logo kpt black

TEKS SYARAHAN

YB. DATO’ SERI MOHAMED KHALED NORDIN
MENTERI PENDIDIKAN TINGGI

PROGRAM SYARAHAN ZA’BA 2023

30 MEI 2023


“PEMERKASAAN PENGAJIAN MELAYU UNTUK PEMBINAAN NEGARA DAN PENGISIAN TUNTUTAN GLOBALISASI”

Tuan-tuan dan puan-puan,

1.    Tujuh tahun lepas, saya telah menyampaikan satu syarahan bertajuk Pengajian Melayu dan Masa Depannya : Keperluan Membangun Naratif Baharu di Royal Asiatic Society, London.

2.    Dalam syarahan tersebut, saya telah mengupas dan mengulas pelbagai isu yang mendepani pengajian Melayu.

3.    Ada beberapa perkara yang telah saya tegaskan.

4.    Pertama, keperluan untuk kita meletakkan pengajian Melayu sebagai sesuatu yang penting, besar dan menarik. Bukan berimpak kecil dan bernilai rendah.

5.    Kerana dunia Melayu berpusat di, tenggara Asia, satu rantau yang ekonominya paling pesat membangun.

6.    Daerah di mana Islam dalam dunia Melayu telah menyaksikan kemajuan paling progresif. Dan yang paling penting, daerah dunia Melayu ini telah membangun dalam segala sudut, termasuk peningkatan taraf hidup dan mutu pendidikan yang sangat ketara.

7.    Justeru, Pengajian Melayu mesti menjadi disiplin besar yang mendukung segala kepesatan ini.

8.    Ia mesti menjadi sumber rujukan kepada kemajuan sebuah bangsa dan tanahair Melayu.

9.    Pusat ilmu yang mampu memberi jawapan sebenar tentang segala sejarah, nilai, budaya dan citra bangsa Melayu, dalam pelbagai dimensi dan fasa kemajuan peradaban bangsa.

10.  Kedua, keperluan bidang pengajian Melayu untuk berubah, untuk tidak hanya berkisar tentang perkara yang lumrah dan untuk bersedia mendakap perubahan dalam melakukan lonjakan yang radikal.

11.  Jika tidak, pengajian Melayu akan hanya dianggap berkisar tentang pantun dan talibun, tentang syair dan teromba atau lagu gurindam dan sesomba.

12.  Kesempitan pendekatan sedemikian tidak sesuai lagi dengan segala kepesatan kemajuan yang telah nyata berlaku di dunia Melayu.

13.  Gelombang globalisasi serta modenisasi dan bagaimana dampaknya terhadap bangsa Melayu seharusnya mendasari landskap pengajian Melayu dalam era moden.

14.  Ketiga, betapa pentingnya para penyelidik, pendukung dan ahli pengajian Melayu menggalas satu tanggungjawab moral untuk mengembangkan disiplin ini dan menawarkan pelbagai solusi dan jawapan terhadap pelbagai isu dan cabaran nasional serta global.

15.  Kemukakan hikmah dari tamadun Melayu. Sarankan kearifan tempatan. Tamsilkan pemikiran dari kekayaan khazanah budaya bangsa.

16.  Masakan kita tiada apa yang boleh ditawarkan daripada pelbagai hikmah dan kearifan bangsa,

17.  Agar sistem pengajian Melayu ini dilihat dinamik, bernas dan berupaya untuk bergerak seiring dengan perubahan zaman.

18.  Hari ini, saya ingin menegaskan bahawa saya kekal dengan pendirian dan pandangan-pandangan yang telah saya zahirkan 7 tahun lepas.

19.  Saya percaya kesemuanya masih sangat relevan. Malah, kesemuanya mempunyai kegentingan yang lebih mustahak dalam konteks semasa.

Tuan-tuan dan Puan-puan;

20.  Pada kesempatan penting hari ini, dalam semangat dan aspirasi Almarhum Pendeta Za’ba yang sangat kita sanjungi, izinkan saya berkongsi beberapa perkara lagi tentang bangsa dan tanahair.

21.  Dan bagaimana Akademi ini dan kita semua, harus bertanggungjawab untuk mencari pencerahan dan menampilkan kecerdasan baharu demi tanahair yang maju dan bangsa yang berjaya.

22.  Selepas 7 tahun saya menyampaikan syarahan di Royal Asiatic Society London, pelbagai perkara besar telah berlaku dalam tempoh tersebut.

