logo kpt black

TEKS UCAPAN

YB DATUK SERI DR. NORAINI AHMAD
MENTERI PENGAJIAN TINGGI

MAJLIS APRESIASI KECEMERLANGAN TAHUN 2021 DAN PERHIMPUNAN BULANAN KEMENTERIAN PENGAJIAN TINGGI

31 MAC 2022


PEMBUKA BICARA

  1. Alhamdulillah, marilah kita sama-sama memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah S.W.T. kerana dengan limpah kurnia-Nya, dapat kita bersama-sama pada petang yang mulia ini dalam Majlis Apresiasi Kecemerlangan Tahun 2021 yang turut diadakan bersekali dengan Perhimpunan Bulanan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

 APRESIASI KECEMERLANGAN TAHUN 2021

 Hadirin yang saya hormati sekalian,

  1. Majlis Apresiasi Kecemerlangan ini kita adakan pada setiap tahun sebagai manifestasi penghargaan dan pengiktirafan kepada mereka yang telah menunjukkan prestasi cemerlang dalam kerja yang diamanahkan. Dek kerana kekangan SOP, pada tahun lepas, kita adakan majlis ini secara Kalau tahun sebelumnya pula, kita tak dapat adakan langsung.
  1. Namun, alhamdulillah. Tahun ini, kita dapat meraikan seramai 110 orang pegawai cemerlang dari Kementerian; Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT); Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK); dan AKEPT, di majlis yang penuh gemilang ini. Saya difahamkan jumlah ini merangkumi 52 orang dari Ibu Pejabat KPT dan AKEPT; 26 orang dari JPT; dan 32 orang dari JPPKK.
  1. Suka saya beritahu di sini bahawa pengiktirafan yang diberikan ini adalah berlandaskan kepada komitmen serta kesungguhan yang telah ditunjukkan oleh pegawai dalam setiap tugasan. Di samping itu, penilaian juga turut berdasarkan kepada sumbangan dan dedikasi serta penglibatan pegawai di luar tugasan rasmi, contohnya dalam bidang sukan dan kemasyarakatan.
  1. Semoga dengan anugerah ini akan menyuntik semangat, mencetus inspirasi, dan menjadi suri teladan terbaik kepada rakan sekerja lain, khususnya dalam membentuk ekosistem pekerjaan yang cemerlang.

SUKU TAHUN PERTAMA 2022 YANG “WOW!”

 Keluarga KPT yang saya hormati sekalian,

  1. Kita telah pun melepasi suku tahun yang pertama 2022. Pelbagai pencapaian dan kejayaan cemerlang yang telah dilakar, dan wajar untuk kita dendangkan.
  1. Januari 2022, kita teruskan Misi #KPTPrihatin Menyantuni Mangsa Banjir sehingga ke Negeri di Bawah Bayu, membawa ke pantai timur Semenanjung Malaysia. Bagi mempersiapkan kemasukan pelajar-pelajar baharu ke IPT, kita dengan bergayanya memulakan kembara Karnival KPT Keluarga Malaysia di Johor, yang mana sambutannya amat menggalakkan.
  1. Ini diperhebatkan lagi dengan Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia di seluruh Kita dah pergi Johor, dan juga Perlis. Matlamat kita adalah untuk menyebar luas konsep Keluarga Malaysia dalam konteks Pendidikan Tinggi.
  1. Saya masih ingat lagi, di Johor, kita turun padang menjayakan Ziarah Kasih Hospital Pengajar UnisZa (HPU) di Serom. Kita juga melancarkan TV White Space yang pertama di Malaysia di Parit Sulong. Dan, kita anjurkan juga Program CSR TVET PolyCC Prihatin@Parit Sulong.
  1. Di Perlis pula, melalui JPPKK, telah diadakan program khidmat bakti seperti servis asas motosikal, pemeriksaan dan pendawaian semula eletrik di beberapa buah rumah, serta penganjuran kursus pendek pembelajaran sepanjang
  1. Alhamdulillah, KPT mendapat maklum balas yang sangat positif berhubung dengan penganjuran program-program ini. Semoga program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia ini terus berjalan dengan lancar dan mencapai hasrat murni Kerajaan untuk menyantuni rakyat.
  1. Bukan sahaja dari aspek penganjuran program. Saya juga ingin kongsikan perkhabaran gembira bahawa Kajian Pengesanan Graduan Tahun 2021, yang saya bentangkan di Kabinet pada Jumaat lepas, telah mencatatkan kadar kebolehpasaran graduan 2021 di peringkat nasional yang lebih baik daripada tahun 2020, iaitu 85.5 peratus!
  2. Dalam hubungan yang sama juga, kebolehpasaran graduan TVET menunjukkan peningkatan sebanyak satu (1) peratus kepada 88 peratus berbanding 87 peratus pada tahun 2020.
  1. Saya percaya, pencapaian-pencapaian gemilang ini sudah tentu juga didukung oleh Keluarga KPT yang cemerlang melunasi setiap tanggungjawab yang diberikan. Justeru, syabas saya ucapkan!

