Teks Ucapan Sempena Majlis Pelancaran Sinergi Service Learning Malaysia - University For Society (Sulam)

MUKADIMAH DAN ALUAN

Pertama sekali, saya melafazkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah S.W.T. kerana dengan kurnia izin-Nya, kita dapat bersama-sama pada hari ini sempena Majlis Pelancaran Sinergi Service Learning Malaysia-University for Society atau SULAM.

  • Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada pihak penganjur bersama, Bahagian Kecemerlangan Akademik (BKA), Jabatan Pengajian Tinggi (JPT); Universiti Teknologi MARA (UiTM); dan Universiti Malaya (UM) selaku sekretariat program Sinergi SULAM kerana walaupun berada dalam kekangan disebabkan oleh wabak COVID-19, namun segala usaha dalam merencana dan mengatur majlis pelancaran ini dapat berjalan dengan baik sekali.
  • Saya juga berbesar hati kerana majlis yang diadakan secara hibrid pada hari ini turut menyaksikan kehadiran pemimpin-pemimpin universiti, industri dan agensi, yang telah dan akan bersama-sama membangunkan bakat masa hadapan negara demi manfaat komuniti melalui Sinergi SULAM. Syabas dan terima kasih kepada semua!
  • Saya difahamkan majlis pada hari ini akan menyaksikan pelancaran tiga inisiatif SULAM Kementerian Pengajian Tinggi (KPT). Pertama, penubuhan SULAM-Net, iaitu sebuah jaringan kerjasama antara Institusi Pendidikan Tinggi (IPT); industri; agensi kerajaan; dan komuniti dalam memperkasakan pelaksanaan SULAM di peringkat nasional. Kedua, penganjuran “e-SULAM Ideation, Invention and Innovation Challenge” atau juga dikenali sebagai “e-SULAM INNOVATE”, yang merupakan satu pertandingan bagi mencabar inovasi para pelajar dalam pelaksanaan SULAM di IPT. Dan yang ketiga, pembangunan Portal SULAM yang bakal memudahkan orang awam termasuklah industri dan agensi untuk mengetahui dan menyertai kolaborasi SULAM bersama kementerian.

KEPENTINGAN SULAM

Hadirin yang saya hormati sekalian,

  • “Service Learning Malaysia – University for Society” atau SULAM merupakan inisiatif KPT yang menggabungkan objektif pembelajaran dengan khidmat komuniti. Usaha ini mengetengahkan pendekatan “High-Impact Educational Practices” atau HIEPs yang memberikan ruang kepada pelajar untuk berinteraksi dengan komuniti dan pada masa yang sama menjalinkan kerjasama strategik dengan industri serta agensi kerajaan. Sinergi ini bermatlamatkan untuk menyelesaikan permasalahan sebenar dalam komuniti setempat dengan menghubungkaitkan teori dan praktis.
  • Menelusuri kembali pelaksanaan aktiviti berasaskan komuniti di IPT ini, program seumpamanya telah pun mula bertunas sekitar tahun 2019. Pendekatan SULAM berimpak tinggi bermula dengan Projek Pembangunan Komuniti, Eko Warisan Pelancongan di Pulau Tanjung Surat, Kota Tinggi. Program ini melibatkan seramai 200 pelajar pelbagai bidang dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dengan kerjasama KEJORA; Pejabat Daerah Kota Tinggi; dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Pengerang. Dengan potensi yang dimiliki oleh komuniti setempat di pulau ini, saya berharap agar hasrat murni UTM untuk melakarkan Pulau Tanjung Surat dalam peta dunia sebagai sebuah pulau eko warisan pelancongan menjadi kenyataan.
  • Suka juga saya kongsikan di sini bahawa terdapat banyak lagi projek SULAM lain yang telah dilaksanakan di peringkat IPT. Antaranya adalah seperti:
  • Program Komuniti Budaya dan Etnik Bidayuh Borneo oleh pelajar Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS);
  • Projek Pengurusan Kesihatan Ikan Siakap oleh pelajar Fakulti Perubatan Veterinar, Universiti Putra Malaysia (UPM); dan
  • Projek Pemerkasaan Solok Sengkuang Cabin D’Village Kampung Batang Nyamor Negeri Sembilan oleh pelajar Fakulti Pengurusan Hotel dan Pelancongan, Universiti Teknologi Mara (UiTM).
  • Saya difahamkan sehingga kini, sebanyak 445 program akademik di universiti awam sudah pun melaksanakan projek SULAM yang berjaya menyantuni pelbagai komuniti dari peringkat bandar hingga ke luar bandar; komuniti orang asli; anak yatim; dan sebagainya. Satu angka yang amat membanggakan! Syabas dan tahniah!
 SULAM-NET DAN PERANAN INDUSTRI DALAM KONSEP QUADRUPLE HELIX

Hadirin yang dihormati,

Tema majlis, iaitu Inspiring Learners, Empowering Community” adalah bertepatan dalam menyokong Lonjakan Pertama, Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015 – 2025 (Pendidikan Tinggi), iaitu melahirkan graduan yang holistik; berciri keusahawanan dan seimbang. Tema ini juga turut selaras dengan inisiatif transformasi program akademik berasaskan komuniti, iaitu “Community Resilience Experiential Learning” atau CARE melalui pemantapan kurikulum di IPT yang menggabungkan pembelajaran berasaskan pengalaman ke dalam kurikulum.

