Teks Ucapan Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad Menteri Pengajian Tinggi Sempena Majlis Perasmian Portal Rumah Siswa

Pembuka Bicara

  1. Alhamdulillah, pertama sekali saya ingin panjatkan rasa syukur ke hadrat Allah S.W.T kerana dengan limpah dan kurniaNya, kita telah diberi kesempatan dan ruang untuk bersama di dalam Majlis Perasmian Portal Rumah Siswa pada hari ini.

  2. Terlebih dahulu, saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak penganjur yang telah berjaya menjayakan program ini dan kepada semua pihak yang berkesempatan untuk bersama-sama menyaksikan majlis pada hari ini yang diadakan secara maya.

  3. Terima kasih juga kepada ahli jawatankuasa Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK), wakil-wakil daripada Universiti Awam dan Swasta serta dan kepada semua pihak yang berkesempatan untuk bersama-sama menyaksikan majlis pada tengah hari ini yang turut diadakan secara maya.

AGENDA RUMAH SEWA SISWA

Hadirin-hadirat sekalian,

  1. Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) sentiasa mengalu-alukan buah fikiran dan sedia mendengar suara daripada mahasiswa sendiri bagi mendapatkan pandangan dan idea baharu, bagi membantu Kerajaan memperkasakan mahasiswa dan memantapkan kelestarian IPT secara menyeluruh.

  2. KPT sentiasa mengambil berat dan peka terhadap keperluan semasa pelajar. Sehingga semester akademik yang lepas, saya difahamkan terdapat hampir 150,000 orang mahasiswa Universiti Awam yang menetap di luar kampus atau non-residents.

  3. Untuk makluman semua, saya bersama dengan Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) telah mengadakan pertemuan bersama YAB Perdana Menteri pada Jun lalu. Dalam pertemuan itu, MPPK telah mengemukakan sebelas (11) Agenda untuk perhatian dan tindakan Kerajaan untuk memartabatkan dan memperkasakan mahasiswa di IPT. Salah satunya ialah Agenda 1 MPPK 2020, iaitu agenda Rumah Sewa Siswa.

  4. Bagi merealisasikan hasrat ini, Kementerian melalui kerjasama semua Universiti Awam dan Majlis Perumahan Universiti Malaysia (MAPUM) telah mengorak langkah bagi memastikan tadbir urus pengurusan pelajar luar kampus dapat diselaraskan di setiap Institusi Pendidikan Tinggi (IPT).

  5. Pelaksanaan Agenda Rumah Sewa Siswa ini melibatkan tiga (3) inisiatif utama iaitu Penubuhan Unit Pengurusan Pelajar Luar Kampus, Pembangunan Garis Panduan Pengurusan Pelajar Luar Kampus dan Portal Rumah Siswa.

  6. Inisiatif yang dibangunkan ini adalah sebagai panduan kepada pengurusan universiti dalam mentadbir, menyelaras dan menguruskan segala keperluan, maklumat, pembangunan serta hal ehwal berkaitan kebajikan mahasiswa luar kampus khususnya yang menetap di rumah sewa agar lebih teratur dan menyeluruh.

PENUBUHAN UNIT PENGURUSAN PELAJAR LUAR KAMPUS

Para hadirin sekalian,

  1. Usaha untuk penubuhan Unit Pengurusan Pelajar Luar Kampus telah bermula pada tahun lalu. Pada 29 Disember 2020, KPT telah menyatakan hasrat supaya portfolio khusus ditubuhkan di setiap IPT bagi menguruskan hal ehwal pelajar luar kampus.

  2. Dalam hal ini, satu unit baharu dicadangkan untuk dibangunkan bagi menjalankan fungsi sebagai badan pentadbir, penasihat dan pemantau kepada pelaksanaan program serta akitiviti pelajar luar kampus. Selain itu, unit ini juga berperanan sebagai pemberi khidmat kaunseling perumahan kepada pelajar luar kampus.

  3. Alhamdulillah pada hari ini, kesemua 20 Universiti Awam (UA) telah mewujudkan portfolio baharu bagi Pengurusan Pelajar Luar Kampus Tahniah saya ucapkan.

