logo kpt black

TEKS UCAPAN

YBHG. DATO’ SERI ABDUL RAZAK JAAFAR
KETUA SETIAUSAHA
KEMENTERIAN PENDIDIKAN TINGGI

MAJLIS PERASMIAN 
JOM MASUK U 2023

21 MEI 2023


PEMBUKA BICARA

  1. Alhamdulillah, pertama sekali saya ingin panjatkan rasa syukur ke hadrat Allah S.W.T kerana dengan limpah dan kurniaNya, kita telah diberi kesempatan dan ruang untuk bersama di dalam Program Jom Masuk U 2023.
  1. Terlebih dahulu, saya ingin merakamkan ucapan tahniah kepada Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT) melalui Bahagian Kemasukan Pelajar IPTA (BKPA) JPT serta semua rakan strategik Kementerian yang telah berjaya menjayakan Program Jom Masuk U 2023 yang merupakan Signature Program tahunan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
  1. Pada hari ini juga, saya juga amat berbesar hati untuk menyempurnakan Majlis Perasmian Program Jom Masuk U 2023 di Stadium Tertutup Arena Larkin, Johor Bahru dengan kerjasama rakan  strategik Kementerian iaitu Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

JOM MASUK U 2023

Hadirin Hadirat yang saya kasihi sekalian,

  1. Program Jom Masuk U diadakan dengan tujuan untuk memperluas akses dan ekuiti ke pendidikan tinggi. Program yang merupakan acara tahunan Kementerian ini adalah sejajar dengan aspirasi Kementerian melalui Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia – Pendidikan Tinggi (2015 – 2025), di bawah Lonjakan 10: Transformasi Penyampaian Pendidikan Tinggi.
  1. Program ini disertai oleh 20 Universiti Awam (UA), Jabatan Pendidikan Politeknik Dan Kolej Komuniti (JPPKK), 4 Institusi Latihan Kemahiran Awam (ILKA) serta penglibatan hampir 30 Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS) yang terpilih, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Malaysian Athlete Career And Education (MACE), agensi-agensi dibawah JPT seperti Bahagian Kemasukan Pelajar IPTA (BKPA) selaku urusetia induk atau lebih dikenali sebagai UPU, Bahagian Governan Swasta (BGS), Bahagian Education Malaysia (BEM), Bahagian Penguatkuasaan Inspektorat (BPI) serta agensi-agensi di bawah KPT seperti Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Bahagian Biasiswa KPT dan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
  1. Pada tahun ini, Jom Masuk U akan dilaksanakan di enam (6) zon seluruh Malaysia. Jom Masuk U 2023 membuka tirai di Zon Selatan bermula semalam, 20 Mei hingga hari ini, 21 Mei 2023 di Stadium Tertutup Arena Larkin, Johor Bahru ini. Terima kasih sekali lagi Universiti      Teknologi      Malaysia (UTM) sebagai tuan rumah bersama Kementerian bagi Jom Masuk U 2023 Zon Selatan.
  1. Pada masa yang sama juga, Jom Masuk U Zon Sarawak diadakan serentak di Time Square Megamall, Bintulu dengan kerjasama Universiti Putra Malaysia (UPM) Kampus Bintulu.
  1. Seterusnya pada 27 hingga 28 Mei 2023, Majlis Pelancaran Jom Masuk U Zon Sabah dengan kerjasama Universiti Malaysia Sabah (UMS) akan disempurnakan oleh Yang Berhormat Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi di Dewan Kuliah Pusat UMS.
  1. Pada tarikh yang sama juga, Jom Masuk U Zon Kedah dengan kerjasama Universiti Teknologi MARA (UiTM) akan diadakan di Dewan Perdana UiTM Kampus Sungai Petani, Merbuk Kedah.
  1. Manakala, pada 3 hingga 4 Jun 2023, Jom Masuk U Zon Timur dengan kerjasama Universiti Malaysia Terengganu (UMT) akan diadakan di Dewan Sultan Mizan, UMT.
  1. Kemuncak Jom Masuk U 2023 diadakan di Zon Tengah pada 4 hingga 5 Jun 2023 dengan kerjasama Universiti Malaya (UM) di Dewan Tinku Canselor UM. Majlis Penutupan Program Jom Masuk U 2023 ini akan disempurnakan oleh Yang Berhormat Menteri Pendidikan Tinggi.

