logo kpt black

TEKS UCAPAN

YB DATUK TS. MUSTAPHA SAKMUD
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi

MAJLIS PELANCARAN SUKAN
INSTITUSI PENDIDIKAN TINGGI
(SUKIPT) 2024

17 JULAI 2024 (RABU)


Terima Kasih Saudara/i pengacara majlis!

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamualaikum W.B.T dan Salam Sejahtera

Salam Malaysia MADANI.

[RUJUK SALUTASI]

PENDAHULUAN

1. Terlebih dahulu, saya ingin menzahirkan rasa bertuah saya pada pagi ini kerana dapat bersama-sama dengan Keluarga Besar IPT sempena MAJLIS PELANCARAN SUKAN INSTITUSI PENDIDIKAN TINGGI ATAU SUKIPT 2024.

2. Untuk makluman semua, SUKIPT 2024 ini bakal berlangsung pada 6 hingga 14 September 2024, insya Allah bertempat di Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok, Kedah.

3. Ribuan terima kasih saya ucapkan kepada UUM selaku tuan rumah temasya kali ini atas kesudian menjemput saya untuk menyampaikan aspirasi dan pengharapan dalam majlis yang penuh bermakna ini.

PENGANJURAN SUKIPT 2024

Hadirin yang saya hormati sekalian,

4. Citra penganjuran SUKIPT sebenarnya telah bermula pada tahun 2012 di Universiti Putra Malaysia (UPM). Kemudiannya, di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam pada tahun 2014. Pada tahun 2016, tuan rumah SUKIPT ialah Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di Johor, dan Edisi ke- 4, 2018 berlangsung di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). SUKIPT telah ditangguhkan penganjurannya pada tahun 2020 ekoran daripada Pandemik COVID-19 dan edisi terakhir sebelum ini iaitu pada tahun 2022, atlet-atlet IPT kita berentap di gelanggang Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

5. Alhamdulillah, selepas kejayaan penganjuran pada tahun 2022, SUKIPT meneruskan tradisinya di kampus yang permai – Universiti Utara Malaysia. Menjadi harapan saya agar kejohanan ini dapat menghadirkan satu persaingan yang kompetitif dan memberikan ruang untuk lebih ramai mahasiswa IPT kita bergiat aktif di arena sukan.

6. Saya juga percaya bahawa SUKIPT 2024 akan terus menjadi medan untuk atlet IPT sentiasa mengekalkan prestasi terbaik mereka sebelum bersaing di kejohanan-kejohanan di peringkat antarabangsa termasuklah Sukan Uiversiti ASEAN (AUG), Sukan Universiti Dunia (UNIVERSIADE), Sukan SEA, Sukan Asia dan Sukan Olimpik.

7. Dalam hal ini, saya difahamkan SUKIPT 2024 bakal mempertandingkan 28 acara sukan dengan jumlah 233 pingat emas untuk direbut. Saya diberitahu juga bahawa sebanyak 74 kontinjen telah mengesahkan peyertaan untuk beradu kekuatan, dengan kehadiran lebih 6,000 orang atlet, 2,500 orang pegawai dan lebih
400 orang sukarelawan di 23 gelanggang pertandingan.

8. Saya yakin, dengan penyertaan terbuka kepada semua atlet dan keberadaaan atlet kebangsaan yang ramai dalam kalangan atlet IPT, aksi yang dipamerkan oleh atlet yang bertanding nanti mampu meletakkan SUKIPT sebagai satu temasya sukan terbesar dan bertaraf tinggi, setanding dengan kejohanan lain seperti Sukan Malaysia (SUKMA) dan sebagainya.

PERKARA BAHARU SUKIPT 2024

9. Justeru, bagi memberikan kelainan dan nafas yang lebih segar kepada penganjuran SUKIPT, pada tahun ini, kita perkenalkan beberapa perkara baharu. Untuk makluman hadirin sekalian, selain dari mengekalkan tema atau slogan ‘Minda Juara’, SUKIPT 2024 akan menjadi penganjuran acara sukan IPT pertama di negara ini yang menekankan aspek “low carbon” yang akan membawa kejohanan ini ke arah meminimumkan penggunaan karbon dalam setiap aktivitinya.

10. Selain itu, SUKIPT 2024 juga akan diperhebatkan dengan aktiviti sampingan yang melibatkan Karnival Sambutan 40 Tahun UUM, Karnival Keusahawanan dan seminar kerjaya. Aktiviti ini akan memberi ruang kepada seluruh penggiat sukan di negara ini untuk terlibat sama dengan penganjuran SUKIPT.

11. Bukan itu sahaja, bagi meningkatkan lagi semangat dan motivasi atlet yang bertanding, Kementerian juga bersetuju untuk mengekalkan beberapa Insentif Kecemerlangan SUKIPT yang telah diperkenalkan sebelum ini:

 Pertamanya, Olahragawan dan Olahragawati SUKIPT 2022 bakal menerima wang tunai berjumlah Ringgit Malaysia Tiga Ribu (RM3,000.00) setiap seorang.

 Kedua, Pasukan Terbaik Lelaki dan Wanita SUKIPT masing- masing akan menerima wang tunai berjumlah Ringgit Malaysia Tujuh Ribu (RM7,000.00).

