logo kpt black

TEKS UCAPAN

YB DATUK SERI DR. NORAINI AHMAD
MENTERI PENGAJIAN TINGGI

HARI TERBUKA DAN KARNIVAL KERJAYA MALAYSIA AVIATION GROUP (MAG) 2022

1 OKTOBER 2022


PEMBUKA BICARA

  1. Terlebih dahulu saya ingin menzahirkan rasa syukur kerana dengan izin-Nya, kita dapat bersama-sama dalam Majlis Pelancaran Hari Terbuka dan Karnival Kerjaya Malaysia Aviation Group (MAG) 2022 pada hari ini.
  1. Terima kasih kepada pihak MAG, selaku penganjur, kerana sudi menjemput saya untuk hadir dan menyempurnakan majlis perasmian pada pagi ini.
  1. Seperti Yang Berbahagia Tan Sri Wan Zulkiflee sebutkan tadi, Hari Terbuka dan Karnival Kerjaya MAG ini diadakan dengan tujuan untuk menyediakan platform kepada rakyat, terutamanya para graduan dan juga pekerja mahir yang sedang mencari peluang pekerjaan, mengenali industri penerbangan dengan lebih lanjut.
  1. Malah, saya difahamkan juga bahawa program ini adalah yang pertama kali seumpamanya diadakan oleh MAG! Tahniah saya ucapkan kepada MAG atas penganjuran acara ini yang semestinya ditunggu-tunggu oleh banyak pihak!

MEMBINA KERJAYA DALAM INDUSTRI PENERBANGAN

Hadirin yang saya hormati sekalian,

  1. Industri penerbangan adalah antara industri besar yang menawarkan peluang pekerjaan dari pelbagai peringkat kelulusan. Ada dalam bidang profesional, dan ada juga yang melibatkan bidang teknikal.
  2. Jika dilihat lebih lanjut, kita akan dapati bidang-bidang pekerjaan seperti sumber manusia, pengurusan operasi, penjadualan, penghantar bertauliah, mekanik pesawat, pengurusan projek, pembelian, malah bidang ramalan perniagaan juga boleh kita dapati dalam industri ini!
  1. Tambahan kepada itu, industri penerbangan juga menyokong kitaran pekerjaan dari industri-industri yang berkaitan. Contohnya seperti pengeluar enjin dan peralatan, bahan bakar, katering, operasi lapangan terbang, kakitangan penyelenggaraan, dan banyak lagi. Semuanya saling berkait dalam memastikan kelancaran operasi sesebuah penerbangan.
  1. Dari konteks yang lain pula, sejarah dan persepsi masyarakat terhadap industri penerbangan selama ini menyaksikan hanya lelaki yang berpeluang membina kerjaya dalam industri penerbangan.
  1. Namun sebenarnya, ia tidaklah begitu. Dan saya amat berbesar hati apabila mendapat tahu bahawa MAG sangat komited bekerjasama dengan International Air Transport Association (IATA), memperjuangkan keseimbangan jantina dalam industri penerbangan melalui inisiatif 25by2025’.
  1. Inisiatif yang dilaksanakan secara sukarela ini sudah tentu akan dapat mewujudkan lebih banyak peluang kerjaya kepada golongan wanita. Lebih daripada itu, ini akan mengukuhkan dan meningkatkan lagi usaha mencapai sasaran sekurang-kurangnya 25 peratus perwakilan wanita menceburi industri penerbangan, khususnya dalam pihak pengurusan menjelang tahun 2025.
  1. Dalam hal ini, saya percaya untuk jangka masa panjang, inisiatif ‘25by2025’ ini akan mampu memberikan dorongan untuk terus mencipta pengalaman kerja yang positif, menggalakkan, serta bermanfaat kepada semua kakitangan. Dan saya juga berharap ianya dapat ditingkatkan kepada sekurang-kurangnya 30 peratus penglibatan wanita di dalam industri ini. Insya-Allah!