 Justeru, KPT amat menitikberatkan pembangunan satu sistem sokongan yang lestari bagi menjayakan inisiatif SULAM. Bagi maksud itu, KPT telah memperkenalkan pembentukan jaringan yang dikenali sebagai SULAM-Network atau ringkasannya SULAM-Net. Pembentukan jaringan ini dijangka dapat memperluas keterlibatan semua pemegang taruh dalam pelaksanaan projek SULAM yang lebih berkesan dan memberikan impak besar kepada komuniti.

  • Dengan adanya SULAM-Net, IPT akan dapat menyelaraskan secara lebih terancang dan tersusun program-program SULAM di seluruh negara agar memenuhi keperluan sesebuah komuniti. Malah saya yakin jaringan ini boleh diperluaskan ke peringkat antarabangsa yang seterusnya mampu meningkatkan lagi keupayaan dan keberkesanan SULAM.
  • KPT juga sedia maklum akan peranan yang dimainkan oleh pelbagai pihak terutamanya dari industri dalam menjalankan tanggungjawab sosial melalui aktiviti khidmat masyarakat. Jadinya, saya menyeru para hadirin yang hadir pada hari ini untuk mengambil peluang yang telah disediakan ini mewujudkan kolaborasi antara IPT; industri; agensi kerajaan; dan komuniti demi kesejahteraan komuniti setempat. Platform ini memberikan peluang kepada komuniti untuk mengenali dan bekerjasama dengan pelbagai pihak dalam merancang aktiviti yang berstruktur dan mampan bagi meningkatkan sosioekonomi mereka.
  • Untuk makluman, Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) merupakan kementerian pertama yang telah menjalinkan kerjasama dengan KPT melalui program Sahabat KPLB. Manakala Khind Starfish Foundation merupakan industri terawal yang berkolaborasi dengan KPT melalui “Project for Happiness” yang memperuntukkan dana khas sebanyak RM150,000.00 setiap tahun untuk menyokong pelaksanaan SULAM di peringkat IPT. KPT amat menghargai kerjasama yang dijalin selama ini dan berharap semoga kolaborasi ini terus berpanjangan.

 PORTAL SULAM DAN PERTANDINGAN E-SULAM INNOVATE

Hadirin semua,

  • KPT telah menyediakan Portal SULAM yang akan menjadi rujukan utama berkaitan dengan informasi SULAM. Portal ini dibangunkan dengan kerjasama Pusat Pembangunan Maklumat dan Komunikasi (iDEC), Universiti Putra Malaysia (UPM).
  • KPT berharap dengan adanya portal ini, komuniti dapat berkongsi permasalahan yang dihadapi melalui ruang yang disediakan. Pihak industri dan agensi juga boleh mengetahui permasalahan yang dikemukakan oleh komuniti melalui portal tersebut. Ini membolehkan pihak IPT, industri atau agensi yang relevan mengenal pasti kerjasama yang boleh dijalankan bagi membantu komuniti tersebut khususnya dari aspek pembangunan komuniti.
  • Bagi menggalakkan lagi komuniti melayari Portal SULAM, KPT turut menganjurkan Pertandingan e-SULAM Innovate yang akan dilancarkan pada hari ini juga. Pertandingan ini dijangka akan dapat menggalakkan lagi pelaksanaan aktiviti SULAM secara dalam talian di IPT. Malah pelajar berpeluang mengetengahkan projek SULAM dalam talian yang berimpak tinggi secara lebih kreatif dan inovatif. Pada masa yang sama, mereka boleh melengkapkan kursus yang berkaitan dan menyumbang kepada komuniti.

PENUTUP

 Para hadirin yang saya hormati sekalian,

 KPT sangat mengalu-alukan dan menghargai sumbangan serta kerjasama semua pihak khususnya IPT; agensi kerajaan dan industri dalam menggembleng usaha menyelesaikan isu dan perkara yang dihadapi oleh komuniti setempat melalui pendekatan SULAM. Semoga kerjasama yang erat terus terjalin demi kesejahteraan masyarakat setempat.

  • Saya yakin SULAM akan menjadi pemangkin dalam usaha menjadikan mahasiswa universiti lebih peka dan peduli terhadap isu masyarakat. Inilah ruang untuk anda bertindak memainkan peranan sebagai agen perubahan dan perantara masyarakat dengan pihak kerajaan, khususnya dalam menggerakkan program berbentuk kemasyarakatan melalui penyerlahan kemahiran insaniah.
  • Sekali lagi, saya mengambil kesempatan untuk mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada JPT, UiTM, UM dan Jawatankuasa Strategik SULAM yang telah memainkan peranan signifikan dalam memastikan pelaksanaan Majlis Pelancaran Sinergi SULAM pada hari ini.
  • Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim saya merasmikan Pelancaran Sinergi SULAM.

Wabillahi Taufik Wal-hidayah, Wassalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Fail dalam .docx

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 15021