengurus dan RM1.58 bilion bagi Perbelanjaan Pembangunan. Dan untuk makluman semua, peruntukan yang diumumkan ini sebenarnya hanya 4.5 peratus sahaja daripada keseluruhan Peruntukan Persekutuan Tahun 2023.

9. Pada 24 Februari 2023, iaitu pada hari Jumaat ini, kita akan sama-sama mendengar dan menyaksikan pembentangan Belanjawan 2023 kali yang kedua. Berdasarkan situasi semasa kewangan dan ekonomi negara, dijangkakan akan banyak perubahan yang berlaku terutamanya melibatkan rancangan pembangunan baharu, baik yang dimohon oleh Kementerian, mahu pun juga Jabatan.

10. Malah, Mesyuarat Jemaah Menteri pada 11 Januari 2023, telah menekankan agar semua Kementerian merancang perbelanjaan dengan mengambil kira kekangan kewangan Kerajaan dari segi penurunan hasil, keperluan subsidi dan pembangunan tambahan.

11. Jadi, saya mengharapkan agar JPPKK membuat persediaan sewajarnya ke arah pelaksanaan projek-projek baharu yang bakal diluluskan kelak. Umpama peribahasa Melayu, “sediakan payung sebelum hujan.”

12. Dalam pengurusan perolehan dan kewangan pun begitu juga, sebab kita tidak tahu lagi jumlah peruntukan yang bakal diluluskan, atau projek mana yang lulus dan projek mana yang tidak lulus.

13. Oleh itu, saya ingin menasihatkan semua PTJ agar menyusun semula keutamaan dalam melaksanakan program atau projek baharu berdasarkan peruntukan awal yang telah diterima bagi tempoh enam (6) bulan ini. Keutamaan yang saya maksudkan termasuklah dari aspek keperluan pembayaran emolumen serta komitmen kontrak kerajaan yang sudah sedia ada, sebelum merangka lanjut perbelanjaan tambahan lain yang bersifat rendah keutamaannya.

14. Begitu juga dengan spesifikasi kerja dan rancangan perbelanjaan bagi menyambut apa-apa kelulusan nanti. Saya harap JPPKK dah bersedia dengan semuanya.

15. Saya tidak mahu “pisang berbuah dua kali”. Seperti tahun lepas atau mungkin juga tahun-tahun sebelum ini, telah berlaku situasi yang mana perancangan perolehan dibuat dalam keadaan peruntukan kewangan tidak ada. Ada juga berlaku projek lewat sebab pelaksanaannya tak ikut jadual.

16. Jadi, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk berkongsi pandangan dan hala tuju pengurusan perolehan dan kewangan di KPT umumnya, dan JPPKK khususnya.

17. Saya mahu supaya Bahagian Kewangan terutamanya, baik di Kementerian atau Jabatan melaksanakan pemantauan dan audit dalaman yang bebas dan utuh.

18. Sebarang bentuk perbelanjaan dan juga komitmen kewangan hendaklah dipastikan mematuhi segala peraturan dan arahan kewangan semasa.

19. Dalam hubungan ini, saya berterima kasih kepada YBhg. Datuk Dr. Mohd Zabri, TKSU (PP) kerana dari semasa ke semasa memantau secara kerap pelaksanaan perolehan dan juga status projek pembangunan di bawah JPPKK.

20. Difahamkan ada dua platform yang digunakan, iaitu Mesyuarat Jawatankuasa Perancangan Perolehan Tahunan JPPKK dan Mesyuarat Pemantauan Projek Pembangunan Politeknik dan Kolej Komuniti.

21. Harapan saya, platform pemantauan seumpama ini diteruskan serta diperkukuhkan pelaksanaannya.

22. Tambahan kepada itu, saya mahu supaya semua pihak sentiasa memberikan komitmen yang terbaik dan tidak sesekali bekerja sendiri-sendiri atau working in silos. Sebaliknya, laksanakan tugasan secara matriks dan inter-bahagian atau pun Kementerian.

23. Begitu juga, semua Ketua PTJ mestilah bersikap responsif ke atas apa-apa simptom kepincangan pengurusan kewangan bagi mengelakkan timbulnya isu atau masalah di kemudian hari.

24. Dari aspek kemahiran dan pengetahuan pula, hendaklah ditingkatkan bagi memastikan kita faham, mahir dan sentiasa up-to-date dengan Arahan Perbendaharaan.

25. Perlu diingat juga akan dua sifat utama pengurus kewangan dan perolehan yang baik. Pertama, akauntabiliti atau kebertanggungjawaban dan yang kedua, berintegriti.

26. Dan saya rasa tidak perlu untuk saya mengupas lanjut akan maksud kedua-duanya. Pastinya yang di hadapan saya ini sudah pun maklum, akauntabiliti itu apa dan berintegriti itu bagaimana.

27. Semua tengok cerita P. Ramlee bukan? Atau ada yang tak pernah tengok? Ingat tak babak posmen yang menghantar surat kepada watak Syawal dalam filem Ahmad Albab? Apabila ditawarkan minum, dia menolaknya dengan memberikan alasan 'tak boleh.. rasuah,'.

28. Satu lagi adalah dalam filem Anak Bapak. Ingat tak ada babak yang watak Ibrahim Din mencadangkan kepada watak yang dimainkan oleh P. Ramlee, untuk menggunakan wang syarikat membayar hutangnya. Dalam babak tersebut, watak Ibrahim Din terus dimarahi oleh watak P. Ramlee kerana mencadangkan sesuatu yang hina, iaitu menyalahgunakan wang syarikat.

29. Itu contoh mudah kalau kita nak bercakap tentang kebertanggungjawaban dan integriti ini.

30. Jadi, sebagai penutup, saya mendoakan agar kita semua sentiasa bersemangat, menggandakan usaha dan berganding bahu demi menjayakan aspirasi dan matlamat JPPKK, KPT dan negara yang kita cintai.

31. Laksanakanlah amanah dengan penuh kesungguhan dan keikhlasan demi kesejahteraan dan kemakmuran negara MADANI yang kita citakan.

32. Dengan lafaz bismillahirrahmanirrahim, saya dengan sukacitanya merasmikan Bengkel Pengurusan Perolehan dan Kewangan Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti Tahun 2023.

Sekian, terima kasih.

Muat Turun:

pdf KSU - Bengkel Pengurusan Perolehan dan Kewangan JPPKK.pdf (88 KB)

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 6538
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Rabu 27 Mac 2024, 16:20:33.