 KECEMERLANGAN DAN INTEGRITI DALAM KALANGAN PENJAWAT AWAM

 Hadirin yang saya hormati sekalian,

  1. Kecemerlangan bukan sekadar diukur dengan tercapainya sasaran kerja, tetapi juga dinilai melalui perkhidmatan yang berintegriti. Dalam erti kata lain, kecemerlangan itu bukanlah kemahiran, tetapi cerminan diri kita. Sebagai seorang penjawat awam yang berkhidmat untuk rakyat dan negara, saya menyeru Keluarga KPT sekalian untuk menghayati setiap arahan, tugasan dan tanggungjawab yang diberikan dengan amanah.
  1. Keluarga KPT juga perlu mengamalkan budaya kerja di luar kelaziman dan lingkungan kotak pemikiran biasa, demi keberhasilan yang luar biasa. Kita perlu melatih diri menjadi serba boleh, serba mahir dan serba bakat. Tuntasnya, penjawat awam sekalian harus mampu menyumbang kepada budaya kerja berproduktiviti tinggi, bernilai tinggi, berpemikiran ke hadapan, berkemahiran tinggi, dan bermotivasi tinggi.
  1. Menjadi harapan saya agar budaya kecemerlangan ini dijadikan “roh” dalam diri setiap daripada kita. Semaikan nilai positif dan optimis. Alaskan juga ikhtiar dan usaha yang dilaksanakan dengan daya kreatif.
  1. Jika hendak tahu dan cepat pandai dalam sesuatu perkara, maka, perlu selalu membuatnya dan melihat bagaimana orang lain melakukannya.

TINGKAH YANG BAIK KITA JADIKAN TELADAN, RAGAM YANG JELIK KITA JADIKAN SEMPADAN.

 MENGAMBIL CONTOH KEPADA YANG SUDAH, MENGAMBIL TUAH KEPADA YANG MENANG.

 AKHIR KALAM

  1. Akhir kata, saya mengucapkan setinggi-tinggi tahniah sekali lagi kepada semua penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2021. Semoga prestasi cemerlang yang ditunjukkan akan memberikan impak signifikan ke arah pencapaian yang lebih unggul.
  1. Insya-Allah, di hadapan saya ini ialah:

BENIH PREMIUM YANG MENGILHAM ASPIRASI, PULAU KHAZANAH YANG MENYUBUR HARAPAN, BINTANG KEJORA YANG GAH BERGEMERLAPAN!

Sekian, Wabillahitaufik Walhidayah, Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. Terima kasih.

Muat Turun:

pdf Teks Ucapan YBM Sempena Majlis Anugerah Apresiasi Kecemerlangan Tahun 2021 dan Perhimpunan Bulanan Kementerian Pengajian Tinggi (131 KB)

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 18749
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Jumaat 29 Mac 2024, 08:50:00.