23.  Pertama, COVID-19. Kedua, kegawatan politik dan ekonomi tanahair. Ketiga ledakan teknologi yang semakin radikal.

24.  Pandemik adalah sesuatu yang sangat tidak terjangka. Tiada pernah sekelumit dari imaginasi kita, bahawa kita akan terkurung selama hampir dua tahun kerana ancaman kesihatan yang melanda.

25.  Ia bukan sahaja musibah kesihatan. Tetapi juga membawa mudarat ekonomi berskala mega.

26.  Malaysia dan seluruh dunia, sangat terdampak dengan pengecutan pertumbuhan ekonomi. Kadar pengangguran mencuar tinggi tahap paling kritikal.

27.  Inflasi meninggi. Kemiskinan bertambah berkali-kali ganda. Golongan Bawahan 40 telah meningkat menjadi Bawahan 60.

28.  Yang terdampak paling teruk ialah bangsa Melayu. Kibaran bendera putih terus menghantui saya, mengingatkan saya betapa kelaparan itu nyata dalam Malaysia yang moden ini, dek pukulan kemelesetan ekonomi yang hebat.

29.  Begitu juga kestabilan politik bangsa. Tiga Perdana Menteri dalam tiga tahun bukan sahaja luar biasa, malah luar jangka. Kerajaan yang silih berganti telah melemahkan negara ini. Lebih teruk, melemahkan kekuatan politik bangsa Melayu.

30.  Di sisi yang lain, kecerdasan manusia pula tidak pernah terbantut. Keperkasaan manusia, bila diuji, akan menjadi sangat luar biasa.

31.  Hasil gandingan pemikiran puluhan ribu saintis dan pakar perubatan, yang memanfaatkan pelbagai kajian sains sebelumnya, maka tercipta pelbagai vaksin yang akhirnya berjaya membolehkan kita melakukan projek imunisasi yang besar dan paling berjaya dalam sejarah manusiawi.

32.  Semasa pandemik juga kita melihat bagaimana teknologi telah memberikan pelbagai pembaharuan gaya hidup kita.

33.  Pembelajaran di pelbagai peringkat semuanya dilaksanakan melalui platform maya. Perhubungan sesama manusia menjadi terus akrab melalui pelbagai inovasi Tik Tok, Facebook dan Instagram. Malah kita juga melihat Chat GPT dan mula mengambil alih pelbagai peranan berfikir manusia.

34.  Dan apakah pula hubung kaitnya semua ini dengan pengajian Melayu dan masa depannya?

35.  Mengapa saya merujuk kepada semua perubahan drastik terhadap manusiawi ini dalam syarahan saya kali ini.

36.  Jawapan saya ialah, kita mesti memberi makna kepada semua perubahan ini. Kita mesti menilai dampaknya kepada kemajuan bangsa.

37.  Yang paling utama ialah bagaimana semua ini merubah dunia Melayu. Merubah pemikiran dan budaya bangsa Melayu.

38.  Kita tidak boleh hanya jadi pemerhati kepada semua, pegun dan hanya memberikan reaksi yang sipi-sipi.

39.  Kesemua perubahan drastik dalam beberapa tahun lepas, telah meletakkan kedudukan bangsa Melayu pada tahap yang sangat membimbangkan.

40.  Kemiskinan dalam kalangan orang Melayu telah meningkat dengan sangat drastik. Untuk mengurangkan angka tersebut, dengan keperluan kehidupan moden yang semakin kompleks, adalah cabaran yang sangat sukar.

41.  Kadar keciciran dalam pendidikan bangsa juga besar. Tidak perlu saya ulas dengan angka-angka. Sebagai Menteri yang bertanggungjawab dalam pendidikan tinggi, penegasan saya, kedudukan kita sebagai bangsa Melayu dalam pelbagai sudut pendidikan, semakin menyusut.

42.  Begitu juga perubahan budaya yang terjadi kerana kemunculan teknologi ‘disruptif’. Generasi muda Melayu telah menjadi generasi yang sangat asing daripada generasi kita yang dahulu. Mereka telah menjadi ‘digital native’.

43.  Segala cabaran dan kerancuan ini, siapa yang akan mengambil endah akan impaknya kepada bangsa kalau bukan kita?

44.  Siapa yang lebih bertanggungjawab untuk mengkaji ini semua kalau bukan kalian di Akademi Pengajian Melayu ini.

45.  Siapa yang sewajarnya lebih prihatin tentang segala isu, segala masalah dan segala kerumitan bangsa, kalau bukan kita yang mendalami ilmu tentang alam Melayu?

