logo kpt black

TEKS UCAPAN

YB DATUK SERI DR. NORAINI AHMAD
MENTERI PENGAJIAN TINGGI

PROGRAM #KPTPRIHATIN DAN PENYERAHAN PERANTISISWA KELUARGA MALAYSIA PERINGKAT NEGERI KELANTAN

28 OKTOBER 2022


Bismillahirrahmanirrahim,

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

PENDAHULUAN

  1. Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Allah SWT, kerana dengan limpah kurnia-Nya, dapat kita bersama-sama pada hari ini sempena Program #KPTPrihatin dan Penyerahan PerantiSiswa Keluarga Malaysia Peringkat Negeri Kelantan.
  1. Terlebih dahulu, saya ingin merakamkan penghargaan kepada pihak Universiti Malaysia Kelantan (UMK) kerana sudi memberi ruang dan membantu menjayakan majlis kita pagi ini.
  1. Terima kasih jua kepada rakan Kementerian, iaitu Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (K- KOMM), di bawah pimpinan Yang Berhormat Tan Sri Datuk Seri Panglima TPr Annuar Haji Musa, Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, selaku peneraju utama inisiatif PerantiSiswa Keluarga Malaysia, yang turut hadir pada hari ini.
  1. Begitu juga kepada Kementerian Kewangan yang banyak membantu memberikan nasihat berkaitan proses kewangan juga mempermudah pelaksanaan inisiatif yang amat bermakna ini.

MENYANTUNI KEBAJIKAN PELAJAR IPT

Hadirin yang saya hormati sekalian,

  1. Kerajaan melalui kementerian-kementerian sentiasa cakna terhadap aspek kebajikan serta kesejahteraan rakyat. Dalam konteks majlis pada hari ini, sudah tentu aspek kebajikan yang dimaksudkan adalah merujuk kepada para pelajar IPT. Dari semasa ke semasa pelbagai inisiatif telah diperkenalkan untuk manfaat anak-anak pelajar.
  1. Jika boleh saya kongsikan di sini, antaranya Yang Berhormat Tan Sri dan hadirin sekalian, termasuklah pengurangan yuran pengajian sebanyak 20 peratus bagi Semester Pertama Akademik 2021/2022, memperkenalkan Menu Keluarga Malaysia pada harga serendah RM3.50, dan pemerkasaan inisiatif Food Bank Siswa.
  1. Macam baru-baru ini, kita telah bekerjasama dengan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) melancarkan Jualan Murah Keluarga Malaysia khusus untuk pelajar IPT. Bukan itu sahaja. Dua hari yang lepas, kita juga baru sahaja menyerahkan surat tawaran kepada mahasiswa B40 yang berjaya terpilih di bawah Program Pembangunan Mahasiswa Sulung Keluarga Malaysia atau lebih dikenali dengan nama

PERANTISISWA KELUARGA MALAYSIA

  1. Dan alhamdulillah, pada hari ini pula, satu lagi inisiatif akan disampaikan kepada para pelajar IPT kita, iaitu Perantisiswa Keluarga Malaysia. Kalau ikutkan, termasuk yang hari ini, sudah tujuh tempat kita pergi untuk menyerahkan PerantiSiswa ini. Antaranya kita dah ke Selangor, Terengganu, Sabah, Melaka, Johor, dan Pulau Pinang. Hari ini kita di negeri Kelantan pula. Insya-Allah selepas ini kita akan ke negeri-negeri lain pula.
  1. Dan sebagaimana Yang Berhormat Tan Sri sebutkan tadi, jumlah permohonan yang diterima amatlah menggalakkan, lebih- lebih lagi apabila Kerajaan sebelum ini telah mengumumkan PerantiSiswa ini diberi terus kepada pelajar. Tak perlu pulang
  1. Jadi untuk hari ini, seramai 40 orang pelajar akan menerima agihan PerantiSiswa Keluarga Malaysia, mewakili pelajar-pelajar dari Universiti Awam dan IPTS di negeri Kelantan. Untuk pelajar politeknik pula, mereka tidak dapat menyertai kita hari ini berikutan sedang dalam cuti semester dan akan kembali ke kampus pada 29 Oktober ini.
  1. Pengagihan PerantiSiswa di IPT kini telah mencapai 32 peratus daripada jumlah yang telah diluluskan. Saya telah meminta supaya proses kelulusan dan pengagihan ini dibuat pada kadar sesegera yang mungkin. Saya tidak mahu anak-anak pelanti menunggu lama untuk mendapatkan peranti ini.
  1. Oleh itu, kepada anak-anak mahasiswa sekalian, manfaatkanlah peranti ini bagi mencapai kejayaan dan kecemerlangan dalam pembelajaran. Gunakanlah sebaiknya dan jangan sesekali sia-siakan pemberian ini.