KEBOLEHPASARAN GRADUAN DI MALAYSIA DAN KOLABORASI BERSAMA INDUSTRI

Hadirin yang saya hormati sekalian,

  1. Menyebut tentang peluang kerjaya dalam industri penerbangan ini membuatkan saya tidak dapat lari daripada memperkatakan tentang kebolehpasaran graduan, yang lazim digunakan sebagai indikator keberhasilan sistem pendidikan tinggi di kebanyakan negara, termasuk Malaysia.
  1. Pada tahun lepas, kadar kebolehpasaran graduan di Malaysia ialah 85.5 peratus, iaitu meningkat sebanyak 1.1 peratus berbanding tahun 2020. Kadar ini juga adalah melebihi sebanyak 0.4 peratus berbanding dengan sasaran 85.1 peratus yang telah ditetapkan dalam Rancangan Malaysia Ke-12.
  1. Saya percaya pencapaian ini ialah hasil daripada komitmen tinggi dan usaha pelbagai pihak dalam melaksanakan inisiatif-inisiatif berbentuk intervensi. Contoh yang sering kita dengar ialah program peningkatan kerjaya seperti Program Intervensi Kebolehpasaran Graduan, PENJANA KPT-CAP, KPT-PACE, dan beberapa lagi. Malah, terdapat juga program yang dilaksanakan secara kolaborasi strategik oleh KPT dan agensi lain seperti TalentCorp, PERKESO, MTDC dan banyak lagi.
  1. Di pihak MAG sendiri, saya diberitahu bahawa MAG turut melaksanakan inisiatif berbentuk pembangunan diri yang ditawarkan kepada graduan-graduan, dikenali sebagai Leadership Executive Accelerated Programme (LEAP).
  1. Saya lihat inisiatif yang dibuat dalam bentuk program pembelajaran selama 36 bulan ini mampu mewujudkan kebolehan profesional dalam industri penerbangan. Peserta berpeluang mendapatkan pengalaman praktikal, latihan semasa kerja, giliran kerja serta pendedahan kepada kemahiran pengurusan dan teknikal. Sangat menarik bunyinya!
  1. Justeru, terima kasih saya ucapkan kepada MAG kerana sentiasa memberikan sokongan kepada Kerajaan dalam memastikan orang ramai, terutamanya para graduan, diberi peluang untuk membina kerjaya dalam industri penerbangan!
  1. Sesungguhnya, pihak KPT sangat berbesar hati dan terbuka dengan apa-apa pelaksanaan inisiatif oleh pihak industri yang dapat membantu meningkatkan keupayaan dan kemahiran graduan kita. Apatah lagi apabila kemahiran yang diberikan itu adalah selari dengan keperluan dan kehendak industri. Insya-Allah, kami di pihak Kementerian bersedia untuk bekerjasama.

HARI TERBUKA DAN KARNIVAL KERJAYA MAG 2022

Tuan-tuan dan puan-puan yang saya hormati sekalian,

  1. Untuk program selama dua hari ini, saya percaya bahawa pelbagai aktiviti yang telah disusun akan dapat memanfaatkan semua yang berkunjung. Ada pameran, seminar, dan sebagainya. Ambil peluang ini untuk mendapatkan seberapa banyak informasi tentang peluang pekerjaan dan latihan kemahiran dalam industri penerbangan.
  1. Bukan itu sahaja, program Hari Terbuka dan Karnival Kerjaya ini turut membuka peluang keemasan kepada para graduan untuk membina rangkaian sesama graduan dan dengan pihak industri juga. Banyak perkara yang boleh dijadikan topik – dari aspek skop dan laluan kerjaya hinggalah kepada penciptaan potensi dan keupayaan masing-masing.
  1. Dan saya turut dimaklumkan, anak-anak syarikat MAG seperti Malaysia Airlines, Firefly, MAB Kargo, AeroDarat Services, Maswings dan MAB Engineering, ada mengadakan sesi temu duga secara bersemuka. Padat, penuh, dan bermanfaat! Syabas dan tahniah saya ucapkan sekali lagi kepada MAG!
  1. Kepada para graduan, bakal graduan, belia dan semua yang hadir, apa lagi yang hendak ditunggu? Jangan sia-siakan peluang ini. Sebaliknya, “Bermulanya Di Sini”-lah, saudara dan saudari harus mengambil langkah pertama yang mungkin merubah kehidupan masa hadapan anda. Insya-Allah!

PENUTUP BICARA

Hadirin yang saya muliakan,

  1. KPT akan sentiasa berusaha dan komited dalam melonjakkan lagi kebolehpasaran graduan IPT di Malaysia. Namun begitu, tanggungjawab dan kerjasama yang utuh daripada semua pihak amat diperlukan bagi memastikan objektif tersebut tercapai. Bak kata pepatah, “sakit sama mengaduh, luka sama menyiuk”.
  1. Menjadi harapan saya agar kolaborasi seperti ini akan dapat diteruskan pada masa akan datang. Insya-Allah.
  1. Akhir kata, setinggi-tinggi penghargaan sekali lagi saya zahirkan kepada MAG yang telah menjemput saya ke majlis ini. Terima kasih juga atas komitmen pihak penganjur serta semua yang terlibat dalam menjayakan majlis ini.
  1. Dengan lafaz mulia Bismillahirrahmanirrahim, sukacita saya merasmikan Hari Terbuka dan Karnival Kerjaya MAG Tahun 2022.

Sekian.
Wabillahitaufik Walhidayah.
Wassalamualaikum warahmatullahi Wabarakatuh.
Terima kasih.

Muat Turun:

pdf Teks Ucapan YBM Hari Terbuka dan Karnival Kerjaya MAG.pdf (155 KB)

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 14671
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Jumaat 19 April 2024, 16:56:01.