Para cendekiawan bangsa yang saya kasihi;

46.  Keadaan bangsa telah menjadi sangat meruncing. Tiada yang akan peduli tentang nasib bangsa kita kalau bukan kita sendiri.

47.  Tiada yang akan merubah destini bangsa jika bukan kita.

48.  Atas dasar itu, izinkan saya menghujahkan beberapa perkara. Perkara yang terzahir daripada rasa kasih dan ihsan saya pada bangsa Melayu dan pengajian tentang bangsa saya, Melayu.

49.  Perkara yang saya harap akan memberi lonjakan dan citra baharu kepada pengajian Melayu. Bukan sahaja pada penilaian orang Melayu, tetapi pada pandangan orang Bukan Melayu.

50.  Pertama, pengajian Melayu mesti kita angkat menjadi bidang dan disiplin ilmu yang strategik.

51.  Saya menyeru kita merombak struktur sedia ada. Membawa masuk pelbagai cendekiawan terbaik bangsa. Menyemak kembali kurikulum. Dan melatih bakat terbaik untuk menjadikan disiplin pengajian ini, bidang yang penting kepada dan strategik kepada negara.

52.  Kita mesti menjadikan Pengajian Melayu setara dengan bidang pengajian “Middle Eastern”, atau Chinese Studies.

53.  Posisikan semula APM ini dengan membawa kepakaran ekonomi. Kepakaran pendidikan dan pelbagai kepakaran lain. Agar pengajian Melayu menjadi inklusif dan komprehensif.

54.  Pengajian Melayu wajar menjadi arena segala kepakaran tentang pelbagai pencapaian bangsa Melayu, pemikiran dunia Melayu dan krisis bangsa Melayu digembeleng dan dibahaskan.

55.  Akademi ini mesti bersedia menggali segala seni akal dan sistem nilai orang Melayu dengan melangkah keluar dari sistem pengajian yang terbatas pada manuskrip atau khazanah persuratan semata-mata.

56.  Dimanakah lagi tempat paling sesuai untuk memahami kemiskinan bangsa Melayu jika bukan di persada yang sememangnya memahami sikap dan pemikiran bangsa Melayu?

57.  Atau memahami krisis politik Melayu kita jika bukan platform seperti APM. Yang benar-benar memahami sejarah, nilai dan tata kelola tamadun Melayu zaman-berzaman.

58.  Atau juga memahami sistem beraja. Atau kedudukan dan pengaruh Islam dalam dunia Melayu.

59.  Malah untuk memahami Malaysia, APM wajar menjadi arenanya.

60.  Di sinilah tempat untuk kita menaakul. Bagaimana pemimpin Melayu berfikir. Bagaimana birokrat Melayu bertindak. Bagaimana dasar negara yang digubal dengan agenda Melayu sebagai terasnya. Semua mesti digali dengan satu radas pemerhatian yang terbuka.

61.  Seperkara lagi, kenapa kita perlu meletakkan APM ini di landasan yang strategik ialah kerana banyak nilai dan prinsip pegangan hidup orang Melayu sebenarnya melangkau zaman.

62.  Yang strategik sifatnya dan boleh menjadi kearifan tempatan yang digunakan untuk menyelesaikan masalah Malaysia moden.

63.  Konsep-konsep moden seperti pengurusan risiko, kelestarian, kesaksamaan peranan dalam hubungan lelaki dan perempuan serta keterangkuman dalam gelenggang politik mahu pun kehidupan bermasyarakat.

64.  Kesemua itu bukan pun konsep yang asing dalam dunia orang Melayu.

65.  Hanya kita yang melihatnya sebagai naratif moden. Yang kononnya lahir dari kebijaksanaan tradisi ilmu dan peradaban Barat.

66.  Lihat sahaja kebanyakan peribahasa, simpulan bahasa mahupun bidalan Melayu.

67.  Melentur buluh biarlah dari rebungnya. Ibarat ular menyusur akar tidak akan hilang bisanya. Bagai enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing. Haruan makan anak.