Hadirin Hadirat yang saya kasihi sekalian,

  1. Program Jom Masuk U ini mungkin sukar dilaksanakan tanpa adanya lokasi yang strategik untuk dikunjungi oleh pelajar, ibu bapa, guru-guru dan masyarakat.
  1. Justeru, saya merakamkan ucapan terima kasih kepada semua rakan strategik yang menjadi tuan rumah bersama Jom Masuk U 2023 dan Kementerian amat mengalu-alukan kerjasama strategik sebegini.
  1. Kerjasama strategik antara Kementerian dan Universiti Awam ini perlu diperluaskan lagi dan pastinya akan membentuk satu sinergi padu yang bukan sahaja dapat mengoptimumkan kos, namun mampu menghasilkan impak yang tinggi dari keberhasilannya.
  1. Saya menyeru para pelajar, ibu bapa, guru-guru, kaunselor sekolah dan masyarakat umum untuk tidak melepaskan peluang, menghadiri Program Jom Masuk U 2023 di semua lokasi yang telah disebutkan tadi.

Hadirin Hadirat yang saya kasihi sekalian,

  1. Sebagai medium interaksi yang informal dan bersifat santai, Jom Masuk U membolehkan pelajar, ibu bapa, pendidik, kaunselor dan masyarakat umum untuk mendapatkan maklumat berkenaan peluang pengajian dan pembiayaan yang ditawarkan oleh IPTA, ILKA, IPTS dan agensi pembiaya secara langsung di bawah satu bumbung.
  1. Sekiranya peluang yang disediakan ini diberikan perhatian yang serius oleh kalangan kumpulan sasar Jom Masuk U maka isu-isu seperti pilihan institusi, pilihan program pengajian, peluang pembiayaan dan sebagainya dapat di mudah cara melalui khidmat nasihat      langsung       daripada para perunding yang bertugas sepanjang program ini.
  1. Saya amat percaya, antara cabaran terbesar calon dalam menentukan kelestarian pengajian akademik mereka di peringkat pendidikan tinggi adalah calon perlu benar- benar bijak dalam menentukan pilihan program pengajian yang ingin diikuti sedari awal permohonan UPUOnline® lagi.
  2. Keadaan ini juga memerlukan calon untuk bijaksana menentukan aliran/ bidang pengajian yang diminati sama ada akademik atau kemahiran serta keupayaan untuk memadankan keputusan peperiksaan di peringkat SPM, STPM atau setaraf dengan pilihan program pengajian serta Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) yang bersesuaian.
  1. Sekiranya perkara ini tidak diberi perhatian yang serius, terdapat kemungkinan calon tersebut salah membuat pemilihan program pengajian semasa permohonan dan kemudiannya menghadapi masalah semasa mengikuti program pengajian yang ditawarkan kepadanya kerana tidak memahami sifat sebenar (natural) program pengajian tersebut di peringkat awal.
  1. Saya juga yakin bahawa ibu bapa, pendidik dan kaunselor mempunyai peranan tersendiri dalam memetakan masa depan calon-calon ini, namun akhirnya pilihan terletak di tangan calon itu sendiri.
  1. Oleh yang demikian, adalah amat penting untuk calon-calon lebih pro-aktif dalam meneroka maklumat berkaitan kemasukan ke IPT tanpa hanya bergantung dan berharap kepada keluarga dan pihak kaunselor sekolah semata-mata.
  1. Usaha Adalah Tangga Kepada Kejayaan. Semoga langkah pertama saudara dan saudari mengunjungi Program Jom Masuk U ini, boleh membuka peluang saudara dan saudari ke IPT dan seterusnya mencorakkan alam kerjaya yang gemilang pada masa hadapan.