PEMBANGUNAN GARIS PANDUAN PENGURUSAN PELAJAR LUAR KAMPUS

  1. Namun begitu, ianya tidak lengkap sekiranya tidak disertakan dengan arah tuju yang jelas. Justeru itu, satu Garis Panduan Pengurusan Pelajar Luar Kampus telah dibangunkan untuk dijadikan sebagai rujukan dalam pengurusan pelajar luar kampus. Garis panduan yang komprehensif ini sangat penting bagi meningkatkan tahap kecekapan tadbir urus hal ehwal pelajar luar kampus agar sistem yang dibina ini lebih teratur, sistematik dan relevan dengan keperluan semasa.

  2. Garis Panduan ini meliputi lima (5) skop penting iaitu Pembangunan Pelajar Luar Kampus, Perkhidmatan Pelajar Luar Kampus, Pengurusan Kebajikan Pelajar Luar Kampus, Pengurusan Rumah Sewa Luar Kampus serta Jaringan Kemasyarakatan. Ini akan menjamin kesinambungan dan kelancaran pengurusan pelajar luar kampus.

PORTAL RUMAH SISWA

Hadirin yang saya kasihi sekalian,

  1. Usaha kementerian untuk memastikan kebajikan dan keselamatan pelajar luar kampus tidak terhenti dengan dua inisiatif yang saya telah umumkan sebentar tadi. Dalam memastikan agenda ini berjalan lancar dan memberi manfaat kepada pelajar, pihak Kementerian telah mengambil langkah proaktif dengan membangunkan Portal Rumah Siswa sebagai panduan kepada mahasiswa untuk mencari rumah sewa di sekitar kampus.

  2. Portal Rumah Siswa ini akan menjadi platform menghubungkan pelajar sebagai penyewa bersama pemilik premis, mendapatkan khidmat nasihat serta memudahcarakan proses pencarian bilik/rumah sewa dengan harga yang kompetetif.

  3. Sehingga 16 Februari 2021, sebanyak 1250 buah rumah telah didaftarkan di dalam Portal Rumah Siswa ini. Mahasiswa boleh mula mengakses portal tersebut melalui pautan mohe.gov.my. Portal yang dibangunkan ini dapat membantu, memantapkan inisiatif ke arah hasrat pemerkasaan, memelihara kebajikan dan akses pelajar terutamanya kepada pelajar luar kampus.

PENUTUP

Hadirin yang saya hormati sekalian,

  1. Kami di Kementerian Pengajian Tinggi sentiasa mengadakan sesi libaturus bersama perwakilan mahasiswa dan pihak berkepentingan dalam menjayakan agenda pemerkasaan mahasiswa, termasuk pengurusan tertinggi IPT, pihak kementerian atau jabatan/agensi kerajaan dan juga persatuan atau NGO yang berkaitan.

  2. Semua usaha berterusan KPT ini adalah semestinya atas dasar keprihatinan kita terhadap kebajikan dan kesejahteraan mahasiswa yang menjadi penggerak bagi merealisasikan hasrat kerajaan dalam melahirkan generasi pemimpin masa hadapan yang unggul.

  3. Kementerian amat berharap dengan adanya inisiatif ini, ianya dapat membantu universiti dan pelajar dalam pengurusan pelajar luar kampus dengan lebih tersusun.

  4. Dalam masa yang sama, saya meminta agar semua pengurusan universiti di Malaysia turut memberi sokongan dan membantu KPT dalam memperkasakan lagi agenda mahasiswa bagi menjamin kebajikan pelajar-pelajar universiti kita akan terus terbela.

  5. Sebelum saya mengakhiri ucapan, saya sekali lagi ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam usaha ini. Semoga ia menjadi titik tolak dalam memastikan kebajikan dan keperluan para pelajar yang menyewa rumah di luar kampus dapat dijaga dengan baik. Insyaallah.

  6. Dalam masa yang sama, jangan kita lupa supaya sentiasa berwaspada, jaga kesihatan dan patuhi SOP yang telah ditetapkan agar dapat sama-sama berganding bahu melandaikan lengkung COVID-19 di negara ini.

  7. Akhir kata, dengan penuh takzim dan lafaz mulia Bismillahirrahmanirrahim, saya dengan ini menyempurnakan pelancaran Portal Rumah Siswa.

Sekian, Wabillahi Taufik Walhidayah Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. Terima kasih.

Muat Turun

  1. document Teks Ucapan YBM Majlis Pelancaran Portal Rumah Siswa (48 KB)
  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 13810