logo kpt black

TEKS UCAPAN

YBHG. DATO' SERI ABDUL RAZAK BIN JAAFAR
KETUA SETIAUSAHA
KEMENTERIAN PENDIDIKAN TINGGI

MAJLIS SAMBUTAN DEKAD BAHASA KEBANGSAAN PERINGKAT KEMENTERIAN PENDIDIKAN TINGGI DAN PENGANUGERAHAN TOKOH AKADEMIK BAHASA MELAYU TAHUN 2022

9 DISEMBER 2022


MUKADIMAH

Selasih mekar di tengah desa
Mencelah sama kembang melati
Bahasa Kebangsaan jiwa bangsa
Perpaduan disemai bersatu hati

 

  1. Alhamdullillah segala puji dan syukur dipanjatkan ke hadrat Allah S.W.T kerana dengan limpah kurnia dan inayah-Nya, maka dapat kita bersama-sama dalam Majlis Sambutan Dekad Bahasa Kebangsaan Peringkat Kementerian Pendidikan Tinggi dan Penganugerahan Tokoh Akademik Bahasa Melayu Tahun 2022 pada hari ini.
  1. Sesungguhnya, majlis ini memberikan makna yang cukup besar kepada usaha Kementerian Pendidikan Tinggi dalam memartabatkan bahasa Melayu di arena pendidikan tinggi negara.

USAHA PENGUKUHAN BAHASA MELAYU DI INSTITUSI PENDIDIKAN  TINGGI (IPT)

Hadirin sekalian,

  1. Kita semua sedia maklum, bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan negara kita dan termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan. Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 [Akta 32] turut menyatakan bahawa bahasa kebangsaan hendaklah digunakan bagi maksud urusan rasmi.
  1. Oleh itu, selaras dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan serta undang-undang berkaitan, Kementerian sentiasa berusaha memantau dan memainkan peranan dalam memastikan penglibatan institusi pendidikan tinggi negara dalam memartabatkan bahasa Melayu. Pelbagai inisiatif dilaksanakan seperti kewujudan pusat-pusat penyelidikan bahasa Melayu di Universiti Awam. Antaranya ialah Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) di Universiti Kebangsaan Malaysia dan Akademi Pengajian Melayu (APM) di Universiti Malaya yang amat dikenali di kalangan pencinta bahasa sebagai pusat rujukan dan penyelidikan bahasa Melayu.
  1. Bahasa Melayu juga merupakan lambang kedaulatan negara dan jati diri bangsa. Oleh itu, kecintaan kepada bahasa perlu terus diperkasa dalam kalangan warga KPT khususnya pelajar-pelajar IPT agar obor bangga dan cinta kepada bahasa kebangsaan kita terus menyala.
  1. Pejuang Bahasa, Allahyarham Tun Dr. Syed Nasir Ismail pernah menegur orang Melayu yang culas mempelajari selok-belok keindahan bahasa Melayu menerusi pantunnya yang berbunyi:

Ke hutan sama berburu,
Orang melapah awak tidak,
Orang mendapat awak melengit;
Ke sekolah sama berguru,
Orang belajar awak tidak,
Akhirnya hujan balik ke langit.

  1. Pantun ini memberitahu bahawa kalau orang Melayu merasakan kerana dilahirkan sebagai Melayu, maka dengan mudah dapat bercakap bahasa Melayu, dia tidak boleh menganggap bahawa bahasanya itu lebih baik daripada orang bukan Melayu yang belajar bersungguh-sungguh dan akhirnya menguasai bahasa Melayu dengan baik.
  1. Jadinya, upaya untuk memartabatkan bahasa MeIayu sebagai ‘Bahasa Ilmu’ di IPT harus kita santuni sebaik mungkin. Dalam hubungan ini, KPT sentiasa komited mendokong aspirasi mengukuhkan kedudukan bahasa Melayu khususnya di IPT. Pelbagai usaha telah dilaksanakan termasuklah mewujudkan Pelan Tindakan Memartabatkan Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Ilmu di Universiti Awam. Pada awalnya, pelaksanaan pelan ini adalah untuk tempoh selama lima tahun bermula pada tahun 2011 hingga 2015. Kesinambungannya diteruskan dengan pelan yang telah ditambah baik untuk tempoh 2016 – 2020.
  1. Inisiatif ini dilihat sebagai langkah yang holistik dalam mengangkat darjat bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di IPT. Malah, penggunaan bahasa Melayu dalam aktiviti akademik, penghasilan graduan, pembangunan, pembudayaan serta pengantarabangsaan akan dapat mengukuhkan lagi bahasa yang pernah diiktiraf dalam sejarah dunia sebagai ‘lingua franca’ ini.
  1. Dalam hubungan ini, pihak Kementerian Pendidikan Tinggi pada tahun ini telah merangka Dasar dan Pelan Tindakan Memartabatkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Ilmu di IPTA. Pelan kali ini turut diperluaskan kepada Politeknik dan Kolej Komuniti. Saya percaya pelan yang digubal ini boleh dijadikan sebagai satu garis panduan kepada semua IPTA di Malaysia dalam memastikan bahasa Melayu terus gah dan relevan dalam dunia pendidikan tinggi.