PROGRAM KEMBARA KELUARGA SIMPAN SSPN

Hadirin yang saya hormati sekalian,

  1. Pada hari ini juga, kita akan sama-sama menyaksikan penyampaian Sumbangan Akaun Simpanan SSPN Prime, yang merupakan satu daripada pengisian Program Kembara Keluarga Simpan SSPN Tahun 2022. Program ini merupakan salah satu program CSR PTPTN. Program ini diadakan dengan tujuan untuk membantu pelajar asnaf dari aspek pendidikan serta galakan awal kepada para ibu bapa untuk memulakan penabungan bagi tujuan pendidikan tinggi anak-anak.
  1. Program ini melibatkan sumbangan zakat PTPTN kepada 17,800 orang pelajar asnaf di 178 kawasan terpilih di 12 buah negeri, yang diberikan dalam bentuk akaun Simpan SSPN Prime melibatkan peruntukan keseluruhan berjumlah RM1.78 juta. Kita telah pun mengembara ke empat (4) buah negeri sebelum ini, iaitu Terengganu, Sabah, Melaka dan Pulau Pinang.
  1. Dan untuk peringkat negeri Kelantan pada hari ini, 14 kawasan terlibat dengan jumlah sumbangan sebanyak RM140 ribu dengan setiap kawasan diperuntukkan RM10
  1. Kita anggarkan seramai 1,400 pelajar akan mendapat manfaat yang mana untuk setiap kawasan, seramai 100 orang pelajar asnaf akan menerima sumbangan akaun Simpan SSPN Prime bernilai RM100 seorang.
  1. Dalam hubungan ini, saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) dan juga pemimpin setempat yang banyak membantu pihak KPT dan PTPTN untuk mengenal pasti pelajar asnaf yang layak. Terima kasih banyak-banyak!

BANTUAN ZAKAT KEPADA PELAJAR UMK

Hadirin yang saya hormati sekalian,

  1. Berbalik kepada kecaknaan Kementerian terhadap kebajikan para pelajar IPT, suka saya maklumkan di sini bahawa pada hari ini, kita juga akan ada sesi penyampaian bantuan zakat kepada pelajar-pelajar asnaf UMK. Bantuan zakat ini datang daripada pelbagai institusi termasuklah sektor swasta, perniagaan dan
  1. Alhamdulillah, pada hari ini, semakin banyak institusi yang mempunyai kesedaran dan aktif membayar Ini termasuklah universiti yang dilantik oleh Majlis Agama negeri masing-masing sebagai amil zakat dan bertanggungjawab menyalurkan bantuan kepada pelajar dan staf melalui dana zakat.
  1. Syabas saya ucapkan kepada UMK atas usaha tanpa henti mencari dan mendapatkan sumbangan zakat daripada rakan strategik seperti bank dan syarikat korporat. Sesungguhnya, usaha seumpama ini membuktikan keprihatinan UMK terhadap isu kebajikan pelajar yang kurang berkemampuan. Dan kalau tak silap saya, dalam Majlis Pelancaran SULUNG dua hari lepas, UMK juga merupakan antara 20 IPTA yang mendapat sumbangan zakat daripada Lembaga Tabung Haji melalui Program Iqra' TH. Jadi, syabas sekali lagi UMK!

PELANCARAN PROGRAM KEAHLIAN PRA-U@UM

Hadirin yang saya kasihi sekalian,

  1. Kementerian pada hari ini juga amat berbangga kerana kita akan turut menyaksikan pelancaran program yang merupakan hasil idea UMK sendiri, iaitu Program Keahlian Pra-U@UMK. Program keahlian ini adalah yang pertama seumpamanya dilaksanakan di perpustakaan universiti awam mahupun swasta di Malaysia
  1. Semangatnya adalah supaya perpustakaan di universiti turut menjadi pusat sehenti bagi masyarakat untuk mendapatkan perkhidmatan seperti carian bahan rujukan, pelbagai maklumat semasa, penyelidikan serta pakar rujuk dalam pelbagai bidang
  1. Program Pra-U@UMK ini juga diharapkan dapat memberikan pendedahan kepada pelajar Pra-U tentang kehidupan sebagai seorang warga universiti.
  1. Ini secara tidak langsung akan memupuk minat serta kesedaran kepada pelajar-pelajar ini untuk menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi. Insya-Allah!

PENUTUP

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

  1. Sekali lagi saya mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada semua pihak yang menjayakan program pada hari ini. Semoga dengan adanya semua insiatif yang saya sebutkan tadi akan menyuntik semangat para pelajar sekalian untuk lebih cemerlang dalam pelajaran.
  1. Dengan harapan tersebut dan lafaz Bismillahirahmanirrahim, saya merasmikan Majlis #KPTPrihatin dan Penyerahan PerantiSiswa Keluarga Malaysia kepada Pelajar IPT Peringkat Negeri Kelantan serta melancarkan Program Kembara Keluarga Simpan SSPN Tahun 2022 Peringkat Negeri Kelantan dan Kad Keahlian Pra-U@UMK.
  1. Sekian, terima kasih

Muat Turun:

pdf TUYBM KPT Prihatin dan Penyerahan Perantisiswa Peringkat Negeri Kelantan.pdf (168 KB)

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 17964
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Rabu 27 Mac 2024, 16:20:33.