logo kpt black

TEKS UCAPAN

YBHG. DATO' SERI IR. DR. ZAINI BIN UJANG
KETUA SETIAUSAHA KEMENTERIAN PENDIDIKAN TINGGI

BENGKEL PELAPORAN PELAN TINDAKAN MEMARTABATKAN BAHASA MELAYU SEBAGAI BAHASA ILMU DI INSTITUSI PENDIDIKAN TINGGI AWAM 2023 – 2030

23 MEI 2024 (KHAMIS)


Assalamualaikum WRT. WBT, Salam Sejahtera dan Salam Malaysia Madani.

1. Alhamdullilah setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia dan izin-Nya, maka dapat kita bersama-sama hadir ke Bengkel Pelaporan Pelan Tindakan Memartabatkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa llmu di Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) 2023 – 2030 pada hari ini.

2. Pertama sekali ingin saya mengucapkan tahniah kepada YBhg Prof./YBrs. Dr./ Tuan/Puan sekalian kerana telah diberi kepercayaan oleh pihak institusi masing-masing bagi menerajui pemantauan pelaksanaan Pelan Tindakan pada tahun ini.

3. Saya juga ingin mengalu-alukan kehadiran semua pihak yang memberi sokongan padu terhadap usaha Kementerian dalam memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu khususnya dalam sektor pendidikan tinggi negara.

4. Seperti yang semua pihak maklum, Pelan Tindakan ini merupakan kesinambungan dari dua (2) pelan tindakan terdahulu, iaitu Pelan Tindakan Memartabatkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Ilmu di IPT 2011 – 2015 dan juga Pelan Tindakan Memartabatkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Ilmu di Universiti Awam 2016 – 2020, yang telah dibangunkan susulan dari satu Kajian Penggunaan Bahasa di IPTA yang dijalankan pada tahun 2010.

5. Hasil Kajian Penggunaan Bahasa itu mendapati bahawa nisbah penggunaan bahasa Melayu dan bahasa Inggeris di dalam program-program pengajian IPTA berada pada tahap yang berbeza-beza merentasi IPTA dan disiplin ilmu. Justeru, pelan tindakan yang pertama dan kedua tersebut terlahir sebagai intervensi kepada isu ini. Pembangunan pelan tindakan yang ketiga ini juga menunjukkan komitmen berterusan pihak Kementerian dalam usaha pemerkasaan bahasa kebangsaan kita.

6. Bahasa Melayu yang merupakan bahasa kebangsaan di Malaysia berperanan sebagai bahasa rasmi, bahasa perpaduan, bahasa pengantar, bahasa ilmu pengetahuan dan juga berfungsi sebagai wahana komunikasi.

7. Kedudukan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan seperti yang termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan telah meletakkan bahasa Melayu di tempat yang tinggi. Menerusi Perkara 152 ini, bahasa Melayu diberikan taraf yang istimewa berbanding bahasa-bahasa lain dan perlu digunakan dalam semua urusan rasmi termasuk dalam bidang pendidikan. Bahasa Melayu merupakan khazanah yang bernilai dan perlu diperkasakan oleh semua warga Malaysia tanpa mengira ras dan agama.

8. Justeru, setiap institusi pendidikan tinggi khususnya perlu yakin bahawa bahasa Melayu mampu berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan bahasa asing yang lain, bahkan mampu untuk diangkat menjadi bahasa ilmu.

9. Kementerian sentiasa komited untuk meneruskan legasi dalam memastikan usaha yang berterusan dalam mengangkat bahasa Melayu dengan penghasilan Pelan Tindakan Memartabatkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Ilmu di Institusi Pendidikan Tinggi Awam 2023 – 2030.

10. Pelan Tindakan ini merupakan satu usaha murni Kementerian dalam mengorak strategi bagi mencapat empat (4) objektif utama iaitu membudayakan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, menghasilkan graduan yang berketerampilan dalam bahasa Melayu, merealisasikan bahasa Melayu sebagai wadah pembangunan negara dan memperkukuh peranan bahasa Melayu sebagai sumber rujukan setanding dengan bahasa asing. Bagi mencapai objektif tersebut, Pelan Tindakan ini mempunyai empat (4) teras utama, 11 strategi dan 26 inisiatif.