68.  Hampir kesemuanya meminjam hikmah hasil hubungan intim orang Melayu dengan alam sekitar.

69.  Nyata cara hidup orang Melayu sangat sebati dengan alam sekitar.

70.  Dan ia mesti kita ketengahkan sebagai kearifan setempat dalam konteks yang lebih besar dan semasa. Misalnya dalam mendepani isu kelestarian dan pembangunan mapan.

71.  Hanya dengan pendekatan sedemikian. APM akan dapat memberi nilai tambah kepada fungsi pengajian Melayu.

72.  Ia akan dilihat relevan, berciri global dan mempunyai cakupan yang merentas sempadan disiplin.

73.  Kedua, pengajian Melayu mesti dilengkapkan dengan rangkaian sumbangan yang jelas dan terlihat kepada bangsa dan negara.

74.  Sesungguhnya kita kini berada pada zaman yang sarat dengan cabaran.

75.  Zaman dengan pelbagai persimpangan yang menuntut kita membuat keputusan yang bukan sahaja betul, tetapi radikal, kritikal dan strategik.

76.  Saya tidak teragak-agak untuk menyatakan bahawa, hari ini sudah tidak ramai pemikir Melayu, bijak pandai Melayu dan pemimpin Melayu, mengutarakan idea-idea dan pemikiran besar kepada bangsa.

77.  Pemikiran-pemikiran unggul yang membawa seribu manfaat kepada bangsa seperti menubuhkan Tabung Haji, memperkenalkan sistem perbankan pilihan yang mematuhi ajaran agama, membina universiti atau memperjuangkan pemisahan bidang kuasa mahkamah Syariah daripada kamar bicara sivil.

78.  Kesemua sumbangan dan idea besar tersebut, sebenarnya mempunyai asas dan nilai pemikiran yang dicedok dari cara hidup dan peradaban orang Melayu sendiri.

79.  Jadi, untuk menjadikan Pengajian Melayu kritikal, bernilai besar dan penting, disiplin ini mesti sentiasa menawarkan sumbangan yang jelas kepada bangsa dan negara.

80.  Misalnya, ketika negara bergelut dengan polemik perpaduan dan toleransi antara kaum, bidang Pengajian Melayu mesti tampil dan jelaskan betapa keterangkuman dan kepelbagaian itu sememangnya cara hidup bangsa Melayu yang mampu menyatukan semua pihak.

81.  Atau bila Islam yang bersalut popularisme mula menjadi trend, Islam yang berkemajuan dan sederhana di alam nusantara, telah menjadi terpencil. Segalanya dilabel bidaah dan tidak syar’ie. Sedangkan Islam itu hadir sambil membuka ruang gandingan yang selayaknya dengan budaya Melayu.

82.  Islam tidak datang untuk memusnah, merosak dan membasmi budaya asli. Tetapi merangkul, menghormati, memelihara budaya asli itu selari dengan kesesuaian Islam.

83.  Di wadah seperti APM inilah wacana sedemikian mesti ditamsilkan.

84.  Sudah pasti ada teladan dan hikmah kebijaksanaan dari alam Melayu yang boleh memimpin kita berhadapan dengan isu-isu seperti ini, dengan pintar dan berkesan.

Hadirin dan hadirat,

85.  Ketiga, dalam usaha mengangkat Pengajian Melayu, dekatilah mereka yang meletakkan kepentingan pengajian Melayu sebagai rukun perjuangan.

86.  Baik parti politik, NGO, gerakan massa mahu pun sesiapa sahaja.

87.  Pengajian Melayu harus menjadi usaha dan proses yang disokong dan diperjuangkan oleh banyak pihak. Bukan sahaja ahli akademik dan pencinta bahasa.

88.  Pendekatan dengan mencari jaringan yang berpilih-pilih dan bersifat eceran, tidak akan berupaya menggarap kekuatan yang kita perlukan dalam memperkasa pengajian Melayu.

89.  Yang punya ilmu dah kemahiran, mesti memikat bakat baharu untuk memilih bidang ini.

90.  Yang punya dana dan keupayaan harta, mesti menyumbang dengan infak dan wakaf yang berterusan demi khazanah ilmu bangsa Melayu.

91.  Yang berkuasa dan berupaya mengemudi dasar, mesti kita yakinkan untuk terus mempertahan dan menyokong pengajian Melayu.

92.  Saya berani memberi jaminan bahawa saya berada dalam pasukan yang memandang bahasa Melayu, pengajian Melayu dan khazanah dunia Melayu sebagai sesuatu yang bernilai.