PERMOHONAN UPUONLINE®

Hadirin Hadirat yang saya kasihi sekalian,

  1. Permohonan kemasukan pelajar ke program Asasi, Sijil, Diploma & Ijazah Sarjana Muda di 20 Universiti Awam (UA), 36 Politeknik, 105 Kolej Komuniti dan 4 Institusi Latihan Kemahiran Awam (ILKA) bagi Sesi Akademik 2023/2024 melalui UPUOnline® telah dibuka bermula 7 Februari 2023 hingga 28 Mac 2023 bagi permohonan Fasa Pertama.
  2. Kepada pelajar yang tidak sempat mengemukakan permohonan UPUOnline® pada Fasa Pertama, pelajar boleh membuat permohonan pada 15 Mei 2023 hingga 12 Jun 2023 bagi permohonan Fasa Kedua.
  1. Permohonan terbuka untuk pelajar Lepasan SPM dan STPM/Setaraf untuk semua program pengajian bagi permohonan Fasa Pertama, manakala hanya program pengajian yang tidak bertemu duga dan/atau ujian dibuka bagi permohonan Fasa Kedua.
  1. Selaras dengan hasrat Kerajaan bagi meringankan beban rakyat dan meningkatkan akses kepada pendidikan tinggi, kos sebanyak RM15.00 sebagai Bayaran Proses UPUOnline® bagi mendapatkan Unik ID akan ditanggung sepenuhnya Kementerian Pendidikan Tinggi bagi kemasukan Sesi Akademik 2023/2024 ini.
  1. Dijangkakan bahawa lebih 350,000 calon lepasan SPM dan STPM/Setaraf akan mendapat manfaat daripada inisiatif ini yang akan membawa kepada implikasi kewangan sebanyak RM5.25 juta kepada Kementerian Pendidikan Tinggi.
  1. Semua calon yang berkelayakan adalah dipelawa mengambil peluang ini bagi menyambung pengajian di peringkat pendidikan tinggi.
  1. Terdapat sebanyak 498 buah program pengajian ditawarkan kepada Lepasan SPM dan 1,096 buah program pengajian ditawarkan kepada Lepasan STPM/Setaraf oleh UA, Politeknik, Kolej Komuniti dan ILKA seluruh negara.
  2. Berdasarkan prinsip meritokrasi dengan mengambil kira 90% markah akademik dan 10% markah ko-kurikulum tanpa mengira kaum, agama, negeri, taraf hidup dan tempat tinggal diberi peluang untuk mengikuti pengajian di IPTA dan ILKA. Dasar meritokrasi ini telah dilaksanakan sejak 2002 lagi.
  1. Pemprosesan pemilihan pelajar dilaksanakan secara teratur. Calon disusun ikut rangking merit dari yang paling tinggi hingga yang paling rendah. Pemprosesan pemilihan akan dilaksanakan berdasarkan program yang dipilih oleh calon. Berdasarkan kelayakan calon dan jika tempat masih tersedia, calon akan ditawarkan pilihan pertama.
  1. Jika tempat pengajian telah penuh, permohonan calon akan diproses untuk pilihan program yang seterusnya sehingga pilihan calon yang terakhir.
  1. Calon perlu mengambil maklum, tiada jaminan mendapatkan tawaran program pengajian berdasarkan kepada           kedudukan    merit   semata-mata. Penawaran program pengajian adalah tertakluk susunan merit, pilihan program pengajian, memenuhi syarat am dan khas program pengajian, bilangan tempat yang disediakan, lulus temu duga dan/ujian yang dijalankan oleh IPTA dan ILKA bagi program pengajian yang menetapkan syarat berkenaan.

MEMPERKASA PROGRAM TVET

Hadirin Hadirat yang saya kasihi sekalian,

  1. Yang Berhormat Menteri Pendidikan Tinggi di dalam ucapan beliau pada Majlis Amanat Menteri Pendidikan Tinggi 2023 terdahulu, telah menegaskan bahawa penawaran program kemahiran perlu sesuai dan selari dengan kecekapan teknologi dan mega trend dunia yang menjurus kepada tiga pendekatan utama iaitu High Arts, High Tech dan High Touch.
  1. Ketiga-tiga aspek ini adalah berasaskan kepada perkembangan semasa teknologi dengan menggabungkan kedinamikan pelbagai disiplin ilmu. Ia membolehkan lepasan institusi Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di negara ini bukan sahaja relevan dengan tuntutan pasaran. Malah, mempunyai kelebihan yang melayakkan mereka menerima pekerjaan dan kadar upah yang lebih bermaruah.
  1. TVET merupakan alternatif kepada pendidikan akademik yang memberikan penekanan kepada kemahiran teknikal dan praktikal bagi memenuhi keperluan industri yang semakin berkembang.
  1. Namun, terdapat cabaran yang dihadapi oleh TVET di Malaysia kerana persepsi ramai yang masih mengutamakan pendidikan akademik berbanding pendidikan teknikal menjadi antara faktor cabaran bidang TVET. Walaubagaimanapun, stigma yang menganggap bahawa sijil kemahiran hanya untuk golongan yang tidak berjaya dalam bidang akademik sudah tidak lagi relevan pada masa kini.