SAMBUTAN DEKAD BAHASA KEBANGSAAN PERINGKAT KEMENTERIAN PENGAJIAN TINGGI

Sidang hadirin yang saya hormati sekalian,

  1. Kita berkumpul hari ini sempena sambutan Dekad Bahasa Kebangsaan dan juga Penganugerahan Tokoh Akademik Bahasa Melayu tahun 2022. Sambutan Dekad Bahasa Kebangsaan merupakan antara program tahunan kerajaan yang bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dan kecintaan terhadap bahasa kebangsaan. Pelaksanaan program ini mengambil pendekatan merakyatkan bahasa kebangsaan dan sastera Melayu dengan penglibatan masyarakat pelbagai kaum. Dekad Bahasa Kebangsaan ialah satu pelan yang komprehensif untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa utama di Malaysia. Semua usaha yang dilakukan ini adalah untuk memastikan kedudukan bahasa Melayu di samping meletakkan nilai ‘ilmu’ dalam bahasa tersebut.
  1. Setinggi-tinggi ucapan tahniah saya zahirkan kepada warga Kementerian yang mengambil bahagian dalam program-program yang dianjurkan sempena dengan Sambutan Dekad Bahasa Kebangsaan pada tahun ini. Saya melihat banyak bakat telah dicungkil melalui acara-acara yang dianjurkan seperti pertandingan pidato, nyanyian lagu rakyat dan sahibba. Hari ini juga kita akan berpeluang melihat persembahan dari juara nyanyian lagu rakyat dan juga pidato.
  1. Tidak lupa juga penyertaan IPT dalam pertandingan poster kajian dalam bahasa Melayu. Ini menunjukkan bahawa bahasa Melayu berupaya menjadi wadah dalam arena penyelidikan. Harapan saya agar program seumpama ini akan dijalankan secara berterusan bagi menyubur rasa cinta kepada bahasa kebangsaan kita.

ANUGERAH TOKOH AKADEMIK BAHASA MELAYU

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

  1. Pada hari ini juga kita akan bersama-sama meraikan penerima Anugerah Tokoh Akademik Bahasa Melayu atau ATABM 2022. Penganugerahan yang dianjurkan oleh Kementerian sejak tahun 2012 ini merupakan satu daripada inisiatif strategik yang terkandung dalam Pelan Tindakan Memartabatkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Ilmu di IPT. Matlamatnya adalah untuk mengiktiraf ahli akademik di IPT yang telah memperlihatkan dampak penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu si samping menjadi daya tarikan kepada ahli akademik untuk menghasilkan lebih banyak penulisan dan penerbitan dalam bahasa Melayu.
  1. Saya difahamkan sehingga tahun 2021, seramai lapan ahli akademik telah dinobatkan sebagai Tokoh Akademik Bahasa Melayu. Tokoh-tokoh ini terdiri daripada pelbagai latar belakang bidang kepakaran termasuklah bidang Linguistik, Kejuruteraan, Perubatan, Pendidikan Awal Kanak-kanak, Kesusateraan dan Ekonomi.
  1. Saya juga telah dimaklumkan bahawa terdapat persaingan yang sengit apabila lebih dua puluh permohonan telah diterima bagi ketiga-tiga anugerah yang dipertandingkan. Jawatankuasa Teknikal Anugerah Tokoh Akademik Bahasa Melayu, yang terdiri daripada pakar-pakar bahasa Melayu telah mengadakan bengkel khas bagi menyemak, menyaring dan menilai kesemua permohonan tersebut.
  1. Justeru, sekalung penghargaan saya rakamkan kepada semua yang terlibat atas segala kerjasama dan komitmen yang telah diberikan. Bukan mudah hendak membuat penilaian dan pemilihan. Ibarat menarik rambut dalam tepung, penilaian perlu dibuat dengan sangat teliti. Alhamdulillah, prosesnya berjalan dengan lancar dan perima anugerah yang telah dikenal pasti akan bakal kita ketahui hari ini.

AKHIR KALAM

Para hadirin yang saya hormati,

  1. Bahasa Melayu mempunyai sifat positif yang setanding dengan bahasa-bahasa utama lain, iaitu sifat keterbukaannya yang membolehkan bahasa itu menjadi bahasa ilmu jika dirancang dengan teliti. Justeru, bagi pihak kementerian, saya menyeru agar semua warga Pendidikan Tinggi dan IPT bekerjasama, khususnya dalam kalangan ilmuan, pakar bahasa, agensi kerajaan dan swasta serta industri bagi memastikan bahasa Melayu muncul sebagai bahasa ilmu dan seterusnya menjadi bahasa antarabangsa.
  1. Menjadi harapan saya juga agar semua pihak yang berada di institusi pendidikan tinggi terus melestarikan usaha pengukuhan bahasa Melayu. Kepada semua penerima Anugerah Tokoh Akademik Bahasa Melayu dan pemenang Sayembara Dekad Bahasa Kebangsaan peringkat Kementerian, tahniah dan sekalung syabas saya zahirkan.
  1. Terima kasih juga saya ucapkan kepada semua pihak yang terlibat di dalam menjayakan sambutan Dekad Bahasa Kebangsaan KPT pada tahun ini, terutamanya kepada rakan strategik, Dewan Bahasa dan Pustaka atas segala sokongan yang diberikan.

Tingkap papan kayu bersegi
Sampan sakat di Pulau Angsa
Indah tampan kerana budi
Tinggi bangsa kerana bahasa

Sekian, wabilahitufiq walhidayah, Wassalammualaikum warahmatullahiwabarakatuh.

Terima kasih.

Muat Turun:

pdf Teks Ucapan KSU (Majlis Dekad & ATABM 2022).pdf (827 KB)

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 15860