TEKS UCAPAN
YB DATUK TS. MUSTAPHA SAKMUD
TIMBALAN MENTERI PENDIDIKAN TINGGI
MAJLIS
PENYAMPAIAN PENGIKTIRAFAN MALAYSIA BOOK OF RECORDS
• The Largest Rooftop Solar Photovoltaic (PV) Project in Public Universities (UA); &
• The First Large Scale Integrated Hydroponic - Aquavoltaic Systems (IHAS).
DAN
PELANCARAN DUA (2) INISIATIF KERANGKA STRATEGIK
“TRUE-NORTH”
21 November 2024 (Khamis)
Terima Kasih Saudara/i Pengacara Majlis!
Bismillahirrahmanirrahim Assalamualaikum W.B.T dan Salam Sejahtera
Salam Malaysia MADANI.
[RUJUK SALUTASI]
1. Alhamdulillah, marilah kita sama-sama merafak kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnianya dapat kita berkumpul dalam MAJLIS PENYAMPAIAN PENGIKTIRAFAN MALAYSIA BOOK OF RECORDS PROJEK SOLAR DAN PELANCARAN DUA (2) INISIATIF KERANGKA STRATEGIK “TRUE-NORTH” di Fakulti Kejuruteraan UPM.
2. Bagi pihak pengurusan tertinggi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), saya ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada UPM kerana menjadi salah satu perintis di kalangan university awam dalam pelaksanaan projek solar PV yang merupakan projek pemasangan sistem solar rooftop terbesar di kalangan universiti awam dan di Malaysia. Saya juga dimaklumkan bahawa UPM turut menjadi perintis untuk pemasangan solar panel di atas tasik yang dikenali sebagai Projek Solar Terapung Hidroponik- Aquavoltaic Bersepadu Berskala Besar Merangkap Eko-Pelancongan atau Large Scale Integrated Hydroponic-Aquavoltaic Systems (IHAS) cum Eco-Tourism yang di tempatkan di Fakulti Kejuruteraan, UPM ini, yang dikenali sebagai “Floating Solar & Walkway @Eng UPM” sehingga mencipta rekod yang diiktiraf oleh Malaysia Book of Records. Tahniah!
3. Ucapan tahniah dan terima kasih diucapkan kepada pihak TNB di atas jalinan kerjasama strategik dan telah melaksanakan dengan jayanya pemasangan sistem solar di UPM melalui Pakej Pemasangan Tanpa Modal (zero CAPEX), melalui anak syarikat milik penuhnya iaitu GSPARX Sdn Bhd. Ini adalah contoh terbaik di antara kolaborasi universiti.
4. Setinggi-tinggi ucapan tahniah juga saya ucapkan kepada pihak Kopimesin di atas kolaborasi strategik dengan UPM untuk mendukung Pengalaman Pembelajaran dan Kehidupan Terbaik. Malah penghargaan juga ditujukan kepada pihak Malaysia Book of Records yang hadir pada hari bersejarah ini lanjutan memperakukan rekod baru UPM dalam inisiatif tenaga boleh baharu (renewable energy) bukan sahaja di Malaysia malah berupaya menjadi rujukan dunia.
5. Saya percaya jaringan ini akan memberikan manfaat dalam segala aspek yang membawa kebaikan Bersama kepada warga kampus dan komuniti setempat khasnya serta juga negara amnya.
Hadiran yang dihormati sekalian,
6. Inisiatif projek solar UPM ini sehingga mencipta Rekod MBoR adalah selaras dengan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) Fasa 1 yang diumumkan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri pada tahun lepas dalam usaha mengarus perdanakan peralihan tenaga negara untuk mencapai sasaran kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) sebanyak 70 peratus menjelang 2050. Pelan ini juga akan menjadi anjakan utama bagi memastikan peralihan tenaga yang saksama dan menjadikan sektor tenaga sebagai pemangkin utama dalam pembangunan sosioekonomi serta aspirasi negara dalam mengurangkan karbon pada 2040. Penggunaan teknologi solar PV di UPM, ini adalah sangat bertepatan dengan usaha yang disarankan oleh kerajaan.
7. KPT komited dalam menyokong dasar berhubung penjanaan tenaga yang komprehensif dan kompetitif. Ini membolehkan Malaysia melaksanakan usaha penyahkarbonan, dan menggunakan kelebihan kompetitif kita untuk menghasilkan pelaburan bernilai tinggi, dan yang paling penting, memelihara alam sekitar yang lebih mampan.
8. Untuk makluman, Kerajaan telah menyasarkan jumlah pelaburan kira-kira RM637 billion sehingga tahun 2050 untuk merealisasikan usaha untuk meningkatkan kapasiti TBB sehingga 70 peratus atau 55 GigaWatt (GW) dalam sektor tenaga. Usaha ini merangkumi pelaburan dalam sumber penjanaan tenaga daripada sumber TBB, mengukuhkan infrastruktur grid termasuk menambahbaik talian penghantaran, integrasi sistem penstoran tenaga dan penambahan operasi sistem rangkaian grid. Ketika ini, Malaysia berada di tahap 25 peratus atau 10GW, dengan sasaran 40 peratus TBB menjelang 2050.
Hadirin yang dihormati sekalian,
9. UPM telah pun melaksanakan pelbagai inisiatif hijau yang menyokong Dasar Alam Sekitar Negara yang mempunyai lapan (8) prinsip dan tujuh (7) strategi hijau. Strategi Hijau pertama memfokuskan aspek pendidikan dan kesedaran yang memberi kefahaman tentang konsep kesejahteraan alam sekitar dan pembangunan lestari, selaras dengan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG).
