Perutusan YB Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad Menteri Pengajian Tinggi Sempena: Kempen Pembudayaan Norma KPT

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

PEMBUKA BICARA

  • Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Allah S.W.T kerana dengan izin-Nya jua, kita diberi kesempatan untuk bersama-sama pada hari ini sempena Kempen Pembudayaan Norma Baharu peringkat Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).
  • Sebagaimana yang semua sedia maklum, Yang Amat Berhormat Perdana Menteri telah melancarkan Kempen Pembudayaan Norma Baharu pada 8 Ogos 2020 yang lepas. Kempen ini bertujuan meningkatkan kesedaran dan memperkasa komuniti untuk melindungi diri, keluarga dan komuniti masing-masing dalam usaha memerangi pandemik COVID-19 dan membudayakan norma baharu.
  • Di peringkat KPT, kita juga tidak ketinggalan untuk mendukung pelaksanaan kempen ini. Setelah menempuhi pelbagai perkara termasuklah pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang melibatkan Wilayah Persekutuan Putrajaya bermula pada 14 Oktober 2020 yang lepas, hari ini, dapat juga kita realisasikan. Suka saya nyatakan di sini bahawa sesi pada hari ini dilaksanakan dalam suasana penuh kreativiti dengan berpandukan prosedur operasi standard (Standard of Procedure – SOP) yang telah ditetapkan, di samping turut memanfaatkan teknologi selaras dengan norma baharu.
  • Justeru, terima kasih dan tahniah saya ucapkan kepada Unit Komunikasi Korporat (UKK), Bahagian Khidmat Pengurusan dan Bahagian Penyelidikan dan Perancangan Dasar, KPT yang telah bertungkus lumus menjayakan sesi pada hari ini.

SENARIO SEMASA PANDEMIK COVID-19

Hadirin sekalian,

  • Pertubuhan Kesihatan Sedunia (World Health Organization – WHO) pada Mei yang lepas telah mengeluarkan amaran bahawa COVID-19 tidak akan hilang dari muka bumi ini. Malah, penduduk dunia perlu terima hakikat dan belajar untuk hidup dengannya. Selagi vaksinnya tidak ditemui, selagi itulah kita akan terus berhadapan dengan dampak negatif yang dicetuskan oleh COVID-19.
  • Tedros, Ketua Pengarah WHO turut mengingatkan bahawa ancaman terbesar bagi negara-negara di mana situasinya semakin baik sekarang adalah “berpuas hati”, sedangkan pada masa yang sama kebanyakkan penduduk di seluruh dunia masih terdedah kepada jangkitan. Sehingga semalam sahaja, jumlah kes global telah melebihi 54 juta. Malah, rekod kematian juga mencecah sehingga 1.3 juta kes hanya dalam tempoh kurang daripada setahun. Dengan sifat virus COVID-19 yang mudah merebak dan mengalami mutasi, maka tidak mustahil jika suatu hari nanti, jumlah kes COVID-19 akan mengatasi jumlah mangsa Perang Dunia Kedua!
  • Angka ini pastinya menimbulkan kegusaran kepada semua pihak. Di Malaysia sahaja, semalam, jumlah kes kumulatif yang dicatatkan mencapai 48,520 kes. Bahkan, kes harian gelombang ketiga wabak COVID-19 yang direkodkan kian bertambah sehingga mencecah empat angka, yakni yang tertinggi semenjak wabak ini melanda negara awal tahun 2020. Hal ini menuntut Kerajaan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) hampir di seluruh negara demi keselamatan dan juga kesihatan rakyat. Pendekatan yang lebih tegas dan berani mesti diambil sebelum keadaan menjadi lebih parah.

IKTIBAR DARI KISAH NEGARA TAIWAN

Hadirin sekalian yang saya hormati sekalian,

  • Pada awal kemunculan COVID-19 dan ketika dunia masih leka dengan potensi bahayanya COVID-19, Australia dan Taiwan sudah mencatatkan empat jangkitan di wilayahnya. Kedua-duanya mempunyai populasi yang hampir sama, iaitu kira-kira 24 juta penduduk. Kedua-duanya juga merupakan pulau yang membolehkan kawalan ketat ke atas sempadan mereka dilaksanakan. Malah, kedua-duanya juga mempunyai hubungan perdagangan dan pengangkutan yang kuat dengan tanah besar China. Walau bagaimanapun, sepuluh minggu kemudian, Australia mencatatkan lebih 6,000 kes sementara Taiwan merekodkan kurang daripada 400 kes. Persoalannya, bagaimana Taiwan berjaya mengawal penularan virus itu ketika negara lain masih bertungkus lumus berperang dengannya?
  • Di Taiwan, selain daripada sistem penjagaan kesihatan yang bertaraf dunia, pemakaian pelitup muka (facemask) sudah menjadi rutin seawal Januari 2020. Tidak hanya dengan itu, para pegawai di Pusat Perubatan Kesihatan Nasional (NHCC) Taiwan bertindak balas pantas terhadap ancaman yang berkemungkinan. 124 senarai tindakan untuk dilaksanakan bagi tempoh lima minggu telah diwujudkan untuk melindungi kesihatan awam. Taiwan turut memanfaatkan sepenuhnya teknologi bagi mengawal dan mengesan keberadaan kes COVID-19 serta memantau pergerakan penduduknya.
  • Upaya ini tidak terbatas kepada profesional kesihatan di Taiwan semata-mata. Yang lebih menariknya, komuniti perniagaan dan orang ramai memberikan komitmen tinggi terhadap ikhtiar kerajaannya untuk membendung penularan pandemik COVID-19. Ini termasuklah menyokong usaha mewajibkan pemakaian pelitup muka dan pengamalan penjarakan fizikal. Maka, tidak hairanlah jika negara kecil tetapi berjiwa besar itu menyaksikan tiada kes tempatan baharu selama tempoh 200 hari selain belum ada dilaporkan gelombang kedua jangkitan!
  • Mengambil iktibar ini, kita seharusnya sedar bahawa pengaplikasian norma baharu ternyata memberikan kesan yang positif dalam memutuskan rantaian COVID-19. Untuk melandaikan lengkungan COVID-19, kerjasama segenap lapisan masyarakat amatlah diperlukan. Jadinya, adalah penting juga bagi semua warga Pengajian Tinggi khususnya, kekal berdisiplin mengamalkan norma-norma baharu yang digariskan.