Hadirin Hadirat yang saya kasihi sekalian,

  1. Program Industry On Campus (IOC) sebagai salah satu inisiatif kepada pelajar untuk merasai persekitaran sebenar industri.
  1. Melalui strategi ini, Kementerian menyasarkan Politeknik yang menawarkan Program TVET mempunyai hubungan yang akrab dan serius dengan pihak industri.
  1. IOC merupakan satu kolaborasi berpusat antara pelajar Politeknik dengan industri bagi membawa persekitaran sebenar industri ke dalam proses Pengajaran dan Pembelajaran (PdP).
  1. Pelaksanaan IOC bertujuan merapatkan jurang antara kehendak industri dengan sumber tenaga pekerja mahir yang diperlukan oleh negara.
  1. Ini secara tidak langsung dapat mengekang lambakan pekerja asing di negara ini malah turut bertindak sebagai pembekal sumber tenaga mahir dan separa mahir ke negara luar yang memerlukan.
  1. IOC dilihat mampu menterjemahkan potensinya dalam membangunkan keupayaan, inovasi dan keberkesanan sektor pendidikan tinggi melalui kolaborasi industri dan penerokaan ruang pendidikan yang anjal.
  1. Kementerian juga akan   memposisikan          semula           Program TVET terutama di Politeknik dan Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) agar menjadi lebih menarik, kompetitif dan berkualiti. Kementerian akan melaksanakan Program Asasi TVET POLYCC-MTUN kepada pelajar yang berminat dan berkelayakan.
  1. Program Asasi TVET ini adalah kerjasama di antara empat (4) MTUN dan Politeknik terpilih iaitu seperti Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS) bersama Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Politeknik Tun Syed Nasir Syed Ismail (PTSN) bersama Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Politeknik Merlimau Melaka (PMM) bersama Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTEM), Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (POLISAS) bersama Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan Politeknik Ungku Omar (PUO) bersama 4 MTUN.
  1. Kementerian memperkemaskan ekosistem program TVET di bawah KPT adalah dengan membenarkan pemindahan kredit atau credit transfer dengan program Diploma Politeknik ke dalam program Ijazah MTUN.
  1. Untuk makluman semua, dalam usaha mewujudkan satu ekosistem TVET yang komprehensif dan menarik, kita akan membenarkan Lepasan Diploma Institusi TVET daripada politeknik untuk menyambung pengajian peringkat ijazah di universiti-universiti teknologi atau MTUN dengan pemindahan kredit.
  1. Ini bermakna tertakluk kepada program dan kesetaraan bidang yang diambil, Lepasan Diploma Politeknik boleh terus memulakan pengajian mereka pada semester ketiga atau tahun kedua di MTUN.
  1. Kita menyasarkan agar sistem ini akan turut membantu menarik minat pelajar untuk menyertai politeknik, memendekkan masa pengajian dan sekali gus memulihkan nisbah penyertaan dalam bidang Sains.
  1. Malah, KPT juga telah melaksanakan Program Dermasiswa B40 TVET bagi pelajar golongan B40 untuk mengikuti pengajian dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) peringkat Diploma dan Ijazah Sarjana Muda di IPTA sejak tahun 2022.

PENUTUP BICARA

Hadirin Hadirat yang saya hormati sekalian,

  1. Kita tidak mahu melahirkan ulat buku yang hanya cemerlang dari segi akademik semata-mata, sebaliknya generasi yang seimbang perkembangannya dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelektual, mempunyai disiplin diri yang tinggi, berketerampilan, patriotik dan tidak bersikap individualistik malah mampu memainkan peranan penting dalam masyarakat.
  1. Ini kerana, kerjaya masa kini memerlukan pekerja yang inovatif dan berfikiran kreatif serta kritis dalam mencari penyelesaian yang terbaik serta mempunyai daya tahan (resilience) dan mampu berdikari.
  1. Oleh itu, para pelajar perlu melengkapkan diri bukan sahaja dengan pendidikan tinggi tetapi juga dengan kemahiran semasa dan bijak dalam mencari peluang bagi mendedahkan diri kepada perkara baharu serta agresif dalam mempelajari ilmu untuk meningkatkan kecemerlangan diri.
  1. Justeru, pencapaian pendidikan inklusif dan berkualiti adalah amat penting kepada generasi muda dan akan datang dalam pembangunan masyarakat yang lestari dan sejahtera.
  1. Kepada pelajar-pelajar, renungilah kata-kata dari Figura ini :
“Education is the passport to the future, for tomorrow belongs to those who prepare for it today.” – Malcom X
“The roots of education are bitter, but the fruit is sweet.” – Aristotle
  1. Akhir kata, saya bagi pihak Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mengucapkan syabas dan tahniah serta terima kasih di atas komitmen dan kerjasama yang diberikan oleh semua yang terlibat dalam menjayakan program ini.
  1. Saya juga mendoakan agar Program Jom Masuk U 2023 menjadi titik pemacu kepada peningkatan keupayaan Penyampaian Perkhidmatan Pendidikan Tinggi Negara. Malah, turut membuka peluang yang lebih luas kepada saudara dan saudari untuk menempa kemajuan yang lebih gemilang pada masa hadapan.
  1. Dengan harapan dan doa agar Program JMU 2023 ini mendapat keberkatan Ilahi, maka dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya dengan sukacitanya merasmikan Program Jom Masuk U 2023 pada pagi yang berbahagia ini.

Sekian, Wabillahi Taufik Walhidayah, Assalamualaikum Warah Matullahi Wabarakatuh.

Muat Turun:

pdf Teks Ucapan Perasmian DS KSU Jom Masuk U 2023.pdf (219 KB)

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 11603
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Khamis 25 April 2024, 18:19:27.