93.  Jadi, saya akan pertahankan semua ini.

Tuan-tuan dan puan-puan,

94.  Sejujurnya, di mana lagi, dan kepada siapa lagi harus saya zahirkan kebimbangan dan rasa kasih saya kepada ilmu alam Melayu kalau bukan pada kalian, bijak pandai dan pemikir-pemikir Melayu?

95.  Saya hadir pada hari ini membawa satu harapan yang menggunung. Dan saya mahu pulang dengan kelegaan yang munasabah.

96.  Bahawa saya telah menyatakan secara jujur kepada anda semua. Tentang apa yang perlu kita lakukan bersama.

97.  Saya ingin menyarankan dua perkara penting.

98.  Pertama untuk satu kertas khas disediakan oleh Universiti Malaya tentang ikhtiar membangun, memperkasa dan melestarikan Akademi Pengajian Melayu.

99.  Kertas ini mesti bertujuan untuk merekayasa Akademi Pengajian Melayu, mengangkat martabatnya sebagai pusat ilmu terpenting untuk pengajian Melayu global.

100.   Saya mahu melihat rencana UM, meletakkan APM, menjadi pusat rujukan global bagi pengajian Melayu kontemporari. Menggantikan Leiden dan SOAS di Eropah.

101.   Dan kertas ini mesti memperincikan peruntukan untuk mengelola segala pembaharuan yang perlu baik dari segi prasarana, khazanah kutub khanah, mahupun lonjakan penyelidikan yang diperlukan.

102.  Saya mahu APM menjadi agenda utama KPT dalam RMK-13 dan dibangunkan secara besar-besaran dan radikal.

103.  Kedua, saya cadangkan penubuhan Kerusi Za’ba ditubuhkan semula. Seingat saya, ia pernah ditubuhkan di UPSI suatu ketika dahulu.

104.  Sediakan kertas cadangan yang berkaitan dengan kadar segera. Biar saya ketuk pintu hati beberapa konglomerat Melayu untuk memberikan infak kekayaan mereka kepada pengayaan khazanah intelektual bangsa Melayu.

105.  Saya harap sedekad dari sekarang, APM akan menjadi pusat rujukan global untuk dunia Melayu. Dan pengajian Melayu akan menjadi satu disiplin ilmu yang semakin diminati, menjadi jurusan yang disegani dan menjadi pelaburan terbaik negara untuk masa depan.

106.  Akademi ini, malah bidang ini, pernah dan sudah melahirkan seorang Perdana Menteri.

107.   Jadi, gunakan kesempatan terbaik yang ada untuk menonjolkan bidang ini sebagai lapangan ilmu yang madani.

108.   Bukankah pendekatan madani itu akhirnya adalah tentang nilai, tentang prinsip dan tentang ikhtiar bagaimana untuk kita memberikan yang terbaik kepada bangsa dan negara.

109.   Saya sangat percaya bahawa konsep madani yang dibawa oleh Kerajaan Perpaduan ini adalah sesuatu yang secocok dengan pemikiran besar yang harus ada dalam pengajian Melayu.

110.    Dan untuk menjayakan 2 saranan tersebut, saya dengan berbesar hati ingin mengumumkan, satu peruntukan khas kepada Akademi Pengajian Melayu sebanyak RM500 ribu.

111.    Saya sedar, nilai ini bukanlah besar. Tetapi saya harap ia akan menjadi satu sumbangsih yang jelas kepada usaha memartabatkan pengajian Melayu.

Tuan-tuan dan puan-puan,

112.   Sebelum berakhir, saya ingin mengajak semua yang hadir untuk kita mengambil sedikit masa bagi sama-sama memperingati.

113.   Satu sosok ulung. Seorang tokoh yang kita angkat sebagai pendeta.

114.   Sosok yang pengabdian hidup dan ilmunya adalah demi membawa kebaikan pada bangsa.

115.   Marilah kita mendoakan Almarhum Pendeta Za’ba, dengan sepenuh tulus dan ikhlas. Agar segala kebaikan dari ilmu yang ditinggalkannya menjadi amal baik yang terus mengalir. Semoga Allah SWT menempatkan beliau bersama orang soleh yang diberkati.

116.   Al fatihah.

Sekian terima kasih.

Muat Turun:

  pdf Teks Syarahan YB Menteri Pendidikan Tinggi Program Syarahan Za'ba.pdf (199 KB)

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 8753
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Jumaat 19 April 2024, 16:56:01.