KEMPEN PEMBUDAYAAN NORMA BAHARU

Hadirin sekalian,

  • Kempen Pembudayaan Norma Baharu menggunakan pendekatan CAPP, iaitu CEGAH; AMAL; PATUH; dan PANTAU. CEGAH di sini merujuk kepada cegah COVID-19 dengan mendidik keluarga serta komuniti tentang norma baharu kehidupan. AMAL pula menekankan tentang pentingnya mengamalkan tingkah laku bagi mengelakkan diri, keluarga dan komuniti daripada jangkitan COVID-19. Sementara itu, PATUH memberikan pengertian bahawa perlunya patuh kepada SOP pengoperasian sektor utama negara dan arahan-arahan lain Kerajaan, dan PANTAU merujuk kepada tindakan memantau status kesihatan diri dan keluarga, segera mendapatkan rawatan jika bergejala, di samping sentiasa melakukan saringan suhu badan dan gejala sebelum memasuki sesebuah premis.
  • Bagi maksud pendekatan yang pertama, Kementerian amat komited untuk sentiasa mempromosikan pembudayaan norma baharu dalam kalangan warga Pengajian Tinggi. Antara wadah yang kita gunakan adalah melalui media sosial, siar raya, hebahan melalui e-mel serta medium promosi lain yang bersesuaian.
  • Saya juga menyeru agar warga Pengajian Tinggi sekalian sentiasa mengamalkan amalan “3W”, iaitu WASH atau kerap mencuci tangan dengan air dan sabun; WEAR, iaitu wajib memakai pelitup muka di tempat awam atau jika bergejala; dan WARN, iaitu sentiasa mengikuti peringatan dan nasihat daripada pihak berkuasa khususnya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenai wabak COVID-19 ini.
  • Selain itu, adalah penting untuk semua pihak sentiasa mengelakkan “3S” atau 3C, iaitu kawasan yang SESAK atau CROWDED PLACES, kawasan yang SEMPIT atau CONFINED SPACES dan SEMBANG SECARA DEKAT atau CLOSE CONVERSATION.
  • Susulan itu, pihak IPTA mahupun IPTS haruslah tegas dalam memastikan segala SOP yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dipatuhi. Aktiviti keramaian atau program luar kuliah yang menghimpunkan orang ramai dan menyukarkan kawalan keadaan pada satu-satu masa, hendaklah dielakkan. Pihak pentabdiran IPT juga haruslah memastikan mahasiswa, kakitangan akademik dan kumpulan pelaksana tidak berada di dalam ruang rapat dan tertutup dalam tempoh yang lama.
  • Ambil iktibar ke atas apa yang berlaku kepada Mohamed Salah, bintang bola sepak Liverpool yang disahkan positif COVID-19 hanya beberapa hari selepas dia menghadiri majlis perkahwinan adiknya. Menerusi rakaman video dan gambar yang tersebar di media sosial, Salah dilihat melanggar penjarakan fizikal di samping tidak memakai pelitup muka. Jelasnya, tiada siapa pun yang kebal terhadap virus berbahaya ini!
  • Dari aspek pemantauan, warga Pengajian Tinggi termasuklah semua pelajar hendaklah memanfaatkan sepenuhnya aplikasi MySejahtera. Ini penting bagi membantu pihak KKM memantau dan menjejaki kontak rapat sekiranya terdapat kes indeks direkodkan. Menjadi tanggungjawab semua untuk sentiasa cakna akan kesejahteraan diri masing-masing. Jika berasa demam atau mengalami batuk, sakit tekak, selsema atau sesak nafas, haruslah segera mendapatkan rawatan di hospital atau klinik berhampiran.
  • Pihak Kementerian juga amat prihatin dengan keperluan tenaga pengajar dan juga para pelajar di IPT dalam mendakap norma baharu, terutamanya dari aspek pengajaran dan pembelajaran (PdP). Mahu atau tidak, PdP secara dalam talian merupakan antara norma baharu yang perlu kita santuni secara menyeluruh. Selain daripada inisiatif-inisiatif yang telah Kerajaan umumkan sebelum ini, seperti bantuan kemudahan pakej pelan data dan peranti, keterbukaan dan ketersediaan ekosistem pendidikan tinggi negara terhadap horizon baharu kaedah PdP juga menjadi faktor penting kepada kejayaan kempen ini.

PENUTUP BICARA

Hadirin yang saya hormati sekalian,

  • Besar harapan saya agar seluruh warga Pengajian Tinggi, bersama-sama berganding bahu, menggembleng tenaga menyokong segala ikhtiar yang kita laksanakan. Tanpa anda semua segala usaha yang dilaksanakan pasti tidak dapat mencapai kejayaan yang dijangkakan. Teruslah berdisiplin mematuhi SOP. Sama-sama kita berdoa semoga dengan kesungguhan, komitmen serta kesabaran kita semua, Allah S.W.T. akan mengurniakan kesembuhan kepada Malaysia dan dunia daripada virus COVID-19.

Sekian.

Wabillahitaufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 15181
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Rabu 27 Mac 2024, 16:20:33.