logo kpt black

TEKS UCAPAN

YB DATUK SERI DR. NORAINI AHMAD
MENTERI PENGAJIAN TINGGI

MAJLIS PECAH TANAH KOLEJ KOMUNITI PARIT SULONG JOHOR DARUL TAKZIM

2 NOVEMBER 2022


PEMBUKA BICARA

  1. Pertamanya, marilah kita memanjatkan kesyukuran kepada Allah SWT kerana pada hari ini, kita dapat bersama-sama sempena Majlis Pecah Tanah bagi pembangunan Kolej Komuniti Parit Sulong, Batu Pahat.
  1. Setinggi-tinggi terima kasih saya ucapkan terutamanya kepada barisan pemimpin masyarakat, komuniti setempat, pengurusan tertinggi Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), pegawai-pegawai kanan serta para jemputan yang dapat hadir memeriahkan lagi majlis pada pagi ini.
  1. Sesungguhnya, acara ini amat signifikan sebagai manifestasi terhadap usaha tanpa jemu pihak KPT dan juga Kerajaan dalam meningkatkan akses pendidikan tinggi kepada masyarakat, khususnya buat Keluarga Malaysia di kawasan Parit Sulong ini.

ASPIRASI PEMBANGUNAN KOLEJ KOMUNITI OLEH KERAJAAN

Para hadirin yang saya hormati,

  1. Pendidikan ialah pelaburan terbaik bagi membina masa hadapan negara yang cerah. Kecemerlangan sesebuah negara amat bergantung kepada modal insan yang berilmu sebagai penggerak kepada pembangunan negara. Dalam kata mudahnya, dengan pendidikanlah kita nak bentuk dan majukan masyarakat kita.
  1. Sudah tentu perkara ini memerlukan usaha khususnya dari pihak Kerajaan untuk menyediakan medium yang bersesuaian, supaya masyarakat mendapat akses yang lebih mudah kepada pendidikan.
  1. Dalam konteks majlis kita, perkara ini boleh saya rujuk sebagai penyediaan platform yang menawarkan Pembelajaran Sepanjang Hayat atau PSH seperti kolej komuniti bagi menggilap bakat dan potensi modal insan.
  1. Alhamdulillah, untuk negeri Johor, Kerajaan dalam RMKe-12 telah meluluskan pembinaan empat buah lagi kolej komuniti, iaitu Kolej Komuniti Parit Sulong; Kolej Komuniti Bandar Tenggara; Kolej Komuniti Pagoh; dan Kolej Komuniti Simpang Renggam.
  1. Keputusan ini mencerminkan bahawa Kerajaan begitu prihatin dalam memastikan rakyat dilengkapkan dengan pengetahuan dan kemahiran tinggi. Ini lebih-lebih lagi dalam usaha untuk memajukan negara seiring dengan hasrat Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 dan RMKe-12 itu sendiri.
  1. Bagi maksud ini, Kerajaan telah menyasarkan 55 peratus lepasan SPM melanjutkan pengajian dalam program TVET menjelang Begitu juga gagasan WKB 2030 yang turut memartabatkan TVET sebagai salah satu pemboleh daya yang menyumbang ke arah pembentukan negara membangun, lagi makmur dan inklusif. Insya-Allah!

