logo kpt black

TEKS UCAPAN

YB DATUK TS. MUSTAPHA SAKMUD
TIMBALAN MENTERI PENDIDIKAN TINGGI

MAJLIS PERASMIAN SEMINAR PEMBANGUNAN BAKAT
KECERDASAN BUATAN NEGARA

16 Disember 2024 (Isnin)


Terima Kasih Saudara/i Pengacara Majlis,

Bismillahirahmanirrahim. Assalamualaikum W.B.T dan Salam Sejahtera,

Salam Malaysia Madani.

[SALUTASI]

[PANTUN]
Anak Nelayan menjala ikan
Di tepi Pantai bermain bayu
Bakat dibina dengan kesungguhan
Mencipta bangsa maju dan padu

1. Alhamdulillah, marilah kita memanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia-Nya, kita dapat bersama-sama berhimpun pada hari ini dalam MAJLIS PERASMIAN SEMINAR PEMBANGUNAN BAKAT KECERDASAN BUATAN NEGARA. 

2. Saya ingin merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Universiti Teknologi Malaysia (UTM), khususnya Fakulti Kecerdasan Buatan (FAI) dan rakan strategik Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) atas inisiatif penganjuran seminar ini. Saya percaya seminar ini dapat menjadi platform untuk meningkatkan kualiti pendidikan kecerdasan buatan atau Artificial Intelligence (AI) di Malaysia. 

Hadirin yang dihormati Sekalian,

3. AI bukan sekadar teknologi, ia kini menjadi pemacu utama kepada transformasi ekonomi dan sosial di peringkat global. Dalam konteks negara kita, AI berpotensi untuk menjadi asas kepada pembangunan yang mampan, sekali gus menjadikan Malaysia sebagai hab inovasi teknologi di rantau Asia.

4. Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) melihat AI sebagai pemangkin kepada transformasi pendidikan tinggi negara. AI bukan sahaja membantu mempercepatkan proses penyelidikan dan pembelajaran, tetapi juga membuka peluang baharu dalam membangunkan model pendidikan yang lebih inklusif dan bersifat masa depan.

5. Justeru, pihak Kementerian sentiasa menyokong inisiatif seperti ini yang dirancang dengan matlamat untuk memperkukuhkan pembangunan bakat tempatan yang dapat memenuhi keperluan ekosistem AI negara.

6. Kita sentiasa berusaha untuk memastikan bahawa bakat yang dibangunkan ini mampu bersaing di peringkat antarabangsa, selaras dengan aspirasi Malaysia untuk menjadi pemimpin teknologi global.

7. Saya yakin bahawa penglibatan lebih 200 peserta daripada institusi pendidikan tinggi, industri, dan pihak berkepentingan lain mencerminkan komitmen kita bersama untuk mengarusperdanakan teknologi AI dan melahirkan bakat-bakat berkualiti yang memenuhi keperluan teknologi semasa.

Hadirin yang dihormati Sekalian,

8. Usaha UTM, khususnya Fakulti Kecerdasan Buatan (FAI), serta kerjasama erat dengan MQA untuk menjayakan seminar ini, adalah satu langkah strategik yang amat bermakna. Ini sejajar dengan visi Malaysia Madani, terutamanya Teras Daya Cipta, yang menekankan pentingnya inovasi dan kreativiti dalam membentuk masa depan negara serta ketamadunan bangsa.

9. Daya cipta ini tidak hanya bermaksud kecemerlangan teknikal semata- mata, tetapi juga melibatkan pembangunan graduan yang memiliki sifat kepimpinan, etika, dan kemampuan menyelesaikan masalah secara holistik. Ini adalah ciri-ciri yang diperlukan untuk memastikan graduan kita mampu memberi sumbangan besar kepada pembangunan sosial dan ekonomi negara.

10. Kerjasama antara agensi kerajaan, institusi pendidikan, dan pihak industri dalam seminar ini merupakan contoh teladan bagaimana sinergi antara pelbagai pihak dapat mempercepatkan transformasi teknologi di negara kita.

11. Saya yakin, usaha ini akan melahirkan bakat yang bukan sahaja memenuhi keperluan industri semasa, tetapi juga membantu kita membina ekosistem teknologi yang mampan untuk generasi akan datang.

Hadirin yang dihormati Sekalian,

12. Sebelum saya mengakhiri ucapan ini, saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan tahniah kepada UTM dan MQA serta semua yang terlibat dalam menjayakan seminar ini.

13. Saya yakin kerjasama erat antara UTM dan MQA akan menjadi model terbaik untuk program-program lain pada masa akan datang. Kepada semua peserta, saya berharap anda akan memanfaatkan peluang ini untuk membina rangkaian, memperkukuh ilmu, dan mendapat inspirasi daripada sesi pembentangan dan bengkel yang telah disusun.

14. Semua idea dan penemuan dalam seminar ini akan menjadi asas kepada usaha kita untuk merangka strategi pendidikan yang lebih berkesan dan sejajar dengan aspirasi negara. InsyaAllah.

15. DENGAN LAFAZ BISMILLAHIRAHMANIRRAHIM, SAYA DENGAN INI MERASMIKAN SEMINAR PEMBANGUNAN BAKAT KECERDASAN BUATAN NEGARA.

Sekian,
Wabillahitaufiq Wal Hidayah.
Wassalamualaikum
Warahmatullahi Wabarakatuh.

Terima Kasih!

Muat Turun:

  pdf Teks Ucapan YBTM - Majlis Perasmian Seminar Pembangunan Bakat Kecerdasan Buatan Negara (74 KB)

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 455
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Jumaat 07 Februari 2025, 02:56:33.

logo-sirim