logo kpt black

TEKS UCAPAN

YB DATUK SERI DR. NORAINI AHMAD
MENTERI PENGAJIAN TINGGI

MAJLIS PELANCARAN PROGRAM PEMBANGUNAN SISWA SULUNG KELUARGA MALAYSIA (SULUNG) DAN PENYAMPAIAN SURAT TAWARAN PROGRAM PENAJAAN KPT

26 OKTOBER 2022


PEMBUKA BICARA

  1. Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah SWT, kerana dengan limpah kurnia-Nya, kita semua dapat bersama-sama pada hari ini sempena Majlis Pelancaran Program Pembangunan Siswa Sulung Keluarga Malaysia (SULUNG) dan Penyampaian Surat Tawaran Program Penajaan KPT.
  1. Terima kasih saya ucapkan kepada semua yang dapat hadir memberikan sokongan kepada program pada hari ini.

PELANCARAN PROGRAM PEMBANGUNAN SISWA SULUNG KELUARGA MALAYSIA (SULUNG)

Hadirin yang saya hormati sekalian,

  1. Semasa Majlis Amanat Tahun Baharu KPT pada 17 Januari 2022, saya telah melontarkan satu cadangan untuk melaksanakan secara rintis program yang dinamakan sebagai Program Pembangunan Siswa SULUNG Keluarga Malaysia atau SULUNG.
  1. Idea pelaksanaan program ini menanda aras beberapa contoh program yang hampir serupa di negara luar seperti program “First in Family” di United Kingdom (UK) dan Australia, dan “First-Generation College Student” di Amerika Syarikat (US).
  1. Dalam konteks Malaysia, program ini bertujuan untuk memberikan peluang kepada generasi pertama dalam kalangan keluarga B40, yang belum ada ahli keluarga melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah sarjana muda dan ke atas, untuk menyambung pengajian mereka. Ini lebih-lebih lagi kepada pelajar B40 yang cemerlang tetapi kurang berkemampuan untuk masuk ke IPT.
  1. Uniknya, Siswa SULUNG yang terpilih menyertai program ini bukan sahaja diberikan laluan khusus kemasukan ke UA, tetapi turut ditawarkan bantuan kewangan dalam bentuk derma siswa merangkumi yuran pengajian, yuran-yuran berkaitan, elaun serta bantuan seperti Elaun Sara Hidup dan bantuan komputer riba.
  1. Di samping itu, kemudahan asrama sepanjang tempoh pengajian turut disediakan untuk Siswa SULUNG selain mendapat bimbingan daripada Pembimbing SULUNG dan Penasihat Akademik. Ini bagi memastikan pelajar-pelajar ini dapat fokus kepada pengajian.
  1. Tambahan kepada itu, kita juga akan bantu dari segi meningkatkan kebolehpasaran graduan Siswa SULUNG ini melalui kerjasama dengan pihak industri bagi memastikan mereka mendapat peluang pekerjaan yang lebih baik sebaik tamat pengajian nanti. Hasratnya supaya para graduan SULUNG ini nanti dapat berdikari dan mengubah kehidupan keluarga mereka kepada yang lebih baik.
  1. Pengambilan pertama Program SULUNG, atau Kohort 1 tahun 2022 baru sahaja bermula pada bulan Oktober ini. Terdapat lapan (8) UA perintis yang terlibat, iaitu UKM, UPM, UTM, UPSI, UMS, USIM, UMP dan UniMAP.
  2. Seramai 76 orang pelajar daripada 115,477 permohonan kemasukan ke IPTA melalui UPUOnline, telah terpilih ditawarkan sebagai Siswa SULUNG.
  1. Alhamdulillah, saya sendiri telah berkesempatan untuk turun padang ke beberapa rumah Siswa SULUNG di Johor dan Melaka bagi menyampaikan surat tawaran. Ada juga sebelum ini Pengurusan Tertinggi KPT yang turun menyantuni beberapa calon di Kedah, Kelantan dan Sabah.
  1. Namun atas keterbatasan waktu, kita tidak dapat turun ke semua lokasi. Oleh itu, majlis pada hari ini diadakan khusus untuk menyampaikan surat tawaran kepada baki Siswa SULUNG yang belum menerimanya.
  1. Suka saya kongsikan di sini bahawa pada tahun akan datang, pelaksanaan program SULUNG ini akan diperluaskan kepada semua 20 UA di seluruh negara. KPT juga sedang mengusahakan untuk mendapatkan peruntukan daripada Kerajaan dan juga pendanaan daripada pihak luar bagi menjamin kelestarian program ini.
  1. Kepada pelajar yang terpilih sebagai Siswa SULUNG bagi kohort pertama ini, saya ucapkan selamat maju jaya dan selamat menjalani kehidupan sebagai mahasiswa!