KOLEJ KOMUNITI SEBAGAI HAB PENDIDIKAN SEPANJANG HAYAT

  1. Dan alhamdulillah jua, pada hari ini, seperti yang saya sebut awal tadi, kita akan sama-sama saksikan acara pecah tanah bagi pembinaan kampus tetap Kolej Komuniti Parit Sulong. Sebenarnya, kolej komuniti ini telah pun beroperasi seawal Januari 2021 yang lalu. Kampus satelitnya adalah di Taman Industri D’Cabin Medan Niaga Seri Sulong, Parit Sulong.
  1. Selepas ini nanti, apabila siapnya bangunan kampus tetap Kolej di atas tanah yang berkeluasan 9.822 ekar ini, pelbagai kemudahan boleh didapati. Antaranya termasuklah bilik kuliah, ruang aktiviti serta padang permainan yang mesra OKU.
  1. Kita menjangkakan pada satu-satu masa, sejumlah 240 pelajar akan dapat mengikuti pengajian secara sepenuh masa dalam bidang Perkhidmatan Logistik dan Pengoperasian Perniagaan yang ditawarkan. Terdapat juga kursus-kursus lain yang menumpukan kepada PSH ditawarkan.
  1. Contohnya, kursus Komputer dan Teknologi Maklumat; Katering dan Sajian; Jahitan dan Pakaian; Perniagaan dan Keusahawanan; serta Upskilling Perkhidmatan Logistik. Secara keseluruhannya, dalam setahun, kira-kira 800 orang peserta yang disasarkan untuk mengikuti kursus-kursus PSH ini. Ini meliputi golongan Belia, Warga Emas, Ibu Tunggal, OKU dan juga B40.
  1. Malah, saya mengharapkan pemimpin setempat juga boleh berbincang dengan pihak kolej komuniti nanti kursus apa yang mereka nak. Insya-Allah, kita boleh pertimbangkan permintaan-permintaan tersebut. Kalau tidak ada tenaga pengajar di sini, kita akan kenal pasti mana-mana tenaga pengajar di kolej komuniti lain untuk kita bawa bagi memenuhi keperluan setempat.
  1. Selain itu, suka juga saya beritahu di sini bahawa KPT turut menyediakan Bantuan Kewangan Pelajar Kolej Komuniti atau BKPKK untuk pelajar yang mengikuti program pengajian di peringkat sijil. Ini terutamanya untuk pelajar kolej komuniti yang datang dari keluarga berpendapatan isi rumah tidak melebihi RM4,849. 00 sebulan – boleh mohon. Kepada yang layak akan dapat RM300 sebulan untuk 3 semester.
  2. Jadinya, kepada semua yang hadir pada hari ini, sampaikan kepada anak-anak muda dan warga Parit Sulong di luar sana bahawasanya, di Parit Sulong ini bakal ada kampus tetap Kolej Komuniti Parit Sulong. Beritahu kepada mereka, lebih-lebih lagi yang muda-muda untuk datang dan sertai program pembangunan kemahiran yang ditawarkan. Insya-Allah, Kerajaan akan terus komited memastikan tidak ada Keluarga Malaysia yang tercicir pendidikannya.

PEMBELAJARAN SEPANJANG HAYAT (PSH) PEMANGKIN EKONOMI KOMUNITI

Hadirin yang saya hormati sekalian,

  1. Bercakap tentang PSH ini, saya ingin berkongsi sedikit tentang pencapaian program PSH bagi politeknik dan kolej komuniti. Sehingga 30 September 2022 yang lalu, lebih 4 juta penyertaan yang kita terima di seluruh negara bagi program-program PSH yang telah dilaksanakan. Ini satu jumlah yang sangat menggalakkan!
  1. Bukan itu sahaja. Kadar kebolehpasaran bagi graduan kolej komuniti untuk tahun 2021 ialah 94.8 peratus. Dan kadar ini merupakan yang tertinggi antara institut latihan kemahiran awam di Malaysia! Alhamdulillah! Saya percaya pencapaian yang amat membanggakan ini adalah hasil daripada usaha tanpa jemu dan kolektif oleh semua pihak. Tahniah saya ucapkan!
  1. Ini memberitahu semua bahawa pelaksanaan kursus-kursus PSH di kolej-kolej komuniti telah berjaya membentuk komuniti yang lebih dinamik dalam meningkatkan pengetahuan, kemahiran serta taraf sosioekonomi.

PENUTUP

Tuan-tuan dan puan-puan komuniti Parit Sulong yang saya kasihi,

  1. Saya amat berharap agar Kolej Komuniti Parit Sulong ini dapat diterima baik dan mendapat sokongan dari semua pihak, baik agensi kerajaan mahupun swasta, pemimpin setempat dan juga masyarakat sekeliling. Saya yakin, kolej ini mampu membawa perubahan yang besar kepada komuniti di Parit Sulong ini.
  1. Dalam hal ini, setinggi-tinggi penghargaan dirakamkan kepada jawatankuasa kerja dan semua pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung, bertungkus-lumus menjayakan majlis ini. Lebih-lebih lagi kepada JPPKK. Tahniah kerana merealisasikan usaha ini!
  1. Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya merasmikan Majlis Pecah Tanah Bagi Pembangunan Kolej Komuniti Parit Sulong, Batu Pahat.

TVET Pilihan Keluarga Malaysia!

Sekian, terima kasih!

Muat Turun:

pdf Teks Ucapan Perasmian YBM Pecah Tanah KK Parit Sulong.pdf (235 KB)

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 16868
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Jumaat 19 April 2024, 16:56:01.