10. Agenda melestarikan alam sekitar merupakan tanggungjawab kita bersama tanpa mengira latar belakang. Kerjasama erat antara semua pihak akan menjamin alam sekitar yang lebih bersih, sihat dan selamat. Saya harap, lebih banyak inovasi akan terus dibuat dalam mengintegrasi prinsip alam sekitar, sosial, dan tadbir urus ke dalam semua institut pendidikan tinggi negara.
11. Percayalah, tindakan kita hari ini berkait rapat dengan hala tuju masa hadapan. Justeru, kita perlu sentiasa memikirkan dan mengambil Langkah untuk menyelamatkan sumber yang ada dan menghasilkan pendapatan dengan konsep kecekapan tenaga serta kelestarian alam sekitar demi generasi akan datang. Untuk itu, dan lanjutan daripada rekod MBoR yang diusahakan oleh UPM ini, saya menyeru semua institut pengajian tinggi dan pemain industri seperti TNB- GSparx untuk terus meneroka tenaga boleh baharu yang akan menjadi satu game-changer dalam ekonomi kitaran negara.
Hadirin yang dihormati sekalian,
12. Saya percaya, selain memelihara kelestarian alam sekitar, kewujudan ekosistem pendidikan tinggi yang “segar” dan kondusif adalah sangat diperlukan. Universiti dan institut pendidikan tinggi (IPT) sebagai “taman ilmu dan budi”, merupakan tempat untuk menimba ilmu dan membentuk adab serta budi disamping memastikan agar kesejahteraan hidup warganya adalah tinggi.
13. Pembangunan j.Map di Fakulti Kejuruteraan UPM dilihat berjaya membentuk landskap kreatif dalam menggilap bakat inovatif berteknologi seterusnya menyumbang kepada pemerkasaan pembangunan produk digital kreatif. Pelancaran j.Map pada hari ini jelas membuktikan bahawa UPM umumnya dan Fakulti Kejuruteraan UPM khususnya telah menyahut hasrat kerajaan dalam memperkasa pendigitalan dan bersedia mengadaptasi teknologi baharu. Semoga ianya menjadi pencetus kepada pusat tanggung jawab lain di UPM malah merentasi IPT di Malaysia.
14. Inisiatif j.Lounge di Fakulti Kejuruteraan UPM berkonsepkan “learning cafe” hasil kolaborasi UPM-kopimesin, sangat berkait rapat dengan fleksibiliti dalam pengajaran dan pembelajaran. Sinergi antara fleksibiliti dan kualiti adalah penting kerana fleksibiliti membolehkan kita menyesuaikan diri dengan dinamik pembelajaran dan pendidikan yang sentiasa berubah. j.Lounge memberi ruang kepada mahasiswa dan pengajar mengadaptasi pengajaran dan pembelajaran yang fleksibel bagi memastikan proses perpindahan ilmu terus berlaku dalam apa jua keadaan. IPT perlu bersedia untuk menjadi lebih fleksibel dan adaptif sebagaimana yang dilaksanakan di Fakulti Kejuruteraan UPM ini.
Hadirin yang dihormati sekalian,
15. Selain daripada pemeliharaan dan pengurusan alam sekitar serta inovatif pelbagai inisiatif dalam pengajaran dan pembelajaran, besar harapan kami di kementerian untuk melihat usaha - usaha yang dilaksana oleh universiti dan industri dapat membantu meningkatkan produktiviti dan kecekapan pengurusan kos yang secara tidak langsung membantu melancarkan operasi universiti dan industri masing-masing.
16. Keterlibatan para penyelidik universiti secara tidak langsung akan menjadi penyelesai masalah pelbagai pihak berkepentingan disamping melahirkan penyelidik-penyelidik dalam negara yang mahir. Saya amat berharap, keberhasilan daripada projek solar yang diiktiraf oleh MBoR dan pelbagai inisiatif baharu yang dilaksanakan oleh UPM ini, boleh menjadi contoh, suntikan atau penanda aras kepada universiti awam dan sektor yang lain untuk kelestarian organisasi serta negara.
17. Kepada pihak TNB, GSPARX dan Kopimesin, saya amat berharap agar kerjasama yang dijalinkan ini akan menjadi titik permulaan untuk kita meneroka peluang kerjasama dan rundingan strategik yang lebih menguntungkan kedua-dua belah pihak serta mendukung aspirasi negara.
Hadiran dan Hadirat yang dihormati sekalian,
18. Akhir kata, tahniah sekali lagi saya ucapkan kepada pihak pengurusan UPM umumnya, Fakulti Kejuruteraan UPM khususnya, TNB, GSPARX dan Kopimesin atas kerjasama berimpak ini. Projek dan kolaborasi ini telah menterjemahkan usaha sama antara universiti awam dan industri yang memberi manfaat berterusan kepada warga institusi pendidikan dan komuniti sejagat.
19. Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih juga kepada jawatankuasa penganjur dan semua yang telah memainkan peranan signifikan dalam memastikan pelaksanaan majlis pada hari ini berjalan lancar dengan jayanya.
20. DENGAN LAFAZ BISMILLAHHIR- RAHMANNIRAHIM, SAYA MENYEMPURNAKAN PENERIMAAN
PENGIKTIRAFAN MALAYSIA BOOK OF RECORDS PROJEK SOLAR UPM
DAN
PELANCARAN DUA (2) INISIATIF KERANGKA STRATEGIK “TRUE- NORTH” UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA (UPM)
IAITU
INISIATIF J.MAP DAN INISIATIF J. LOUNGE.
Sekian, terima kasih!
Muat Turun:
pdf Teks Ucapan YBTM KPT - Mbor Projek Solar Terbesar UPM (230 KB)
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 986