 Dan, ketiga, pemain yang berjaya melakukan Hole In One bagi sukan Golf juga ditawarkan wang tunai berjumlah Ringgit Malaysia Seribu (RM1,000.00).

12. Suka juga saya umumkan di sini bahawa, wang tunai berjumlah Ringgit Malaysia Dua Puluh Ribu (RM20,000.00) akan diberikan secara bersama kepada atlet-atlet yang berjaya memecahkan rekod kebangsaan di kejohanan ini juga dikekalkan bagi penganjuran SUKIPT 2024.

13. Insentif ini kita kekalkan kerana sejak temasya SUKIPT diadakan, masih belum seorang pun atlet yang mampu memecahkan rekod kebangsaan dalam apa-apa acara sukan yang dipertandingkan. Oleh itu, saya cabar kontinjen-kontinjen dan para atlet semua untuk pamerkan prestasi yang terbaik dan rebut peluang keemasan ini!

KOMITMEN KEMENTERIAN

14. Sesungguhnya tuan-tuan dan puan- puan sekalian, KPT amat komited dengan usaha untuk meningkatkan mutu sukan negara melalui penganjuran acara sukan berskala tinggi, bertaraf kebangsaan dan antarabangsa. Ini penting bagi mengekalkan momentum kecemerlangan prestasi atlet IPT dan negara di peringkat tertinggi, termasuklah di Sukan Universiti ASEAN, Sukan Universiti Dunia, Sukan SEA, Sukan Asia, Sukan Komanwel dan Sukan Olimpik.

15. Menjadi sesuatu yang amat membanggakan dan menggembirakan saya apabila baru-baru ini, dalam Sukan Universiti ASEAN di Surabaya dan Malang Indonesia, atlet IPT kita telah membuktikan bahawa mereka mampu untuk membawa cabaran Sukan Negara di pentas sukan antarabangsa. Mereka bukan sahaja telah berjaya mencapai dua sasaran yang kita telah tetapkan iaitu memperolehi sekurang- kurangnya 35 Pingat Emas dan menjadi antara 3 kontinjen terbaik tetapi turut memberi bonus 3 Pingat Emas apabila meraih 38 Pingat Emas, 47 pingat Perak dan 62 Pingat Gangsa di akhir kejohanan. Syabas! Dan Tahniah! saya ucapkan kepada semua.

16. Sukan-sukan seperti Olahraga, Renang, Judo, dan Taekwondo antara yang paling menyerlah dan menjadi penyumbang utama kepada kecemerlangan kontijen negara di AUG 2024 yang lalu. Prestasi baik ini perlu dipertingkatkan apabila Malaysia bakal menjadi tuan rumah kepada penganjuran AUG 2026 nanti.

17. Minda juara seperti ini perlu kita kekalkan dalam setiap pertandingan sukan yang disertai. Paling dekat, saya difahamkan atlet IPT kita turut akan terlibat membantu perjuangan negara untuk memiliki pingat Emas pertama di Sukan Olimpik. Seramai 8 orang atau 30.8% daripada 26 orang atlet yang akan memperkuatkan Kontinjen Olimpik Paris pada 26 Julai hingga 11 Ogos nanti hadirnya dari IPT. Tahniah!! kepada Mohd Aniq Kasdan, Angkat Berat (UiTM), Nurul Izzah Izzati Mohd Asri, Berbasikal Trek, (UM), Trio Memanah Recurve, Ariana Nur Dania Mohamad Zairi (GMI), Syaqiera Mashayik (UPM), Nurul Azreena Mohamad Fazil (UiTM), Khiew Hoe Yen, Renang (UCSI), Nur Dhabitah Sabri, Terjun (UKM) dan Muhamad Azeem Mohd Fahmi (Auburn University). Jadinya, saya berharap para atlet kita akan terus mempamerkan aksi, mencipta kecemerlangan sukan negara di persada dunia! Malaysia Boleh! Atlet IPT Boleh!

HARAPAN DAN PENUTUP

Hadirin dan hadirat yang saya hormati sekalian,

18. Saya berharap penganjuran SUKIPT ini akan berterusan signifikan memberikan impak yang menyeluruh kepada perkembangan sukan di IPT negara ini. Melalui kejohanan inilah kita dapat melahirkan ramai wirawan dan wirawati sukan negara.

19. Sekalung penghargaan saya ucapkan kepada semua pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam menjayakan penganjuran kejohanan kali ini – UUM selaku tuan rumah, IPT yang turut terlibat sebagai Jawatankuasa, Majlis Sukan Negara, Institut Sukan Negara, Persatuan Sukan Kebangsaan, agensi-agensi kerajaan, majlis-majlis sukan IPT, rakan penaja dan rakan media – terima kasih saya ucapkan!

20. Dengan kata-kata keramat selamat berjuang kepada semua, dan lafaz bismillahirahmanirrahim, saya dengan sukacitanya melancarkan Sukan Institusi Pendidikan Tinggi – SUKIPT 2024.

Sekian.

Wabillahitaufiq wal hidayah.

Wassalamualaikum W.B.T

Muat Turun:

  pdf Teks Ucapan YBTM - Majlis Pelancaran Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT) 2024 (125 KB)

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 3311
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Jumaat 11 Oktober 2024, 07:37:56.

logo-sirim