PENYAMPAIAN SURAT TAWARAN PROGRAM PENAJAAN KPT

Hadirin yang saya hormati sekalian,

  1. Untuk makluman semua, KPT juga ada menyediakan biasiswa dan bantuan kewangan kepada kumpulan sasar yang merangkumi tenaga pengajar di institusi awam dan orang awam yang berkelayakan untuk melanjutkan pengajian di pelbagai peringkat. Ini termasuklah dari peringkat Sijil sehingga ke Ijazah Lanjutan.
  1. Untuk pegawai yang sedang berkhidmat seperti tenaga pengajar di UA, politeknik dan kolej komuniti serta pegawai bukan akademik di UA, kita ada Skim Latihan Akademik Bumiputra (SLAB), Skim Latihan Akademik IPTA (SLAI), Sub-Kepakaran, Pasca Kedoktoran dan Hadiah Latihan Persekutuan (HLP).
  1. Sementara itu, bagi orang awam yang berkelayakan pula, kita menawarkan program seperti MyBrain Science (MyBrainSc), Biasiswa Atlet Cemerlang IPT, Tokoh Siswa dan Biasiswa Pelajar Cemerlang Politeknik.
  1. Untuk mereka yang datang dari keluarga B40, KPT turut menawarkan Bantuan Kewangan Asasi dan Bantuan Kewangan Pelajar Kolej Komuniti (BKPKK).
  1. Bagi golongan OKU pula, kita ada Bantuan Kewangan Orang Kurang Upaya (BKOKU) dan Program Pendidikan Khas (PPK).
  1. Dan yang terkini, Program Dermasiswa B40 TVET telah dilancarkan khusus untuk pelajar B40 yang mengikuti pengajian dalam bidang TVET.
  1. Bagi menjayakan inisiatif pemberian biasiswa dan bantuan kewangan secara bersasar ini, setiap tahun, peruntukan kewangan yang besar disediakan oleh Kerajaan kepada KPT. Pada tahun 2022 sahaja sebanyak RM150 juta telah diperuntukkan untuk tujuan penajaan pendidikan kepada seramai 30,314 pelajar.
  1. Jadi, majlis pada hari ini juga akan turut menyaksikan penyerahan surat tawaran program-program penajaan KPT kepada para pelajar yang berjaya terpilih. Saya berharap ini juga akan memberikan suntikan semangat kepada para pelajar untuk lebih berjaya dalam pengajian. Insya-Allah.

PROGRAM IQRA’ TH

Hadirin yang saya hormati sekalian,

  1. Pada hari ini juga, rakan strategik KPT, iaitu Lembaga Tabung Haji (LTH) akan menyampaikan sumbangan dana zakat berjumlah RM12 juta kepada 20 UA menerusi program yang dinamakan Iqra’ TH. Setiap UA pula akan menerima sebanyak RM600,000.00.
  1. Dan, untuk makluman semua, program ini adalah sebahagian daripada CSR LTH yang bertujuan untuk membantu para pelajar asnaf fakir dan miskin di universiti menampung kos pengajian mereka. Insya-Allah, Iqra’ TH akan memanfaatkan seramai lebih 30,000 orang pelajar.
  1. Terima kasih banyak-banyak TH atas sumbangan yang diberikan! Tahun depan, bolehlah sumbangkan lebih lagi.

PENYAMPAIAN PERANTISISWA ZON SELATAN

Hadirin dan hadirat sekalian,

  1. Seperti yang semua sedia maklum juga, Kerajaan turut cakna dengan keperluan pelajar melalui pembekalan tablet di bawah inisiatif PerantiSiswa Keluarga Malaysia.
  1. Selepas permohonan Fasa 2 ditutup pada 30 September 2022, sebanyak 474,311 permohonan diterima di seluruh negara. Dan sehingga 20 Oktober 2022, sebanyak 291,096 permohonan telah diluluskan, iaitu lebih 61 peratus daripada jumlah permohonan.
  1. KPT menjangkakan pengagihan peranti yang lulus ini akan disempurnakan dalam tempoh dua (2) bulan secara berperingkat. Kita telah pun melaksanakan pengagihan di beberapa IPT mengikut zon sebelum ini seperti di UMS, UMT, UTeM, UNISZA (Kampus Besut), UIA, UKM, UUM dan UTM.
  1. Pada hari ini juga, seramai 50 orang pelajar IPT di Zon Selatan, mewakili pelajar dari UA, politeknik, kolej komuniti dan IPTS di sekitar Negeri Sembilan, Melaka dan Johor akan menerima PerantiSiswa. Kaunter tuntutan turut dibuka di UTHM untuk membolehkan pelajar yang lulus permohonan mendapatkan peranti mereka.
  1. Pesanan saya kepada penerima PerantiSiswa, manfaatkanlah peranti percuma ini untuk memudahkan pengajian anda. Ini ialah amanah yang anda harus jaga dan jangan menyalahgunakan kemudahan yang diberikan.

PENUTUP

Para hadirin dan hadirat yang saya hormati,

  1. Sebelum mengakhiri ucapan, sekali lagi saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang terlibat atas usaha dan komitmen yang ditunjukkan bagi menjayakan majlis ini.
  1. Terutamanya kepada jawatankuasa penganjur yang terdiri daripada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT), LembagaTabung Haji dan juga Universiti Tun Hussein On Malaysia (UTHM) selaku tuan rumah. Syabas dan tahniah saya ucapkan atas kerjasama semua!
  1. Saya juga berharap semoga majlis pada hari ini akan membuka lebih banyak peluang kerjasama dengan lebih ramai rakan strategik dalam aspek penajaan pendidikan tinggi bagi golongan yang tidak berkemampuan.
  1. Dengan lafaz yang mulia Bismillahirrahmanirrahim, saya dengan sukacitanya merasmikan serta melancarkan Program Pembangunan Siswa Sulung Keluarga Malaysia (SULUNG) dan Penyampaian Surat Tawaran Program Penajaan KPT.

Sekian, wabillahi taufiq wal hidayah, wassalamu’alaikum warahmatullahi wa barakatuh.

Muat Turun:

pdf Teks Ucapan YB Menteri Pengajian Tinggi Majlis Pelancaran SULUNG.pdf (175 KB)

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 21700
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Jumaat 29 Mac 2024, 08:50:00.