logo kpt black

TEKS UCAPAN

YB DATUK TS. MUSTAPHA SAKMUD
TIMBALAN MENTERI PENDIDIKAN TINGGI

FORUM ILMUAN MALAYSIA MADANI (FIM)

25 SEPTEMBER 2024 (RABU)


Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Malaysia MADANI.

[SALUTASI – DISEDIAKAN BERASINGAN]

PEMBUKA BICARA

1. Alhamdulillah, pertamanya saya memanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia dan izin-Nya, maka dapat kita bersama-sama berada dalam satu majlis yang sangat bermakna iaitu Forum Imuan Malaysia Madani (FIM) pada hari ini.

2. Setinggi-tinggi perhargaan ingin saya sampaikan kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB) selaku penganjur bersama dan tuan rumah atas kerjasama jitu dalam mengatur dan menjayakan majlis ini.

3. Ucapan terima kasih turut saya zahirkan kepada ahli forum yang hadir pada hari ini atas sokongan dan kerjasama yang diberikan dalam menjayakan Program FIM ini. Semoga input dan pandangan bermakna terhadap isu semasa masyarakat yang diketengahkan dalam setiap siri FIM dapat disuarakan dan memberi ilham kepada penambahbaikan dasar dan hala tuju Kerajaan.

MALAYSIA MADANI

Hadirin sekalian,

4. Malaysia Madani ialah satu inisiatif yang diperkenalkan oleh Kerajaan bertujuan untuk menggalakkan pendekatan pembangunan yang bersepadu dan holistik. Enam nilai teras MADANI diangkat sebagai kerangka dasar dan falsafah yang akan memacu Malaysia menjadi lebih maju dan makmur.

5. Enam Nilai Teras MADANI yang ingin diterapkan melalui kepercayaan antara kerajaan dengan rakyat serta dasar ketelusan dan kerjasama adalah:

Kemampanan
Kualiti hidup yang seimbang berdasarkan latar Malaysia yang unik

Kesejahteraan
Kesejahteraan ekonomi, sosial dan kelestarian alam

Daya Cipta
Pembaharuan dan pengupayaan modal insan bagi meningkatkan daya cipta

Hormat
Budi bahasa berteraskan nilai tradisi, merayakan kemajmukan dan meraikan perbezaan pandangan

Keyakinan
Harapan terhadap perubahan ke arah kebaikan

Ihsan
Belas ihsan terhadap situasi semua pihak

6. Secara keseluruhannya, konsep Malaysia MADANI diharap dapat mewujudkan negara yang makmur dan progresif yang mengutamakan kesejahteraan rakyat dan kelestarian alam sekitar.

FORUM ILMUAN MALAYSIA MADANI (FIM)

7. MADANI diilhamkan berdasarkan konsep kesediaan menerima perubahan, dengan mengambilkira saranan segenap lapisan masyarakat dengan hasrat pemulihan melalui reformasi substantif demi Malaysia yang lebih maju dan makmur.

8. Justeru, FIM yang merupakan satu inisiatif yang diilhamkan oleh YAB Perdana Menteri diadakan sebagai satu bentuk intellectual discourse yang menjadi platform bagi para ilmuan dan tokoh dari segenap latar belakang masyarakat untuk berbincang mengenai isu, cabaran dan tindakan dalam menangani masalah masyarakat semasa dan seterusnya memberi input dan pandangan yang bermakna kepada kepimpinan negara dalam merangka dasar atau program pembangunan negara.

9. FIM juga adalah selari dengan aspirasi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang memainkan peranan penting untuk memupuk dan menggalakkan budaya perkongsian ilmu pengetahuan dan pengalaman oleh ilmuan dan masyarakat dalam pelbagai bidang berlandaskan pendekatan Whole-of-Nation.

10. FIM adalah bertujuan untuk:

(i) Menjadi wadah bagi perbincangan intelek dikalangan pakar, ahli akademik, ketua industri, usahawan dan masyarakat sivil mengenai pelbagai isu kritikal membabitkan rakyat;

(ii) Meningkatkan jalinan kerjasama antara Kerajaan, pihak industri/korporat dan Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) khususnya serta rakyat secara amnya; dan

(iii) Mewujudkan shared purpose dalam kalangan ahli forum agar setiap pihak yang terlibat berkongsi pemahaman yang sama tentang isu yang dibincangkan.

11. Program FIM ini akan dilaksanakan secara bersiri dengan penyertaan daripada pemimpin muda daripada Government Link Investment Companies (GLIC), Government Link Companies (GLC), ahli-ahli akademik, pegawai tinggi Kerajaan, tokoh usahawan dan pempengaruh tersohor.

12. FIM akan dianjurkan secara bersama oleh KPT dan GLC terpilih dengan topik forum yang diketengahkan adalah berkaitan Kerangka Ekonomi Madani. Bagi siri FIM malam ini, topik perbincangan kita adalah berkaitan peralihan tenaga.

13. Peralihan tenaga merupakan agenda penting negara dalam mendepani trend peralihan tenaga global yang sedang berkembang pesat selain meneroka peluang pembangunan ekonomi baharu dan merancakkan pelaburan dalam dan luar negara. Ini juga adalah iltizam Kerajaan untuk mengemudi peralihan sektor tenaga ke arah mencapai sasaran pelepasan GHG sifar bersih seawal-awalnya pada tahun 2050 bagi menjamin masa depan negara serta kesejahteraan rakyat.

14. Peralihan kepada tenaga yang lebih bersih dan mampan serta boleh diperbaharui seperti solar, hidro, angin dan sebagainya merupakan alternatif yang jelas, namun penuh dengan cabaran dari segi teknologi, ekonomi dan sosial.

PENUTUP

Hadirin sekalian,

15. Saya tidak berhasrat untuk bercakap lebih panjang lagi. Namun, suka saya maklumkan bahawa tidak semua orang diberi peluang untuk berada bersama-sama YAB Perdana Menteri dalam program FIM ini. Anda semua adalah yang terpilih untuk berada di sini bagi menyumbang kepada agenda Reformasi Kerajaan dengan memberi input dan pandangan bermakna kepada kepimpinan negara dalam merangka dasar atau program pembangunan negara

16. Membudayakan ilmu dan meraikan kepelbagaian pandangan juga adalah nilai teras Malaysia MADANI yang kita perlu sentiasa pupuk dan kembangkan.

17. Akhir kata, tahniah dan terima kasih sekali lagi kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan majlis ini.

18. Sekian, wabillahitaufik wal hidayah wassalamualaikum warahmatulhi wabarakatuh.

Muat Turun:

   pdf Teks Ucapan YBTM - Forum Ilmuan Malaysia MADANI (FIM) (106 KB)

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 3271
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Isnin 10 Februari 2025, 08:49:13.

logo-sirim