11. Usaha memperjuangkan bahasa kebangsaan kita ini tidak harus hanya dipikul oleh Kementerian, ahli akademik atau pencinta bahasa sahaja. Ianya memerlukan sokongan dari semua pihak. Bahasa Melayu perlu dipandang sebagai khazanah negara yang bernilai tinggi. Masa depan dan kelangsungan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu bergantung kepada komitmen kita untuk memperjuangkannya.

12. YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim melalui ucapan beliau di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur sempena Majlis Wacana Strategi Kementerian Pendidikan Tinggi pada 5 Januari 2024 yang lalu turut menegaskan bahawa tiada kompromi mengenai soal penguasaan bahasa kebangsaan yang baik terutama dalam bidang pendidikan tinggi.

13. Semasa Majlis Pelancaran Pelan Tindakan ini pada 15 Jun tahun lalu juga, Kementerian telah menegaskan bahawa IPTA harus bersama-sama menjayakan agenda nasional. Golongan bijak pandai di IPTA harus menjadi suri teladan terbaik terutama dengan jelas dan tegas menunjukkan kepentingan bahasa Melayu dan potensinya sebagai bahasa ilmu. Potensi dan kekuatan bahasa Melayu perlu dibangunkan di peringkat IPTA.

14. Saya percaya dan yakin institusi pendidikan tinggi kita mampu untuk terus memartabatkan dan memperkasakan bahasa Melayu tanpa mengira apakah balasan yang akan diterima oleh institusi masing-masing.

15. Oleh itu, persoalan berkenaan apakah keistimewaan yang akan diperolehi oleh institusi dalam melaksanakan Pelan Tindakan ini tidak seharusnya timbul. Usaha memartabatkan bahasa Melayu serta memastikan kelestarian bahasa kebangsaan kita adalah tanggungjawab bersama.

16. Saya percaya melalui pelaksanaan Pelan Tindakan ini, pemartabatan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu akan dapat memperkukuhkan penggunaan bahasa Melayu Tinggi merentasi pelbagai bidang ilmu. Ia penting agar penggunaan Bahasa Melayu Tinggi tidak hanya dimonopoli oleh mereka yang berada dalam bidang bahasa Melayu dan kesusasteraan Melayu sahaja, tetapi meliput bidang-bidang lain termasuk sains tulen. Ini pastinya akan memberikan perubahan dan impak yang besar terhadap kedudukan bahasa Melayu itu sendiri sebagal bahasa ilmu yang berwibawa.

17. Akhir kata, saya berharap agar pelaksanaan Pelan Tindakan Memartabatkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa llmu di Institusi Pendidikan Tinggi Awam 2023 – 2030 akan mendapat sokongan dan dukungan yang padu oleh semua pihak, khususnya kesemua 20 Universiti Awam serta Politeknik dan Kolej Komuniti yang terlibat.

18. Besar harapan saya agar semua pihak pengurusan tinggi Universiti Awam, Politeknik dan Kolej Komuniti yang terpilih, termasuk Pegawai-Pegawai Fokal memandang serius terhadap pelaksanaan Pelan Tindakan ini di institusi masing-masing dan memastikan pelaksanaannya berjalan dengan lancar.

19. Saya juga ingin mengambil kesempatan untuk merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada Bahagian Perancangan Strategik, Kementerian Pendidikan Tinggi atas usaha melaksanakan Pelan Tindakan Memartabatkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa llmu di IPTA 2023 – 2030 ini.

20. Sekali lagi ingin saya mengucapkan setinggi penghargaan kepada semua pihak yang mengambil daya usaha menjayakan majlis ini. Dengan kata-kata itu dan lafaz Bismilahirrahmannirrahim, saya dengan ini merasmikan Bengkel Pelaporan Pelan Tindakan Memartabatkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa llmu di Institusi Pendidikan Tinggi Awam 2023 – 2030.

Sekian, wabillahitaufik wal hidayah wassalamualaikum warahmatulhi
wabarakatuh.

Muat Turun:

pdf Teks-Ucapan-Perasmian-KSU-Bengkel-Pelaporan-PTMBM-2024.pdf (204 KB)

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 1893
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Jumaat 11 Oktober 2024, 07:37:56.

logo-sirim